Assalamualaikum, 

Anak-anak asyik bertanya, dah lama mama tak buat kek coklat. Jadi malam tadi untuk tidak menghampakan, saya buatkan juga sebiji kek dan bila masuk kedapur baru perasan stok telur dah habis. 

Kerana dah lewat saya hanya hasilkan kek coklat tanpa telur dan topping ringkas. Cukuplah sekadar tunaikan permintaan anak-anak dan menggunakan bahan-bahan yang ada di dapur sahaja. Bagi yang ingin mencuba, resepinya ada di bawah ni. 

KEK COKLAT TANPA TELUR 
Bahan-bahan
1 cawan tepung gandum
1/2 sudu teh baking powder
1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh esen vanilla
3/4 cawan gula kastor
1/2 cawan serbuk koko 
1/2 cawan minyak masak 
¼ cawan (1 sudu teh nescafe dalam ¼ cawan air panas)
¼ cawan susu cair
¼ cawan yogurt 

Cara membuat :

1. Sediakan loyang dan pengukus.

2. Di dalam mangkuk besar ayak tepung gandum, baking powder, soda bikarbonat dan gula.



3. Masukkan pula minyak masak, air nescafe panas susu cair dan yogurt peringkat demi peringkat sambil dikacau rata.
4. Tuang adunan kedalam loyang dan kukus selama 45minit hingga 1 jam atau sehingga masak. 

5.Pastikan loyang di tutup dengan plastik atau aluminium untuk menggelakkan air menitis keatas adunan.
UNTUK TOPPING 
1/2 bar coklat masakan 
2 sudu besar mentega
1/2 sudu besar gula halus 
Beberapa titik esen vanila.

gunakan kaedah double boiler, kemudian curah pada kek yang telah sejuk dan taburkan coklat rice diatasnya.

Assalamualaikum,

Salam pagi sabtu untuk semua. Hari ini saya manfaatkan tempoyak yang dah lama tersimpan di dalam peti sejuk, pemberian dari sahabat saya. Resepinya seperti biasa, cuma saya tidak letakkan santan di dalamnya tetapi rasanya tetap juga sedap.

Bagi yang ingin mencuba, resepinya ada di bawah :)  

UDANG MASAK TEMPOYAK DAN PETAI
Bahan A
400gm udang - di bersihkan
2 sudu besar minyak untuk menumis

Bahan B - Kisar 
3 tangkai cili besar
5 tangkai cili padi 
1/2 inci kunyit hidup 
5 ulas bawang merah 
2 ulas bawang putih 

Bahan C
2 batang serai - di ketuk 
3 sudu besar tempoyak
1/4 cawan petai - siap di kopek 
garam dan gula secukup rasa
1 biji tomato - di belah 4
daun kunyit - di hiris nipis

Cara 

1. Tumis bahan kisar dan kacau hingga cili masak menggunakan api kecil.
2. Masukkan air, serai dan masaklah hingga mendidih.
3. Seterusnya masukkan udang, tempoyak, gula serta garam dan renihkan.
4. Masukkan pula petai sampai di kacau hingga sebati.
5. Akhir sekali masukkan daun kunyit dan tomato. Bila masak sepenuhnya matikan api dapur.

Assalamualaikum,

Makan malam sebaiknya pilih menu yang ringkas-ringkas sahaja dan petang ini saya mengosongkan peti sejuk serta manafaatkan apa yang ada untuk hasilkan bihun goreng. Cuma taugeh dan sayur sahaja saya beli ketika pulang dari kerja tadi. Cendawan pun saya rendamkan stok shitake kering yang sentiasa ada di dapur rumah saya kerana anak-anak sangat suka dengan rasa cendawan ini. 

