Assalamualaikum,


Sekadar mempelbagaikan sarapan pagi hari ini, saya buatkan muffin tuna savoury. Selalu tu kan dah biasa buatkan muffin yang manis-manis, sesekali ubah selera sedap juga. 

Hari ni semua anak-anak ada di rumah kerana dah bermula cuti sekolah sempena tahun baru cina esok, jadi bersemangat nak buatkan sarapan walaupun terkejar untuk masuk ke pejabat. Banyak tempahan feri dari agen pelancongan mula masuk dan Langkawi akan di banjiri pelancong lagi sepanjang minggu ini.

Baiklah, pada yang ingin mencuba resepi muffin ni jom tengok di bawah, hari ni tak sempat nak berceloteh panjang.
TUNA SAVOURY MUFFIN
Bahan A
2 cawan tepung gandum
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh baking soda
1/2 sudu teh garam halus

Bahan B
80gm ikan tuna mayonaise - pedas
2 biji telur gred A
250ml susu segar
20gm mentega - di cairkan
2 keping kepingan keju cheddar - di hiris

Bahan C
2 tangkai daun bawang - di hiris
1 tangkai daun sup - di hiris
2 sudu besar lada benggala di cincang - pilihan
3 sudu besar lobak merah di parut - pilihan
1/2 labu bawang besar - di cincang halus
Cara membuatnya :

1. Panaskan oven pada suhu 180'c. Ayak semua bahan A kedalam mangkuk besar. Ketepikan seketika.

2. Di dalam bekas lain pukul telur dengan garfu dan masukkan mentega cair di ikuti dengan semua bahan C. Kacau seketika.

3. Masukkan pula ikan tuna pedas, separuh dari kepingan cheese yang di potong dan susu segar. Kacau agar semuanya bercampur. Kalau mau lebih pedas, bolehlah masukkan sedikit serbuk cili mengikut selera.

4. Tuang bahan basah yang di kacau tadi kedalam tepung yang di ayak dan kacau dengan spatula atau 'hand whisk' sekadar semuanya bercampur. Jangan terlebih kacau, jika tidak muffin akan menjadi keras. Jangan risau sekiranya masih ada gumpalan kecil tepung kerana sebaik sahaja di bakar ianya akan hilang.

5. Masukkan kedalam acuan muffin dan taburkan lebihan potongan cheese di atasnya. Boleh juga taburkan lebihan daun bawang dan lada benggala di sebelum di bakar.

6. Bakar muffin dengan suhu 180'c selama 15 - 20minit atau sehingga masak, dan bolehlah di hidangkan.

Assalamualaikum,

Semalam ada teman baik bawa banyak belimbing buluh ke pejabat. Katanya pokok belimbing di rumahnya berbuah lebat. Alhamdulillah, dapat juga kawan-kawan merasa. Pulang dari pejabat saya singgah ke pasar basah dan beli telur itik yang memang sentiasa di jual oleh peniaga di situ.

Akhirnya belimbing buluh pemberian sahabat baik saya itu di rampai dengan telur itik dan di masak lemak. Seperti biasa resepinya ringkas sahaja, sekejap je dah masak. Jom kita lihat...
MASAK LEMAK TELUR ITIK DENGAN BELIMBING BULUH

Bahan A (di tumbuk)
10 biji cili padi 
1 inci kunyit hidup
3 ulas bawang merah 
2 ulas bawang putih

Bahan B
4 biji telur itik
3 cawan santan sederhana pekat 
7-8 biji belimbing buluh - di belah
1 keping asam gelugur
1 batang serai - di ketuk
Garam secukup rasa
serbuk perasa - (jika suka)

Cara Memasak.

1. Tumbuk semua bahan A hingga halus. Kalau nak memudahkan kerja, blender juga boleh, tapi saya lebih suka tumbuk.

2. Masukkan santan ke dalam periuk dan nyalakan api dapur. Masukkan juga bahan yang di tumbuk ke dalam santan tersebut dan kacau hingga sebati dan mendidih. Masukkan juga asam gelugur dan juga serai.

