BISKUT MARBLE SHORTBREAD

Assalamualaikum,

Biskut Marble Shortbread adalah sejenis lagi biskut yang mudah untuk dibuat kerana tidak perlu diterap satu-satu menggunakan acuan biskut, cukup bakar didalam satu loyang dan bila dah sejuk hiaskan dengan coklat masakan dan coklat putih. Cuma tips untuk mendapatkan biskut marble shortbread yang sempurna hendaklah gunakan acuan shortbread yang siap menggunakan pemotongnya supaya biskut lebih senang dipotong. 

Bakar adunan biskut dengan acuan pemotong dan setelah biskut masak keluarkan pemotong perlahan-lahan dan biarkan biskut sejuk dalam 10minit sebelum hiaskan dengan coklat masakan.

Resipi biskut marble shortbread ini saya ambil dari fotopages Rinnchan dan ubah sedikit bahan-bahannya.

BISKUT MARBLE SHORTBREAD 
Bahan-bahan: 
220gm mentega 
70gm gula caster 
250gm tepung gandum 
2 sudu besar tepung beras (diayak bersama tepung gandum) 
1/4 sudu teh garam 

Coklat Hiasan 
200gm coklat masakan 
1 sudu besar shortening 
* Dicairkan melalui kaedah `double-boil` 

50gm coklat putih 
* Dicairkan melalui kaedah `double-boil` 

Cara membuatnya :

1. Pukul mentega dan gula hingga kembang. Masukkan tepung dan uli hingga menjadi doh. Jika agak melekit di tangan tambah sedikit tepung gandum. 

2. Kemudian sapukan mentega cair pada loyang bersaiz 10x10 dan lapiskan dengan kertas minyak.

3. Setelah itu canaikan doh di dalam loyang, cucuk dengan garfu. Tekan alat pemotong ke dalam adunan biskut dan bakar pada suhu 160 darjah celcius selama 25 minit. 

4. Bila biskut masak, keluarkan alat pemotong perlahan-lahan dan biarkan sehingga biskut sejuk (dalam 10minit) sebelum dihias dengan coklat.

5. Cairkan coklat masak + shortening, kemudian tuang atas biskut yang telah disejukkan tadi.


6. Cairkan coklat putih, masukkan ke dalam piping beg dan lorekkan atas coklat masakan. Tarik coklat putih dengan lidi untuk dijadikan corak batik.

7. Masukkan semula alat pemotong kek ke dalam biskut dan sejukkan dalam fridge selama 10minit atau sehingga coklat telah keras.


8. Bila coklat dah beku, keluarkan alat pemotong dan pisahkan biskut sebelum menyimpan ke dalam bekas kedap udara. 

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)