Jemu juga jika menu nasi tiap hari, kan? Malam ini kita layan menu bihun goreng cendawan pula. Yang ringkas sahaja, asalkan mengenyangkan :)

BIHUN GORENG CENDAWAN 

Bahan-Bahan 
400gm bihun - Di rendam hingga lembut
2 ulas bawang putih - di ketuk 
1 keping tahu - pilihan (di potong dadu)
50gm  sawi - di potong 
100gm sotong - boleh gantikan dengan lauk lain
Secekak taugeh 
6 butir cendawan shitake - di rendam hingga lembut dan potong 
1/2 batang lobak merah - di potong seperti mancis
2 biji telur 

Bahan Sos
1 sudu besar sos sotong - atau kicap cair 
1 sudu besar kicap manis 
1 sudu teh kicap pekat 
1/4 cawan sos cili
1/2 cawan air  
1 ketul kiub ayam 
garam secukup rasa - jika masih kurang masin

Cara membuatnya :

1. Panaskan minyak, tumis bawang putih hingga wangi dan masukkan sotong dan tauhu. Masukkan juga cendawan sambil di kacau rata.

2. Tuang semua bahan sos sambil di kacau lagi.

3. Masukkan pula sayuran dan kacau sekadar sayur layu sedikit. 

 4. Seterusnya pecahkan telur ke dalam kuali dan biarkan hingga telur masak sedikit lalu di kacau agar bercampur dengan bihun yang di goreng.



5. Masukkan pula taugeh dan kacau (kaup balik)  sekadar ianya layu sedikit dan matikan api dapur.  


Assalamualaikum,

Bagaikan tak lengkap hidangan nasi tanpa sayuran, walaupun ada yang tak suka makan sayur tetapi jika kita kreatif sedikit di dalam penyediannya, ia boleh menjadi hidangan yang di gemari.  

Hari ini saya ingin berkongsi resepi mudah iaitu tumis kacang panjang telur masin. Seperti juga hidangan sayuran lain, masa penyediannya juga singkat sahaja dan sedap di nikmati dengan nasi panas. 

TUMIS KACANG PANJANG TELUR MASIN
Bahan-bahan
300gm kacang panjang - di potong sepanjang 1 inci
1 sudu besar sambal belacan - atau tumbuk 1 tangkai cili merah dengan 1 sudu teh belacan
1 sudu teh gula
1/2 sudu teh lada sulah
1/4 cawan air 
5 ekor udang saiz sederhana - di kopek kulitnya
1 biji telur masin - di rebus dan belah dua (1 bahagian di cincang dan satu bahagian lagi di potong baji)

Bahan Tumis
2 sudu besar minyak masak
2 ulas bawang putih - di hiris
3 ulas bawang merah - di hiris
1/2 tangkai cili besar - di hiris

Bahan Sos
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap manis
1/2 sudu besar sos sotong

Cara membuat :

1. Tumis Bawang merah, bawang putih dan cili besar hingga harum dan keperangan.
2. Masukkan pula kacang panjang dan dan udang sambil di kacau.

3. Masukkan air dan masak sehingga kacang lembut sedikit.
4. Seterusnya masukkan bahan sos, lada sulah dan gula sambil di kacau. Jika kuah agak pekat, bolehlah di masukkan sedikit air lagi. Masukkan juga satu sudu besar sambal belacan.
5. Masukkan pula sebahagian telur masin yang di hancurkan dan kacau rata serta matikan api dapur. 
6. Hidangkan sayur yang telah masak dengan menabur sebahagian lagi telur masin yang di potong.
Assalamualaikum,

Sup adalah menu kegemaran anak-anak saya, tak kiralah apa jenis sup sekalipun. Kalau ada sup dan telur dadar, sempurnalah hidangan bagi mereka...tak perlu berjenis-jenis lauk. 

Hari ini saya ingin berkongsi resepi sup ikan ringkas dan semoga bermanafaat bagi sesiapa yang ingin mencubanya terutama sekali yang baru belajar memasak.

Bahan-bahan dan caranya pun mudah sahaja. Jom kita tengok.
SUP IKAN RINGKAS
3 keping isi ikan
3 biji kentang - di kupas dan potong empat
Air secukupnya - untuk kuah

Bahan A - Tumis
1/2  inci halia – di potong memanjang
3 ulas bawang merah  - di hiris 
3 ulas bawang putih - di hiris 
4 tangkai cili padi – dipotong memanjang
sedikit minyak

Bahan B - Sos
1/2 sudu teh serbuk lada sulah
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos sotong/ikan
Garam secukup rasa

Bahan C
Daun bawang
Daun sup
Jus limau ( jika suka sup masam)

Cara penyediaan :

1. Tumis halia, bawang putih, cilipadi dan bawang merah hingga wangi.
2. Kemudian masukkan air dan renih sehingga mendidih.

