Assalamualaikum, 

Ikan parang memang enak di masak asam pedas. Walaupun tulangnya banyak, tetapi isinya yang manis memang sesuai sangat di masak begini atau sesuai juga di masak kuah laksa. Kalau ada anak kecil yang makan bersama, pastikan kita mengasingkan tulang-tulang ikan ini terlebih dahulu takutnya tercekik pula nanti.

Ada berbagai versi asam pedas yang boleh kita masak. Boleh di tumis atau di rebus sahaja, tetapi kali ini saya menumis bahan kisar terlebih dahulu. Sedap bau aroma bahan kisar yang di kacau hingga pecah minyak di atas dapur. Usah risau Jika anda menjaga kesihatan kerana boleh saja menggunakan minyak sayuran atau minyak zaitun untuk menumis.

Resipi asam pedasnya pula seperti biasa. Jom kita lihat bahan-bahannya...
  
ASAM PEDAS IKAN PARANG 
Bahan-bahan 
1 ekor ikan parang - di bersihkan
2 keping asam gelugur
3 tangkai daun kesum
1 biji tomato - di belah empat 
1 batang serai - di ketuk 
5 biji kacang bendi 
sedikit minyak untuk menumis
garam dan gula secukup rasa 
1 kiub ikan bilis

Bahan Kisar 
7 tangkai cili kering - rebus hingga lembut dan toskan 
5 tangkai cili padi 
1/2 inci kunyit hidup
1/2  inci belacan
3 ulas bawang merah 
2 ulas bawang putih 


Cara memasak:

1. Panaskan minyak, tumis bahan-bahan kisar dan serai sambil di kacau hingga wangi dan pecah minyak.

2. Masukkan air secukupnya.

3. Seterusnya masukkan kacang bendi, tomato,daun kesum, asam gelugur serta isi ikan. Renih sehingga mendidih.

4. Masukkan pula kiub ikan bilis serta garam dan gula secukup rasa.

5. Masaklah hingga mendidih dan secukup rasa lalu matikan api dapur.

Assalamualaikum,

Buah sukun memang sedap di pelbagaikan di dalam masakan kerana rasanya yang lemak. Buah ini selalunya mudah di dapati di kampung-kampung atau di pasar tani. Selalunya saya celupkan ke dalam tepung dan goreng seperti menggoreng ubi keledek dan enak di makan dengan gula.

Semalam dapat dua biji buah sukun pemberian dari kakak saya. Salah satu daripadanya sudah ranum dan agak lembik sedikit jadi saya buatkan bingka. Alhamdulillah, keluarga suka dan laris di hidangkan ketika berbuka puasa.

Resipinya saya ambil di SINI dan di kongsikan sekali lagi di blog ini bagi sesiapa yang ingin mencubanya.

BINGKA SUKUN
Bahan A
450gm buah sukun yang lembik 
sedikit bijan 

Bahan B
200gm tepung gandum
180gm gula
300ml santan 
4 biji telur
1sudu teh essen vanilla
1sudu teh garam
sedikit pewarna kuning

Cara membuat 

1. Kisar buah sukun dengan sedikit air hingga hancur dan ketepikan seketika.

2. Kisar juga semua bahan B dan tuang kedalam bekas sukun tadi.

3. Kacau rata sehingga semuanya bercampur.

4. Lenser loyang dengan sedikit mentega atau minyak masak.

5. Tuang ke dalam loyang, ditaburkan sedikit bijan dan dibakar di dalam oven dengan suhu 180-200°c selama 45 minit.

6. Biarkan sejuk barulah boleh dipotong.
Assalamualaikum,

Sedang merancang untuk masak lauk berbuka puasa? Kenapa tidak hari ni cuba masak pajeri nanas pula? Selalunya jika masak pajeri saya akan simpan dan panaskan untuk bersahur nantinya. Gandingkan dengan ikan masin yang di goreng sudah cukup membuka selera di awal pagi.

