Assalamualaikum,
Masyarakat di Malaysia memang sinonim dengan makanan yang pedas dan membuka selera seperti sambal goreng kering. Sambal kering bukan sahaja dinikmati bersama nasi putih tetapi digandingkan juga dengan bubur nasi, roti dan enak diratah begitu sahaja. Walaupun bahan-bahan yang digunakan agak minimum tetapi rasanya tetap enak dan jika kena cara penyediaanya sambal jenis ini tahan lama serta boleh dibawa keluar negara ketika melancong ataupun menunaikan ibadah Haji di Mekah. Sambal kering jenis ini juga sesuai untuk dijadikan bekalan pelajar-pelajar yang tinggal diasrama yang merindukan masakan dari rumah.
Ada dua jenis sambal kering yang boleh dicuba iaitu seperti berikut :
SAMBAL GORENG CILI KERING
Bahan-bahan:
100 gram cili kering
50gm ikan bilis
7 ulas cili merah – dimayang halus
½ sudu besar jus asam jawa
Garam dan gula secukupnya
Minyak untuk menumis
Cara membuat :
1. Rebus cili kering hingga lembut, toskan dan tapis agar terpisah dari bijinya.
2.Tumbuk cili kering tersebut dan jika mesin, jangan gunakan air langsung, hanya masukkan minyak kedalam pengisar. Tekstur cili yang di tumbuk atau dimesin hendaklah kasar sedikit
3. Goreng ikan bilis hingga garing, angkat dan toskan minyaknya. Ketepikan seketika.
4. Panaskan minyak didalam kuali, dengan menggunakan api kecil tumis bawang merah yang dimayang tadi dan kacau hingga garing. Masukkan pula cili kering yang ditumbuk bersama jus asam jawa dan masak lagi sambil dikacau tanpa henti hingga cili menjadi kering seperti tekstur serunding dan pecah minyak.
5. Setelah cili masak sepenuhnya masukkan ikan bilis goreng dan perasakan dengan garam dan gula.
Resipi 2
SAMBAL GORENG TEMPE DAN BILIS
Bahan A
100 gram kering ikan bilis - dikopek
200 gram kacang tanah
2 bungkus tempe – dipotong nipis
Garam dan gula secukup rasa
2 sudu besar gula pasir
4 sudu besar air asam jawa
2 sudu besar udang kering – dikisar halus
Bahan B - (Kisar dengan sedikit minyak – tanpa air)
4 ulas bawang putih
8 ulas bawang merah
16 tangkai cili kering - direndam dalam air panas hingga lembut dan toskan
Cara membuat :
1. Panaskan kuali dan goreng tempe. Bila dah bewarna kuning dan garing angkat dan toskan. Kemudian goreng pula kacang tanah didalam minyak tersebut dan dikacau selalu agar tidak hangit. Angkat setelah garing. Goreng pula ikan bilis hingga garing dan toskan.
2. Tumis bahan kisar hingga wangi dan pecah minyak, masukkan air asam jawa serta garam, gula dan udang kering. Renih menggunakan api kecil dan pastikan sambal betul-betul masak dan kering.
3. Seterusnya masukkan kacang tanah, tempe dan ikan bilis dan kacau hingga sebati dengan sambal. Setelah sambal kering matikan api dapur.
6 TIPS UNTUK KEKALKAN KETAHANAN SAMBAL KERING
Walaupun betul-betul mengikut resipi yang diberikan kenapa sesetengah orang yang cuba membuatnya tidak menjadi dan sambal tidak tahan lama? Ada 6 tips untuk kekalkan ketahanan sambal kering yang akan saya kongsikan iaitu seperti berikut:
1. Sebelum mula membuat sambal, sediakan bekas kedap udara yang sesuai untuk menyimpan sambal dan kelengkapan dapur yang akan digunakan untuk proses pembuatan sambal iaitu seperti blender, lesung batu, food processor dan pisau dapur dalam keadaan bersih kerana sisa makanan atau kotoran boleh menjadi tempat kuman membiak dan mengakibatkan sambal tidak tahan lama .
2. Kisar bahan-bahan dengan menggunakan sedikit minyak masak sahaja, bukannya air. Boleh juga ditumbuk cili kering hingga lumat.
3. Tumis bahan kisar hingga kering dan pecah minyak. Bahan tumisan yang tidak kering membuatkan sambal tidak tahan lama, mudah berkulat serta berubah rasa dan aroma.
4. Guna ikan bilis yang berkualiti, begitu juga bawang dan juga cili kering.
5. Setelah sambal benar-benar masak, matikan api dapur dan tunggu hingga sejuk barulah dimasukkan kedalam bekas kedap udara.
6. Ketika mengambil sambal, gunalah sudu yang bersih. Jangan gunakan sudu basah ataupun yang telah digunakan untuk makan sambal kerana bakteria dari udara dan bahan makanan lain boleh mengakibatkan sambal tersebut berkulat.
Itulah dua resipi sambal kering dan 6 tips untuk membuatnya tahan lama. Semoga bermanafaat dan selamat mencuba.