Assalamualaikum, 

Wah...dah sebulan lebih nampaknya saya tidak update sebarang berita di blog ni. Last update pada penghujung bulan Ogos dulu dan hari ini penutup bulan September baru tergerak nak masuk semula ke blog dan update. Masih ada resipi-resipi lama yang tersimpan di draft tapi nak mula menulis tu, ya Allah...malas yang amat rasanya.

Bagi follower yang masih ingat dan ada yang pm saya di media sosial bertanya khabar, terima kasih saya ucapkan. Saya tak kemana-mana dalam tempoh sebulan ni. Alhamdulillah sihat, cuma sibuk dengan tugas di pejabat dan mengejar target dalam tugas harian dan sibuk juga uruskan keluarga tercinta. iyelah kadang-kadang berhenti sejenak bergelumang dengan media sosial ini dapat merehatkan minda dan inshaAllah lebih fresh bila mula berkarya semula. Oh ya walaupun saya menyepikan diri dari berblogging, masih ada yang sudi menawarkan untuk bekerjasama iaitu menyumbang resepi dan menulis untuk majalah serta undangan untuk menjayakan majlis. Terimakasih kepada pihak yang terlibat dan Alhamdulillah, semuanya tetap berjalan sederhana seperti biasa walaupun dibelakang tabir. Job kecil-kecilan sahaja, sesuailah dengan saya yang sentiasa sibuk dengan kerja.

Baiklah, terus sahaja kepada perkongsian resipi nasi ayam panggang yang dah lama benar tersimpan dalam draft di blog ni. Cuma yang spoil sikit, ayam yang saya gunakan ni, peniaga dipasar dah tersalah potong. Saya pesan ayam seekor dipotong dua dan berlalu pergi ke gerai sayur. Bila saya datang semula dia dah siap potong dan saya cuma sedar ayam ini dipotong kecil ketika membuka bungkusan tersebut dirumah. Oleh kerana dah siap semua barang, saya masakkan juga nasi ayam panggang ni. Tetapi bagi yang ingin mencuba, anda disyorkan guna ayam yang di potong dua atau empat kerana teksturnya lebih juicy selepas dipanggang.

Ok lah, jom kita tengok resipi nasi ayam panggang yang saya sediakan dibawah ni. 

NASI AYAM PANGGANG 
Bahan untuk nasi ayam:
3 cawan beras - dicuci dan ditoskan
2 sudu besar minyak masak
4 ulas bawang putih - dihiris
4 ulas bawang merah - dihiris
4 ½ cawan air rebusan ayam (daripada ayam yang direbus)
1 ketul kiub ayam
2 helai daun pandan - dikoyak dan simpulkan
2 inci halia - diketuk

Untuk sos cili:
4 biji cili merah
2 biji cili padi (ikut citarasa)
3 ulas bawang putih
2 cm halia muda - dihiris
100 ml air rebusan ayam (daripada ayam yang direbus)
1 sudu teh gula
garam secukup rasa
3 sudu besar jus limau kasturi

Untuk sos kicap:
(digaul dalam mangkuk):
Kicap lemak manis secukupnya
4 sudu besar air rebusan ayam (daripada ayam yang direbus)
3 sudu kecil minyak bawang putih (bawang putih cincang yang digoreng dengan minyak masak)

Bahan untuk rebusan ayam :
1 ekor ayam - saiz sederhana
1 ketul kiub ayam 
1 inci halia - diketuk
4 ulas bawang putih - diketuk

Bahan untuk perapan ayam:
2 ulas bawang putih (ditumbuk)
3 sudu besar  madu
3 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap pekat
1 sudu teh minyak bijan (pilihan / kalau tak letak pun tak apa)

Sedikit lada sulah

Cara Memasak

Untuk ayam:

1. Cuci ayam dengan bersih di bawah air yang mengalir, kemudian masukkan kedalam periuk. Rebus ayam bersama halia, bawang putih dan masukkan juga kiub ayam.
2. Setelah air rebusan mendidih dan isi ayam agak lembut, matikan api dapur dan toskan ayam. Perap ayam dalam dalam 15minit, masukkan kedalam oven dan panggang sehingga kulit ayam agak garing.

3. Sementara ayam masak, asingkan air rebusan tadi untuk penyediaan nasi, sos kicap dan sos cili.

5. Biarkan ayam seketika sebelum memotong mengikut saiz hidangan yang diingini (untuk mengelak dari isi ayam menjadi keras setelah sejuk, jangan potong ayam tersebut ketika masih panas). 

Untuk nasi:
1. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali dan gorengkan bawang merah dan bawang putih yang dicincang sehingga naik bau dan berwarna perang keemasan.
2. Masukkan beras ke dalam kuali dan kacau sehingga rata. Kemudian, alihkan beras tadi ke dalam periuk nasi.
3. Masukkan air rebusan ayam, pati Ayam , daun pandan dan halia yang diketuk ke dalam periuk nasi yang berisi beras.
Untuk sos cili:
1. Kisar cili merah, cili padi, bawang putih dan halia yang dihiris bersama dengan air rebusan ayam di dalam pengisar sehingga ia mencapai kepekatan yang diingini.
2. Untuk sos yang tahan lama, bolehlah dimasak terlebih dahulu dan ia boleh disimpan di dalam bekas kaca kedap udara sehingga 1 minggu di dalam peti sejuk.