3. Pecahkan telur di dalam mangkuk dan lepaskan satu persatu ke dalam kuah lemak tadi. Bila agak keras sedikit, alih perlahan-lahan telur tersebut dengan senduk atau sudu.

4. Masukkan pula belimbing buluh dan perasakan dengan garam dan serbuk perasa(jika suka). Renihkan hingga masak dan bolehlah matikan api dapur.

Assalamualaikum,

Salam pagi sabtu untuk semua pembaca blog yang sudi singgah di sini. Kebelakangan ini cuaca sejuk melanda di beberapa tempat di Malaysia dan fenomena ini mengakibatkan tahap kesihatan anak-anak dan kita sendiri juga tidak stabil. Mudah demam dan selsema. Berbagai spekulasi juga berkenaan dengan cuaca sejuk dan perubahan angin di negara-negara lain muncul di facebook dan youtube, malah ada pula yang menokok tambah cerita dan menimbulkan keresahan pembaca. Apa pun itu, kita harus pandai menilai dan membezakan antara berita benar dan palsu.

Baiklah, sebenarnya saya pun kurang sihat dan selsema sehari dua ini, tetapi alhamdulillah sempat juga siapkan tempahan muffin coklat & pandan untuk majlis perkahwinan jiran sebelah rumah yang melangsungkan perkahwinan dua orang anaknya iaitu lelaki dan perempuan. Tahniah untuk keluarga Puan Jamilah dan En Saad dan terimakasih sudi menempah muffin dengan saya.
Resepi muffin pandan boleh lihat di sini dan muffin coklat pula saya ambil resepinya dari blog Izah. Terima kasih Izah..Saya kongsikan sekali lagi resepi muffin coklat yang sedap itu di sini.


MUFFIN COKLAT
resipi dari blog : izahdaut - Muffin Lover
sumber: mak Lang &  kak Ummi

Bahan-bahannya:

A
 2 cawan tepung gandum
1 1/4 cawan serbuk koko - boleh kurangkan kepada 1 cawan 
2 sudu kecil baking powder
1 1/2 sudu kecil soda bikarbonate
3 sudu teh nescafe - pilihan
sedikit garam

B
 2 cawan gula kastor
1 cawan minyak masak
1 cawan susu cair - atau susu segar
3 biji telur

C
 3/4 cawan air panas

Campurkan semua bahan-bahan B dan letak ketepi. Ayakkan tepung bersama serbuk koko, baking powder dan soda dan campurkan semua bahan A di dalam mangkuk besar.

 Masukkan bahan B ke dalam A dan kacau rata. Kemudian akhir sekali masukkan air panas ke dalam adunan tadi dan gaul rata. Ceduk ke dalam muffin cup dan bakar pada suhu 175 C selama 20 minit.

Muffin Pandan yang siap di bungkus

Ini pula muffin Coklat 

Siap untuk di hantar...200biji muffin coklat & 200biji muffin pandan.

Assalamualaikum,

Bekal mengenyangkan untuk anak ke sekolah adalah nasi goreng. Selalunya anak-anak suka di campurkan dengan sosej atau nugget dan pagi ini ada nasi lebihan 'dinner' semalam, saya buatkan nasi goreng sosej, di rampai dengan isi ayam dan segala yang ada dalam peti sejuk di rumah saya. 