Selain dari enak di makan dengan nasi minyak, pajeri nanas juga sesuai bersama nasi putih dan lauk-lauk yang lain. Saya celur dahulu nanas untuk mempercepatkan lagi proses memasak dan bagi yang inginkan resipinya jom lihat perkongsian di bawah ni.

PAJERI NANAS
Bahan A
1 biji nanas – kupas kulit, potong dan celur sebentar
2 cawan santan
2 cawan air 
2 sudu besar besar kerisik
3 sudu besar rempah kari daging - bancuh dengan sedikit air 
2 kuntum bunga lawang
2 inci kulit kayu manis
2 biji buah pelaga
gula dan garam secukup rasa
Minyak untuk menumis

Bahan B - di kisar
1 sudu besar udang kering 
3 ulas bawang merah 
2 ulas ulas bawang putih 
1/2 inci halia

Cara memasak

1. Panaskan minyak, tumis bahan kisar sehingga wangi dan kekuningan.

2. Masukkan rempah kari dan kacau hingga terbit minyak.

3. Masukkan air sambil di kacau dan masukkan juga santan. Renihkan dengan api perlahan.

4. Seterusnya masukkan kerisik, garam dan gula secukup rasa. Lebihkan sedikit gula (jangan terlalu banyak) kerana menurut saya pajeri lebih sedap jika rasanya manis sedikit.

5. Akhir sekali masukkan nanas yang di celur tadi dan renihkan sehingga sebati dengan kuah dan masak sepenuhnya.
Assalamualaikum,

Sedar tak sedar hari ini dah 6 Ramadhan 1436H. Sekejap sahaja masa berlalu. Bagi surirumah yang bekerja ataupun sepenuh masa, tiap hari ligat memikir apa yang akan di sediakan untuk hidangan berbuka dan bersahur untuk keluarga. Kalau tiap hari beli di Bazaar Ramadhan pun jemu juga. Sekurang-kurangnya adalah hasil air tangan sendiri walaupun sejenis kuih yang mudah-mudah.

Hari ini saya ingin berkongsi kuih lengat pisang. Pernah dengar tak nama kuih ni? Bukan pengat ye, tapi lengat (dalam loghat kedah) bermaksud kukus. Rasanya yang lemak-lemak manis memang sesuai untuk berbuka. Kuih ni selalu ibu buatkan sejak zaman saya kanak-kanak dulu dan sekarang menjadi kegemaran anak-anak saya juga.

Bagi yang ingin mencuba resepi kuih ni, jom kita lihat bahan-bahannya.

KUIH LENGAT PISANG 
Bahan A  
2 cawan tepung beras
1 kotak santan - 200ml
3 kotak air - di sukat menggunakan kotak santan tadi 
1/2 sudu teh garam 

Bahan B (Di lecek)  
1 1/4 cawan gula kastor 
1 cawan pisang  

Bahan C  
1 biji pisang - di hiris (untuk taburkan keatas adunan) 

Cara membuatnya :

1. Sediakan loyang dengan menyapu sedikit minyak ataupun lapik dengan plastik untuk memudahkan kuih di keluarkan  nanti. 

2. Campur semua bahan A di dalam sebuah mangkuk besar.

3. Kacau hingga larut dan tapis kedalam periuk. Masukkan juga bahan B, iaitu pisang yang telah di lecek dengan gula.

4. Masak sebentar di atas api yang kecil sambil di kacau hingga terasa berat atau pekat sedikit dan matikan api.

5. Tuang adunan kedalam loyang, tabur hirisan pisang dan kukus adunan selama 30minit atau sehingga masak.

Apakah masakan yang paling enak sekali bagi anda? Pasti majoriti bersetuju bahawa air tangan ibulah masakan yang terbaik pernah kita nikmati walaupun ianya kadangkala ringkas sahaja kerana di hasilkan dengan jujur dan penuh kasih sayang.