3. Masukkan pula kentang dan masak sehingga kentang agak empuk.
4. Masukkan isi ikan satu persatu ke dalam kuah sup.


3. Bila mendidih masukkan sos tiram, sos sotong/ikan, lada sulah dan garam. 

4. Sesuaikan rasanya. Jika suka sup masam boleh letak jus limau.

5. Hidangkan dengan menabur daun bawang dan daun ketumbar.

Assalamualaikum, 

Salam pagi isnin untuk semua. Hari ini saya ingin berkongsi resepi nasi goreng siang malam. Agak unik nama menu ini, tapi yang istimewanya, anda boleh menikmati dua rasa nasi goreng dalam satu pinggan. 

Membuatnya pun sangat mudah dan hasilnya menarik juga. Sesekali boleh buat kejutan untuk suami atau anak-anak tersayang dengan hidangan ini, walaupun sekadar nasi goreng.

Jom lihat resepi :)

NASI GORENG SIANG MALAM 
Bahan-bahan (Untuk hidangan 1 - 2 orang)

1 mangkuk nasi
2 ulas bawang merah - di hiris
1 ulas bawang putih - di hiris
4 ekor udang segar - boleh gantikan dengan isi ayam 
1 biji telur 
1/4 sudu teh serbuk lada sulah 
garam secukup rasa
1 sudu besar kicap manis 
1/2 sudu teh sos tiram 
1/2 sudu teh sos sotong 
minyak untuk menumis

 Cara membuat :

1. Tumis bawang putih dan bawang merah hingga wangi dan kekuningan.

2. Masukkan telur dan di kacau hingga menjadi seperti telur hancur.


3. Masukkan pula nasi sejuk dan kacau lagi. Pastikan tidak ada nasi yang berketul.


4. Seterusnya masukkan lada sulah sambil di kacau dan asingkan separuh dari nasi ini untuk satu proses lagi. Masukkan garam secukup rasa kedalam nasi yang masih ada di dalam kuali (Nasi goreng putih - siang). Ketepikan.


5. Untuk menghasilkan nasi goreng (malam), masukkan baki nasi yang di asingkan tadi ke dalam kuali, campurkan dengan kicap manis, sos tiram dan sos sotong. Kacau hingga sebati dan matikan api dapur.

6. Hidangkan keduanya dalam satu pinggan.

Assalamualaikum,


Sambal tumis petai memang membuka selera, tetapi penggemar pedas seperti saya lebih suka menggunakan cili padi dan cili besar yang di kisar kasar sedikit untuk menghasilkan sambal ini. Selalunya saya buat dalam kuantiti yang banyak dan ini akan menjadi penyelamat di saat tak sempat untuk memasak. Hanya tambahkan udang, sotong atau boleh juga goreng ikan dan tuangkan sambal ini di atasnya seperti yang saya buat hari ini.

Resepinya ringkas, seperti sambal tumis yang biasa kita buat tu, tapi bagi yang suka, boleh membuatkan nasi bertambah-tambah. Jom kita lihat cara membuatnya... :)

SAMBAL IKAN PETAI - SUPER PEDAS

Bahan A
4 Keping isi ikan - saya gunakan ikan gerut (gaul dengan garam, kunyit dan goreng)
1/2 cawan petai - yang telah di kopek
1 labu bawang besar - di hiris
1 sudu besar kerisik
2 sudu besar minyak - untuk menumis
garam dan gula secukup rasa

Bahan B - Kisar
5 tangkai cili besar 
20 tangkai cili padi - kurangkan kalau tak tahan pedas
1 cawan air asam jawa
1/2 inci belacan
5 ulas bawang merah 
2 ulas bawang putih 

Cara membuat :

1. Tuang minyak di dalam kuali dan tumis bahan-bahan kisar dan kacau hingga wangi.
2. Masukkan pula air asam jawa untuk seimbangkan rasa pedas dari cili padi.
3. Seterusnya masukkan petai sambil di kacau. Tambahkan gula dan garam secukup rasa.
4. Masukkan kerisik dan bawang besar sambil di kacau hingga sebati. 
5. Suaikan kepekatan sambal ini, jika ingin cair sedikit, boleh tambahkan air. Setelah sambal masak sepenuhnya bolehlah di masukkan isi ikan yang di goreng atau udang dan sotong mengikut pilihan anda.