Jom kita lihat, resepinya mudah, dan nasi goreng ringkas sahaja.
NASI GORENG SOSEJ  
Bahan-bahan
2 cawan nasi 
4 batang sosej - potong ikut suka dan goreng sebentar - ketepikan
50gm isi ayam 
3 ulas bawang merah - di mayang  
2 ulas bawang putih - di mayang 
3 biji cili padi di ketuk - pilihan (saya letak sebab anak suka pedas)
1 biji telur 
Sedikit daun bawang 
sedikit sayur campuran (Jika tak ada boleh potong dadu lobak merah)
Lada sulah
1 sudu teh - Kicap Ikan Thai/kicap sotong
1 sudu besar sos tiram 
3 sudu besar minyak masak - untuk menumis

Cara Memasak:

1. Tumis bawang merah, bawang putih dan cili padi hingga wangi. Masukkan isi ayam dan kacau hingga sebati.
2. Pecahkan telur ke dalam bahan tumisan tadi dan kacau dengan cepat. Masukkan pula nasi dan sayur campuran sambil di kacau.
3. Masukkan pula kicap ikan/sotong, sos tiram dan kacau hingga bercampur. Ketika ini saya gunakan api yang besar dan kacau dengan cepat.
4. Kecilkan api, masukkan sosej yang di goreng tadi dan taburkan dengan daun bawang. Apabila nasi sudah secukup rasa, matikan api dapur. 
5. Nasi goreng sosej juga enak di hidangkan dengan sos cili.   
Assalamualaikum,

Bahan-bahan yang di gunakan untuk kek pisang ini sedikit sahaja dan proses membuatnya cukup mudah. Hanya blender semua dan bakar. Tidak memerlukan kepakaran memasak untuk menghasilkannya. Sebelum ini saya pernah kongsikan di SINI, tapi kali ini saya masukkan sedikit pes pandan ke dalam adunan. 

Bagi yang ingin mencuba, saya sertakan resepinya di sini...
KEK PISANG PANDAN - MUDAH
Bahan-bahan
2 cawan tepung gandum (ayak dengan 1sudu teh soda bikarbonat & 1 sudu teh baking powder)
Pisang emas 6 hingga 7biji (Jika gunakan pisang saiz besar, kurangkan kepada 3 hingga 4 biji sahaja)
Telur gred A - 3biji
1 cawan gula pasir 
1 cawan minyak masak 
Pes pandan 
Esen pisang

CARA-CARA

1. Ayak tepung gandum dengan soda & baking powder ke dalam mangkuk besar.

2. Blender pisang, telur, gula pasir dan minyak masak. Tuangkan kedalam tepung gandum tadi.
 
3. Kacau hingga sebati dengan whisk dan bahagikan kepada dua bekas. Satu bekas di masukkan esen pisang dan satu bekas lagi di masukkan pes pandan.
4. Tuang kedalam loyang berselang seli dan bakar dengan suhu 160c hingga masak (bergantung pada oven masing-masing).

Assalamualaikum,

Kenapa pula tajuk entri hari ni bubur kacang campuran - satu malaysia agaknya ye? Sebenarnya kacang ni dah lama beli dari supermarket tapi masih tak ada rancangan nak masak apa. Ada tiga jenis kacang dalam satu bungkusan iaitu kacang hijau, kacang merah dan kacang soya. Sesuka hati saya je letak nama satu Malaysia, kan :D.

Resepi bubur kacang ni sama juga dengan bubur kacang biasa cuma bila masuk kedalam mulut dan terkunyah, ada kelainan rasa dan tekstur antara tiga jenis kacang. Jika tak ada kacang campuran ni, lebihan kacang yang kita gunakan untuk memasak seperti kacang merah atau kacang hijau atau kacang-kacang lain yang sesuai untuk di buat bubur juga boleh kita campur dari mengelak pembaziran dan jadikan pencuci mulut yang enak untuk keluarga. 

Baiklah, jom kita lihat resepi...

BUBUR KACANG CAMPURAN
300gm kacang campuran (boleh gantikan dengan kacang hijau) - rebus hingga empuk  
1 ketul gula melaka - atau 2 cawan gula perang / gula putih (kemanisan terpulang kepada anda)  
secubit garam - untuk membangkitkan rasa lemak  
2 helai daun pandan - do koyak dan simpul
800ml air + 200ml santan kara (kotak)
Cara membuatnya: 

1) Masukkan kacang campuran ke dalam periuk, rebus sehingga empuk.

