SET NASI TOMATO

Assalamualaikum,

Salam hari minggu :). Masak apa ya untuk makan tengahari hari ni? kalau cuti begini, selalunya anak-anak minta menu yang sedikit istimewa dari hari biasa. Maklumlah mama sedang bercuti. Saya ada masak kan nasi tomato, ayam masak merah dan dalca untuk hidangan tengahari ni. Cuma kerabu timun/nenas sahaja tidak ada dalam set hidangan ini.

Resepi-resepi ini saya ambil dari buku Chef Hanieliza (1 hari 1 resepi) dan semuanya menjadi dan sedap. Buku dan hasil resepi kak Liza ini memang benar-benar membantu dan memudahkan kerja memasak saya. Izinkan saya berkongsi resepi ini sekali lagi di sini untuk rujukan pembaca blog ini.

Saya satukan ketiga-tiga resepi ini dalam satu tajuk - Set nasi tomato, untuk memudahkan anak gadis saya dan pembaca blog yang sudi mencuba resepi ini di masa depan, agar tak tercari-cari resepi ayam masak merah dan dalca di label lain. 

Jom kita semak resepinya...

NASI TOMATO (RESEPI 1) 
Bahan A
5 cawan beras ( di cuci dan toskan)
1/2 cawan susu cair
4 biji tomato (di cincang)
1/2 cawan sos tomato
3 sudu makan minyak sapi 
garam secukup rasa
6 cawan air
daun pandan di simpul
2 batang serai
1 kotak kecil kismis


Bahan B
3 ulas bawang putih -di hiris
5 ulas bawang merah-di hiris 
1 inci halia - di hiris
3 biji buah pelaga 
3 kuntum bunga cengkih
1 inci kulit kayu manis 
2 kuntum bunga lawang 


CARA MEMBUATNYA 
1. Panaskan minyak sapi di dalam kuali, tumiskan bahan tumis, serai dan daun pandan sehingga wangi.

2. Masukkan tomato cincang, garam dan gaul rata. Tambahkan kismis, susu cair, air dan biarkan mendidih.

3. Masukkan bahan tumis kedalam beras di dalam periuk nasi. Biarkan masak.

4. Apabila nasi sudah kering, kacau rata tapi jangan sampai hancur.



AYAM MASAK MERAH (RESEPI 2)
Bahan-bahan
1 ekor ayam 
1 labu bawang besar di potong gelang 
2 sudu makan sos tomato 
minyak masak 
garam dan gula secukup rasa 
Kunyit.


Bahan di kisar
15 tangkai cili kering 
2 inci halia 
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
2 batang serai
 4 biji tomato 


CARA MEMBUATNYA
1. Ayam di potong kecil dan di bersihkan. Kemudian gaulkan dengan serbuk kunyit dan garam. Goreng hingga masak.

2. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumiskan bahan yang di kisarsehingga garing.

3. Masukkan ayam yang telah di goreng, sos tomato, bawang besar, garam dan gula.

4. Gaulkan hingga sebati dan rata, hidangkan dalam pinggan.

* Saya tambah kacang peas dalam tin atas permintaan anak-anak :)


DALCA (RESEPI 3)
Bahan A
600 gram daging ayam/tulang - (resepi asal guna daging kambing)
1/2 cawan kacang dal (direbus lembut)
 cawan santan (dari 1/2 biji kelapa)
3 sudu makan rempah kari daging
1 sudu minyak sapi
3 sudu makan minyak masak
garam secukup rasa


Bahan B (Sayur-sayuran)
3 biji ubi kentang
5 kacang panjang 
1 biji lobak merah
 4 biji cili hijau ( tak ada stok - saya guna cili merah je :) )
2 biji mangga muda (tak ada, saya gantikan dengan belimbing buluh)
2 biji tomato
1 labu bawang besar
2 biji terung bulat.


Bahan C - Bagi menumis
 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 inci halia 
1 inci kulit kayu manis 
3 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga 
3 tangkai daun kari 


CARA MEMBUATNYA
1. Perapkan daging dengan rempah kari selama satu jam 

20. panaskan minyak masak dan minyak sapi, tumiskan bahan tumis hingga wangi.

3. Masukkan daging yang di perap dan kacau rata

4. Masukkan air dan masak hingga daging lembut.

5. Apabila daging lembut, masukkan santan, kacang dal, garam dan sayuran-sayuran.

6. Masakkan sehingga semua sayur lembut, sediakan untuk di hidangkan.

1 ulasan:

Sila tinggalkan komen :)