Assalamualaikum,
Lama benar tak buat muffin untuk anak-anak, tapi bila ada permintaan dari si bongsu untuk bawa ke sekolah semalam, menjadilah juga Muffin Chocochips. Maklumlah di Kedah semalam adalah hari terakhir persekolahan sebelum cuti pertengahan tahun sehingga 10hb Jun ini.
Stok coklat chips dan serbuk koko pun masih banyak di almari dapur. Nak membuatnya pun mudah sangat main campur semua sahaja tetapi pastikan tidak terlebih kacau. Kalau tidak muffin akan menjadi keras. Cukup kaup balik dalam kiraan 20kali sahaja sebelum aduan dituang kedalam acuan dan dibakar. Jom kita lihat resipinya :
MUFFIN CHOCOCHIPS
Bahan-bahan
200 gram tepung gandum
150 gram gula kastor
125 gram mentega - cairkan
50 ml susu cair/segar
2 biji telur - Gred A
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh baking soda
1 sudu makan esen vanila
125 gram coklat chips
20 gram serbuk koko
Cara membuatnya:
1. Panaskan oven pada suhu 180'c dan sediakan acuan mufin.
2.Cairkan mentega dengan susu cair/segar dan sejukkan.
3.Campurkan dan ayak serbuk koko,tepung gandum, baking powder dan baking soda kedalam mangkuk besar.
4. Pukul telur dan gula menggunakan spatula sampai gula larut, masukkan esen vanila. Tuang kedalam bahan kering (campuran tepung yang diayak tadi) dan kacau.
5. Masukkan pula campuran susu + mentega serta coklat chips. Kacau rata dan tuang kedalam acuan muffin.
6. Taburkan sedikit coklat chip diatas muffin dan bakar selama 20 minit atau sehingga masak.
Tips : Jangan terlebih kacau atau muffin akan menjadi keras. Cukup sekadar kaup balik hingga semua bahan bercampur (jangan lebih 20kali). Jika adunan nampak berketul sedikit tidak mengapa. Lepas bakar, muffin akan naik cantik.
0 comments:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan komen :)