2) Masukkan pula gula melaka yang dihiris, daun pandan, santan dan garam.
 3) Masak hingga mendidih dan kacau sekali sekala. Boleh di tambah air mengikut kepekatan bubur yang di kehendaki.

4. Bila bubur sudah masak, bolehlah di hidangkan sebagai pencuci mulut
Assalamualaikum, 

Hari ini di Kedah cuti umum sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah, jadi ramai penjawat awam dan swasta  yang bercuti dan bersantai di rumah. Sudah sarapan atau belum ya? Jika tiap hari bersarapan berat seperti nasi lemak dan roti canai, apa kata sesekali berubah kepada yang lebih ringan sedikit. Saya suka makan bubur nasi. tak kiralah apa jenis sekali pun dan hari ni saya ingin berkongsi resepi bubur nasi ikan Teochew. 

Sedap bubur nasi ni, walaupun ringkas sahaja. Gandingan udang kering, sotong kering dan isi ikan benar-benar membuka selera. Bagi yang ingin mencuba, resepinya ada saya sertakan. 

TEOCHEW FISH PORRIDGE
Sumber : Kitchentigress

(Resipi untuk 2 orang)
Bahan A
20gm udang kering (bilas dan rendam selama 10minit )
10gm sotong kering - di gunting menjadi jalur nipis - rendam dan bilas

200gm isi ikan - saya gunakan ikan tenggiri (bilas dan potong dadu, di campur kicap cair dan di gaul dengan 1/2 sudu teh tepung ubi)
120gm beras
800-900ml air

 Bahan B
1sudu teh kicap cair
1 kiub ikan bilis - saya tambah
1 sudu besar bawang putih atau bawang merah goreng
1 sudu besar daun bawang - di potong
Serbuk lada sulah secukup rasa

1. Ikan yang di gunakan untuk membuat bubur selalunya yang mempunyai isi yang banyak dan tekstur yang lembut seperti tenggiri, bawal putih atau kurau.

2. Sediakan udang kering, sotong kering dan isi ikan seperti arahan di atas.

3. Basuh beras dan rebus dengan udang kering hingga mendidih. Kacau selalu agar beras tidak melekat di dasar periuk.

4.Tambah air jika perlu, bergantung kepada kepekatan bubur yang di kehendaki dan rebus lagi.

5. Perasakan bubur dengan kiub ikan bilis (saya tambah) dan kicap cair. Masukkan juga isi ikan dan renihkan sebentar sambil di kacau. Jangan terlebih masak isi ikan tersebut. 

6. Masukkan pula sotong kering (sebentar sahaja). Apabila bubur telah secukup rasa matikan api dapur.
 7. Hidangkan segera dengan bawang putih dan bawang merah goreng, cili padi yang di rendam dengan kicap cair atau hirisan halia muda.

Assalamualaikum,

Salam pagi sabtu. Alhamdulillah...hari ini bercuti dan menghabiskan masa dengan anak-anak di rumah. 'Abang' iaitu pangilan manja untuk anak kedua yang belajar di tingkatan 1 tinggal di asrama pulang bercuti hingga esok jadi meriahlah di rumah sejak semalam.

Hari ini saya cuti memasak kerana ada banyak aktiviti menanti. Anak-anak teruja nak ke pantai dan makan di luar. Walau bagaimana pun, saya nak kongsi resepi yang mudah sarapan anak-anak pagi ini.

Mudah sangat sandwich telur ni...budak-budak pun boleh buat. Saya simpan di blog ini untuk rujukan anak-anak di masa depan, sebab walaupun mudah tiap kali nak buat tetap aja dia akan bertanya. Kiranya resepi hari untuk budak-budak lah ni. 