Seiring dengan perubahan zaman, ramai wanita bekerjaya sekarang ini. Namun ia tidak mengubah fungsi seorang ibu yang memasak dan sentiasa memastikan keluarga tercinta mendapat hidangan yang berkhasiat. Keterbatasan waktu bukan lagi halangan untuk ibu bekerjaya memasak, kerana Nestle ada produk Maggi® CukupRasa™ yang menjadikan hidangan anda lebih ‘syiok’ dan cepat di sediakan.

Maggi® CukupRasa™ ini memang menjadi pilihan saya sejak dulu. Tidak perlu menambah garam dan serbuk perasa lagi di dalam masakan kerana sedikit taburan Maggi® CukupRasa™ memang melengkapkan hidangan. Tidak perlu risau lagi masakan tak menjadi atau berkali-kali menambah garam untuk mendapatkan rasa yang ideal.  

Anak-anak memang suka dan ternanti-nanti masakan air tangan saya terutama sekali sayur campur bergajus. Kadang-kadang sayur ini di ratah begitu sahaja tanpa nasi. Isi ayam ranggup yang di campurkan dalam sayur ini juga menjadi rebutan kerana rasanya yang enak. Sebelum di goreng saya perap isi ayam ini dengan Sos Tiram Maggi serta di salut dengan tepung jagung terlebih dahulu.

Nak rasa sendiri keenakan sayur campur bergajus ni kenalah cuba memasak sendiri di rumah. Resipi saya sertakan di sini.

SAYUR CAMPUR BERGAJUS
Bahan A
1/4 cawan biji gajus - di goreng dan toskan
  10 tangkai cili kering - di goreng dan toskan
1/2 cawan isi ayam - di potong memanjang 
1 sudu besar Sos Tiram Maggi 
1/2 cawan tepung jagung 
1 cawan minyak sayuran - untuk menggoreng 

Bahan B
1/4 cawan lobak merah - di potong seperti mancis
1/4 cawan brokoli
4 tangkai sayur bok choy
4 tangkai putik jagung - di potong menyerong 
1/4 cawan hirisan lada benggala (kuning dan merah)
1/4 cawan air
1/2 sudu besar Maggi® CukupRasa™ 
2 sudu besar minyak sayuran - untuk menumis 

Cara membuatnya :

1. Panaskan 1 cawan minyak di dalam kuali, goreng isi ayam yang di perap dengan Sos Tiram Maggi serta golekkan dengan tepung jagung terlebih dahulu sehingga garing. Goreng juga biji gajus dan cili kering secara berasingan.Tos dan ketepikan seketika.

2. Di dalam kuali yang lain, panaskan 2 sudu besar minyak sayuran. Masukkan putik jagung dan lobak merah terlebih dahulu. Kacau sebentar dan masukkan pula sayur brokoli dan bok choy sambil di kacau lagi.

3. Seterusnya tuangkan air kedalam sayuran dan kacau lagi.
4. Setelah sayuran separuh masak masukkan lada benggala dan taburkan penambah perasa semua dalam satu, Maggi® CukupRasa™ kedalam sayuran.


5. Seterusnya masukkan cili kering, isi ayam dan biji gajus yang di goreng tadi. Kacau hingga semuanya bercampur dengan sayuran dan matikan api dapur. Jangan terlebih masak ye, kerana zat dan vitamin dalam sayuran akan hilang.


Siaplah resipi sayur campur bergajus dan bolehlah di hidangkan dengan nasi panas untuk keluarga tercinta. Mudah, cepat, berkhasiat dan yang penting keenakan rasanya memikat selera.
Assalamualaikum, 

Hari ini terlambat masuk entry blog dan dah masuk hari kedua pun kita berpuasa. Seperti biasa, masak yang ringkas-ringkas sahaja apa yang ada di dalam peti sejuk dan resipi yang saya ingin kongsikan adalah ayam masak lemak dengan nangka muda. 