Assalamualaikum, 

Sudah menjadi trend sekarang banyak cara kreatif di gunakan untuk menghidangkan makanan. Yang jadi kegilaan baru adalah aiskrim pasu. Kalau tengok 'presentation' aiskrim yang di hidangkan dalam pasu yang di gunakan untuk tanam pokok tu, walaupun bersih...jujurnya rasa macam tak sanggup nak telan. Di tambah pula dengan serbuk oreo yang kelihatan seakan-akan tanah sebenar. 

Oleh kerana anak gadis saya teruja sangat nak buat aiskrim dalam pasu, saya gunakan mangkuk tembikar yang seakan-akan cawan. Biasalah anak-anak ni bila benda baru menjadi 'trend' memang mereka tak nak ketinggalan. Cuma daun pudina tak ada jadi saya gantikan dengan bunga plastik. Itupun letak di hujung 'straw' minuman sahaja sebagai hiasan. 

AISKRIM PASU
Bahan-bahan

Beberapa biji pasu kecil - saya guna mangkuk tembikar 
Aiskrim secukupnya - perisa ikut citarasa sendiri
kek cawan atau kek span biasa yang di potong mengikut saiz dasar pasu
1 bungkus kecil biskut oreo - di buang inti dan hancurkan
straw minuman secukupnya
Daun pudina - boleh gantikan dengan bunga plastik (steril terlebih dahulu)

Cara membuat:

1. Masukkan kek cawan kedalam pasu dan tekan ke dasarnya.
 2. Cucuk straw di tengah-tengah kek sebagai tempat untuk meletak bunga nanti.
 3. Sudukan aiskrim perisa kegemaran keatas kek.
 4. Taburkan pula serbuk oreo ke atas aiskrim dan ratakan.
 5. Seterusnya letakkan daun pudina atau bunga (saya gunakan bunga plastik) ke dalam lubang straw dan hidangkan.

Assalamualaikum,

Salam pagi jumaat yang penuh dengan keberkatan. Pagi ini saya ingin berkongsi resepi mee goreng tomyam dan bagi yang ingin mempelbagaikan resepi mee bolehlah cuba resepi di bawah ini.

Bagi yang tak tahan pedas pula jangan letak cili padi di dalam bahan kisar kerana di dalam pes tomyam sudah seimbang rasa pedasnya. Tetapi bagi saya lagi pedas lagi 'terangkat' sebab saya memang penggemar makanan yang pedas-pedas.

Bagi yang nak cuba resepi ni jom kita tengok bahan-bahannya.
MEE GORENG TOMYAM SEDAP
Bahan-bahan
400gm mee kuning 
1/2 batang lobak merah - di potong seperti mancis
Sawi
100gm udang - di kopek kulitnya
10 biji 'fish ball'
2 keping 'fish cake'
1 sudu besar pes tomyam
1 sudu besar kicap sotong/ikan 
2 sudu besar minyak untuk menumis
1/2 cawan air
1/2 sudu teh kicap pekat

Bahan Kisar
1 labu bawang besar 
2cm lengkuas
1 biji tomato masak 
1 batang serai
2 tangkai cili padi

Cara memasak :

1. Tumis bahan kisar hingga wangi dan garing.

2. Masukkan udang, fish cake dan fish ball sambil di kacau.

3. Masukkan pula pes tomyam dan air sambil di kacau hingga sebati.

4. Seterusnya masukkan kicap sotong/kicap ikan.

5. Masukkan pula mee kuning sambil di kacau hingga sebati dan mee bersalut dengan bahan tumis. Masukkan juga kicap pekat.

6. Akhir sekali masukkan sawi dan lobak merah dan kacau lagi hingga sayur layu dan mee masak.