Senang sangat...campur semua sapu pada roti, dah boleh makan. Kat kantin sekolah sekeping roti sandwich ini pun di jual rm 1.00 tau. Kalau buat sendiri untuk bekal anak-anak bawa ke sekolah pun jimat ni :).
SANDWICH TELUR
Bahan-bahan 
Sebuku roti sandwich (roti tawar)
3 biji telur rebus 
timun
Mentega
garam halus 
serbuk lada sulah
25gm mayonis

Cara membuatnya:

1. Timun di buang biji dan potong dadu. Ketepikan seketika.
2. Kupas telur rebus tadi dan masukkan ke dalam mangkuk serta hancurkan.
3. Masukkan timun, garam, serbuk lada sulah serta mayonis kedalam telur hancur tadi sambil di kacau hingga bercampur.
4. Sapu mentega di roti dan masukkan campuran telur tadi.
5. Sapukan sekeping roti lagi dengan mentega dan lapiskan di atas roti tersebut.
5. Potong roti sandwich yang telah siap dan bolehlah di hidangkan. Semudah ABC, kan :D

Assalamualaikum,

Salam pagi jumaat penghulu segala hari. Di Kedah hari ini dan esok cuti minggu tapi saya bekerja awal pagi kerana ramai pelancong tempatan masuk ke Langkawi hari ni. Ketika bergegas ke pejabat saya melalui pasar basah yang berdekatan dengan rumah saya. Selalunya awal pagi di pasar memang ramai yang membeli barangan basah hari cuti begini. Itu pemandangan biasa dan kebanjiran pengguna ke pasar basah bergantung kepada hari minggu, cuti umum, cuti sekolah, musim perayaan ataupun baru dapat gaji. 

Kesibukan pada awal pagi dengan kereta yang di parkir tidak tersusun dan menurunkan penumpang sesuka hati menimbulkan tekanan juga. Maklumlah....mengejar 'punch card'.Tapi saya suka menggunakan jalan tersebut kerana ianya 'short cut' ke tempat kerja saya dan boleh jeling buah-buahan segar, sayuran kampung atau hasil tangkapan laut yang di punggah dari lori. Itu juga terapi okeh, untuk blogger masak-memasak :D

Hmm, dah melalut pula saya bercerita tentang pasar hari ni..jomlah kita lihat apa yang saya masak pula. Pernah letak sawi jeruk dalam asam pedas? Bagi yang belum pernah tu cubalah...sedap. 
ASAM PEDAS IKAN DENGAN SAWI JERUK
Bahan A
Beberapa ketul ikan (Saya gunakan kepala & isi ikan tenggiri)
1 biji tomato - potong 4
Asam jawa secukupnya - di ramas dengan 1 cawan air   
2 cawan air (boleh tambah ikut kepekatan kuah)
garam, gula dan serbuk perasa (jika suka) 
Sawi jeruk 
Bahan untuk di kisar (Bahan B)
5 ulas bawang merah 
3 ulas bawang putih 
20 tangkai cili kering 
2 tangkai cili merah (pilihan, boleh juga gantikan dengan cili padi)
1/4 inci kunyit hidup 
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
1/2 inci belacan
CARA MEMASAK:

1. Cuci ikan hingga bersih ketepikan seketika. Cuci juga sawi jeruk dan di potong-potong.

2. Potong cili kering dan rebus hingga lembut. Tapis dan buang bijinya.
3. Kisar semua bahan B dan tumis hingga naik bau dan cili masak. Masukkan air asam jawa dan renihkan seketika. Masukkan juga air secukupnya, dan masaklah hingga mendidih. 
4. Kecilkan api, masukkan garam, gula dan serbuk perasa(jika suka). Seterusnya masukkan sawi jeruk dan isi ikan. Renih hingga masak sepenuhnya dan suaikan rasa. Asam pedas sepatutnya ada rasa pedas, masam dan  manis. 
5. Bila asam pedas telah masak dan secukup rasa, bolehlah matikan api dan hidangkan dengan nasi panas.