Resipinya sama seperti masak lemak biasa juga cuma saya goreng sebentar, separuh masak ayam setelah di gaul dengan garam dan rebus terlebih dahulu nangka muda sebelum masukkannya kedalam kuah lemak.

Resipinya saya kongsikan di bawah ini...

AYAM MASAK LEMAK NANGKA MUDA
Bahan-bahan
200gm nangka muda - kupas dan potong
300gm ayam - di potong 
1 cawan santan pekat 
3 cawan santan cair
1 sudu teh garam 
1/2 sudu teh gula 
2 batang serai - di ketuk
1 helai daun kunyit - di simpul

Bahan Kisar 
10 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih 
1/2 inci kunyit hidup
2cm halia
10 tangkai cili padi 

Cara memasak:

1. Rebus nangka muda hingga separuh masak dan toskan airnya. Ketepikan seketika.

2. Gaul isi ayam dengan sedikit garam dan goreng sehingga airnya kering dan separuh masak lalu di angkat.

3. Seterusnya masukkan bahan kisar beserta daun kunyit,serai dan santan cair ke dalam periuk. Masak hingga mendidih.

4. Masukkan pula ayam dan nangka muda ke dalam periuk dan perasakan dengan garam dan gula.

5. Tambahkan santan pekat dan renihlah hingga masak sepenuhnya. Pastikan sentiasa di kacau masak lemak ini agar santan tidak pecah.

6. Matikan api dan bolehlah di hidangkan Hidangkan nasi panas.

Assalamualaikum,


Alhamdulillah kita di beri kesempatan untuk bertemu dengan Ramadhan pada 2015 yang bermula esok hari dan semoga kita di panjangkan usia.  Sedih bila teringatkan ada dua orang sahabat baik saya yang bersama-sama menjalankan ibadah puasa tahun lepas tetapi tidak ada pada tahun ini kerana telah kembali kerahmatullah. Tiap yang hidup pasti merasai mati dan kita juga tidak terkecuali dan akan menyusul nanti.

InshaAllah tahun ini saya akan cuba sedaya upaya update blog dan berkongsi resipi mudah untuk sahur atau berbuka puasa. Cuma saya tidak dapat kongsikan langkah demi langkah bagi setiap resipi sepanjang sebulan ini kerana ia mengambil waktu untuk shoot gambar sedangkan masa terbatas dan harus di seimbangkan antara waktu di pejabat, di rumah dan sebolehnya tiap dari kita pastilah ingin menambah amalan di bulan ini.

Baiklah resipi pertama ini sangat mudah dan main rebus sahaja tetapi rasanya memang sedap dan sesuai untuk sahur atau berbuka puasa. Pasti ramai yang dah tau masak tetapi saya ingin kongsikan juga di sini. 

ASAM REBUS IKAN DENGAN NANAS

ASAM REBUS IKAN DENGAN NANAS
Bahan A - Kisar
10 tangkai cili kering - di potong dan rebus hingga lembut serta toskan.
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
1/2 inci belacan 
2 cm kunyit hidup 
2 cm halia 
4 cawan air

Bahan B
1 ekor ikan saiz sederhana - di potong (saya guna ikan mayong)
1 cawan isi nanas yang di hiris nipis
2 biji timun kecil - di potong serong 
1/2 cawan air  asam jawa 
garam dan gula secukup rasa

Cara memasak

1. Masukkan bahan yang di kisar dan air ke dalam periuk. 

2. Renih dan masukkan pula air asam jawa.

3. Seterusnya masukkan isi ikan satu persatu dan biarkan mendidih.

4. Masukkan pula isi nenas dan timun sambil di renih lagi dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.

5. Matikan api dapur dan bolehlah di hidangkan dengan nasi panas.

Assalamualaikum,

Sedapnya sambal udang yang di rampai dengan petai, boleh bertambah-tambah nasi di buatnya. Walaupun sesetengah orang tidak suka makan petai dengan alasan 'busuk' tetapi, ia mempunyai khasiat yang tinggi untuk kesihatan setanding dengan ulam-ulaman kampung yang lain. 

