KARI KEPALA IKAN CHE JAH

Assalamualaikum, 

Dah lama tak bersua ye. Sibuk benar kebelakangan ini dengan urusan di rumah, tugas harian di pejabat, menghadiri kelas dan menyiapkan assignment yang harus di hantar setiap bulan. Beginilah rutin sebaik sahaja menyambung pelajaran, masa agak terhad untuk tugas-tugas yang lebih penting walaupun memasak dan 'update' blog juga penting dan mendatangkan kepuasan bagi saya. 

Hari ini saya ingin berkongsi resepi kari kepala ikan che jah yang resepinya saya ambil dari blog Amie's little kitchen. Terimakasih K.Amie dan Che Jah untuk resepi yang sungguh lazat ini. Oleh kerana saya memasak untuk makan malam kari kepala ikan ini, saya sekadar menggunakan apa yang ada di dalam  peti sejuk sahaja dan tidak meletakkan kacang bendi dan terung kerana tak ada stok. Jika tidak mesti bertambah lazat lagi.

Baki kari yang tidak habis untuk hidangan makan malam itu saya panaskan hingga agak kering serta pekat dan cicah dengan roti ketika sarapan pagi. Memang layanlah... :)

KARI KEPALA IKAN CHE JAH 
 Sumber      Amie's little kitchen 
Resepi asal  Puan Che Jah Bakar

Bahan-bahan:
Kepala ikan bawal / jenahak / tenggiri dll - belah 2  
5 sudu makan rempah kari ikan - Amie gunakan rempah kari  ikan dan udang Baba's (saya pun guna jenama ini)
sejemput / secubit halba 
sejemput / secubit biji sawi
2 biji terung bulat - belah 4 - saya tak letak  
10 biji kancang bendi - saya tak letak 
tomato - saya tambah
1/4 cawan santan pekat
sedikit asam jawa - bancuh dengan 1 cawan air
1 pelepah daun kari - lurutkan
garam / gula / perasa pilihan
Bahan hiris :
2 ulas bawang putih
2 biji bawang merah 
Bahan tumbuk:
2 ulas bawang putih 
2 ulas bawang merah - tumbuk
sejemput / secubit jintan putih
Cara memasak:

1. Goreng kepala ikan setengah masak dan ketepikan.

2. Gaul bahan tumbuk dengan rempah kari ikan hingga sebati - Amie tambah sedikit air.

3. Panaskan minyak dan goreng bahan hiris hingga layu dan berbau harum.

4. Masukkan bahan rempah kari, daun kari, halba serta biji sawi dan tumis kacau hingga terbit minyak.
5. Masukkan air asam jawa, terung dan kacang bendi dan biarkan sehingga mendidih - sekiranya kuah terlalu pekat atau air terlalu sedikit, boleh tambahkan sedikit air lagi.
6. Masukkan kepala ikan, tambahkan santan pekat. Biarkan seketika sehingga masak.

7. Perasakan dengan garam / gula / serbuk perasa (pilihan)

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)