Ada petua nak hilangkan bau mulut selepas makan petai, selain daripada menggosok dan flos gigi, lebih berkesan lagi mengunyah sejemput beras yang belum di cuci sampai hancur dan meluahkannya kembali. Boleh juga minum susu segar atau kopi/nescafe selepas makan petai, jadi aman ke tandas selepas itu kerana bau yang kurang menyenangkan tak ada selepas buang air kecil.

Kena cuba petua-petua tu kalau ingin tahu kebenarannya. Sekarang ni kita lihat resipi sambal udang petai dahulu :)

SAMBAL UDANG PETAI 
Bahan A (Di kisar)
1 labu bawang besar 
2 ulas bawang putih 
15 tangkai cili kering - di rebus hingga lembut dan toskan
2 sudu besar ikan bilis

Bahan B
300gm udang - di bersihkan dan belah di belakang untuk buang kotoran
1 cawan jus asam jawa
garam dan gula secukup rasa
1 labu bawang besar - di hiris kasar 
1/2 cawan isi petai - siap di kopek 
1/4 cawan minyak untuk menumis

Cara membuatnya:

1. Masukkan minya kedalam kuali. Tumis bahan-bahan kisar hingga pecah minyak dan berbau wangi. Untuk sambal tumis yang sedap, lebihkan minyak ketika menumis dan biarkan cili masak sepenuhnya perlahan-lahan menggunakan api yang kecil.


2.  Masukkan pula udang yang telah di bersihkan kedalam kuali tadi beserta jus asam jawa.


3. Seterusnya masukkan pula petai sambil di kacau. Jika saya, lebih suka petai tersebut tidak terlebih masak dan masih ada rasa ranggupnya.


4. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.


5. Akhir sekali masukkan bawang besar yang di hiris kasar dan kacau hingga sebati. Matikan api dan bolehlah di hidangkan dengan nasi panas.

Assalamualaikum,

Salam pagi jumaat...sarapan apa pagi ini? Selalunya ramai yang terkejar ke tempat kerja hingga tidak sempat nak buat sarapan pagi di rumah melainkan pada hari minggu. Tetapi ada resipi sarapan pagi yang mudah, sedap dan hanya mengambil masa lebih kurang 10minit atau kurang untuk menyediakannya. Salah satu daripadanya adalah hidangan simple iaitu kacang panggang dengan sosej dan telur. Hmm...sedap tau di makan bersama roti bakar.

Nak tahu cara membuatnya? Jom kita lihat resipinya :)
KACANG PANGGANG DENGAN SOSEJ & TELUR 
Bahan-bahan
2 keping Roti - di sapu mentega dan bakar 
2 biji telur 
2 batang sosej - di potong 
2 keping chicken meatloaf - di hiris nipis (pilihan)
1 tin kacang panggang dalam tin - saya guna perasa cheese
1/4 sudu teh serbuk cili thai - jika suka pedas
1/4 sudu teh lada sulah 
1 sudu besar mentega 
 secubit garam 

Cara membuatnya : 

1. Cairkan mentega di dalam kuali, masukkan sosej dan chicken meatloaf. Kacau hingga masak dan berubah warna. Kalau susah nak cari chicken meatloaf ni, tak letak pun tak mengapa.
2. Masukkan kacang panggang dalam tin dan secubit garam. 
3. Kacau hingga bercampur dan buatkan dua lubang serta pecahkan telur di tengahnya. Tabur sedikit garam & lada sulah di atas telur tersebut.
4. Sementara telur masak, sapu mentega pada roti dan bakar hingga agak garing. Ketepikan.
5. Jika suka pedas, tabur serbuk cili Thai ke atas telur dan matikan api dapur. Angkat telur beserta kacang panggang & sosej dengan sudip dan letakkan ke atas roti bakar tadi. Hidangkan ketika masih panas.  
Assalamualaikum, 

Ikan goreng mentega adalah menu yang bagi saya, lazat dan menyelerakan jika di gandingkan dengan nasi panas. Walaupun menggunakan mentega, rasanya tidak muak. Sebelum ini saya selalu masak ayam goreng mentega, tetapi kali ini gantikan dengan ikan pun sedap juga tau.

Resipi ini mudah dan cepat di sediakan dan memang berbaloi bagi yang ingin mencubanya. Jom kita tengok bahan-bahannya, kalau semua ada di dapur boleh cuba masak hari ni :)

IKAN GORENG MENTEGA 
Bahan A
2 ekor ikan - di bersihkan
1 cawan tepung goreng serbaguna
Capsicum - (Hijau dan Merah) 
1 labu bawang besar - di hiris kasar 
2 ulas bawang putih - di cincang   
Minyak secukupnya - untuk menggoreng ikan

Bahan Sos
2 sudu besar mentega - untuk menumis
2 sudu besar kicap manis 
1 sudu besar sos tiram 
1 sudu besar sos cili 
1/2 sudu teh serbuk lada sulah 
garam secukup rasa

Cara membuatnya : 

1. Golekkan ikan yang telah di bersihkan ke atas tepung serbaguna dan goreng hingga garing. Ketepikan seketika.
  
2. Cairkan mentega di dalam kuali, tumis bawang putih hingga berbau wangi. Masukkan capsicum dan bawang besar sambil di kacau.
3. Masukkan pula bahan sos dan kacau hingga sebati. Jangan lupa taburkan juga serbuk lada sulah dan garam secukup rasa.
4. Akhir sekali masukkan ikan goreng dan balik-balikkan hingga sebati dengan kuah dan matikan api dapur.

Assalamualaikum, 

Pizza adalah menu yang anak-anak tak akan menolak...malah tak cukup sebiji di buatnya jika makan sambil berkumpul depan TV. Tak susah sebenarnya nak hasilkan pizza ni. Malah lebih jimat buat sendiri di rumah dan bebas nak ubah bahan-bahan topping mengikut selera kita sendiri. Nak lebihkan cheese atau nak kurangkan atas sebab-sebab kesihatan...semua boleh. 

Resipi hari ni, lebih kepada Hawaian pizza tetapi saya guna segala bahan yang ada dalam peti ais di rumah. Lebih enak lagi toppingnya bila saya letakkan preggo italian sauce - mushroom. Jom kita lihat resipinya :) 
HAWAIAN PIZZA
Bahan-bahan
250gm tepung gandum 
125ml air suam-suam kuku
1 sudu teh yis mauripan
2 sudu besar minyak zaitun 
1 sudu teh garam 
1/4 sudu teh gula pasir 

TOPPING 
Preggo Italian Sauce - Mushroom (boleh juga guna sos tomato)
2 batang sosej - di potong serong 
1/4 cawan isi ayam - di potong nipis 
Capsicum - hijau dan merah secukupnya
3 biji cendawan butang - di hiris
1/4 cawan - nenas 
Keju secukupnya 

Cara membuat :

1. Campur yis dengan air suam, biarkan 5 minit.

2. Di dalam mangkuk besar, masukkan tepung dan garam. Buat lubang di tengah-tengahnya, tuang minyak dan air bercampur yis tadi.
3. Uli hingga tidak melekat pada tangan dan tutup dengan kain bersih. Biarkan mengembang selama 1 jam.

4. Keluarkan doh, tumbuk agar keluar angin. Uli sekali lagi dan leperkan di atas loyang.
5. Sapu Preggo Italian sauce (atau sos tomato) ke atas adunan dan aturkan semua bahan-bahan topping.
6. Seterusnya bakar di dalam oven yang telah di panaskan dengan suhu 200'c selama 20 minit.

Assalamualaikum,


Dah lama rasanya tak buat kek. Kalau buat selalu pun anak-anak naik jemu, sudahnya diri sendiri yang kena habiskan. Tapi memandangkan sekarang cuti sekolah dan semua anak-anak berkumpul, ada pula 'request' dari anak kedua yang teringin nak makan kek yang ada topping cream cheese. Akhirnya saya buat juga kek strawberry simple semalam. Sebenarnya yang 'request' tu baru balik dari rombongan sekolah ke cameron highland. Mewahlah kek ni di hias dengan strawberry yang di bawa balik.


Resipi kek ni memang yang 'basic' dan ringkas sahaja. Sesuai bagi yang baru belajar buat kek. Jomlah kita lihat bahan-bahannya.

KEK STRAWBERRY SIMPLE 
Bahan-bahan
250gm tepung naik sendiri 
250gm mentega
200gm gula kastor
50ml susu segar
5 biji telur - gred A
1 sudu teh esen strawberry 
1 sudu besar pes strawberry 

Cara membuatnya:

1. Masukkan gula dan mentega di dalam mangkuk besar dan pukul hingga gebu.
2. Masukkan pula tepung sedikit demi sedikit dan pukul lagi hingga sebati.

3. Pecahkan telur satu persatu sambil di pukul lagi. Selang seli dengan memasukkan susu dan esen strawberry ke dalam adunan.
4.  Akhir sekali masukkan pes strawberry dan pukul lagi hingga bercampur rata.

5. Tuang adunan kedalam loyang dan bakar pada suhu 180'c selama 45minit atau sehingga masak.  

6. Setelah masak dan sejuk, bolehlah di potong di tengah kek untuk di hias dengan 'topping cream cheese'

TOPPING - Cream Cheese
1/2  cawan cream cheese
1/2  cawan mentega tawar
1/2 sudu teh esen vanilla
1 cawan gula ising 
1/4 cawan strawberry - di cincang 

Cara membuatnya :

Masukkan cream cheese, mentega dan esen vanilla dan di pukul rata.
Masukkan pula gula sambil di pukul hingga gebu dan berkrim. Siap untuk di hias di atas kek dan lapis dengan strawberry cincang.
Tutup pula lapisan atas dengan cream cheese dan atur strawberry segar di atas kek.
Assalamualaikum,

Anak sulung saya amat menggemari masakan berasaskan cendawan. Memang dia suka apapun jenis cendawan dan jika saya ke pasar basah atau pasaraya pasti cendawan ada dalam senarai barangan. Kali ini saya campurkan dengan daging goreng lada hitam. Memang serasi gandingan cendawan dan daging yang di masak begini. 

Resipinya ada di bawah ini bagi yang ingin mencubanya.
DAGING LADA HITAM BERCENDAWAN 
Bahan A - Di perap 
300gm daging - di hiris nipis
2 sudu besar kicap cair 
1 sudu besar sos lada hitam 
1/2 sudu besar tepung jagung 
1/2 sudu teh baking soda

Bahan B
1 labu bawang holland - di potong kasar 
2 ulas bawang putih - di cincang
1cm halia - di cincang 
1/2 sudu besar serbuk lada hitam
1/4 cawan air 
1 sudu besar sos tiram 
Cendawan : Saya guna 4 jenis iaitu cendawan shitake, shimeji, cendawan butang dan cendawan jeli hitam.
1/4 cawan lada benggala
sedikit hirisan batang saderi
2 sudu besar minyak 

Cara membuatnya:

1. Perap daging bersama kicap cair, sos lada hitam, tepung jagung dan baking soda. Tujuan memasukkan baking soda adalah untuk melembutkan lagi daging tersebut.

2. Panaskan kuali, tuang minyak masak dan masukkan daging. Goreng dan alih-alihkan sehingga daging masak.
3. Masukkan bawang putih dan halia. Kacau hingga naik bau.
4. Seterusnya masukkan bawang holland, air dan semua jenis cendawan serta lada benggala. Kacau lagi sebentar agar semua bercampur.
5. Masukkan pula sos tiram serta taburkan serbuk lada hitam lalu di kacau hingga masak.