Assalamualaikum, 

Pernah makan tak labu siam? Sesetengah tempat ada juga yang panggil labu tumbuk atau labu jambu, malah ada yang tersalah sangka ingatkan labu ini buah jambu batu bila nampak dijual dipasar. Sedap tau labu siam ni kalau dimasak sayur tumis atau sayur lemak. Pagi ini saya masakkan sayur lodeh labu siam dan gandingkan dengan nasi impit serta sambal tumis telur sebagai sarapan pagi. Memang sungguh menyelerakan sekali. Resipinya sama sahaja seperti sayur lodeh biasa cuma saya tidak masukkan sayur-sayuran lain. 

Jom cuba masak dirumah..kalau tak makan dengan nasi impit, gandingkan dengan nasi pun sedap tau.  
LODEH LABU SIAM
Bahan-bahan:
1 biji labu siam - dikupas dan hiris nipis memanjang 
200 gm Udang (saiz sederhana)
50 gm Fucuk - direndam sehingga lembut
sebungkus suhun peket kecil (50 gm) - direndam sehingga lembut
sebungkus tempe  - dipotong 
1/2 batang lobak merah
2 batang Serai - diketuk
2 ketul tauhu - dipotong dadu dan digoreng 
1 cawan santan pekat
1 liter air
garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan yang dikisar
3 sudu besar udang kering
1 biji buah keras 
2 labu bawang besar
5 tangkai cili merah
5 tangkai cili padi
2 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup

Cara Memasak:

1. Kupas dan hiris memanjang labu siam. Ketepikan seketika. 
2. Kisar bawang besar, bawang merah, bawang putih, kunyit hidup dan udang kering. 
2. Panaskan minyak, tumiskan bahan-bahan yang dikisar sehingga harum.

3. Masukkan udang, santan tahu dan juga tempe. Kemudian, tambahkan air. 
4. Kacau rata sehingga mendidih.

5. Seterusnya masukkan pula lobak merah, labu siam, fucuk dan juga suhun.

6. Renih sehingga masak dan perasakan dengan garam dan gula. Sedap dihidangkan ketika panas bersama dengan nasi impit dan sambal tumis.

Assalamualaikum, 

Bila cuti sekolah bermula. maka akan adalah permintaan dari anak-anak teringin nak makan itu dan ini. Salah satu menu yang rating permintaan paling tinggi adalah asam laksa. Ada perbezaan ke Asam laksa dengan laksa biasa? Secara peribadi, saya lebih suka asam laksa kerana rasa kuahnya yang sangat lazat ditambah pula dengan bahan sampingan iaitu hirisan nenas dan petis yang melengkapkan dan melazatkan lagi laksa ini. 

Hmm tengah bercerita pun dah kecur liur ni, hehehe. Jom layan resipi dan gambar asam laksa yang saya sediakan ini. Sekadar memenuhi permintaan orang dalam rumah ini...nak makan banyak pun kesihatan tidak mengizinkan. Tiba-tiba sahaja gastrik datang kembali setelah sekian lama sembuh. Agaknya kerana waktu makan yang tidak menentu dan harapnya segeralah sembuh sebelum bulan Ramadhan al mubarak menjelang tiba. Semoga kita semua juga diberikan kesihatan yang baik untuk menjalani ibadah puasa pada tahun ini dan berpeluang bertemu bulan mulia yang hanya datang sekali setahun.

Jom kita lihat resepi Asam laksa Sedap dan langkah demi langkah penyediaannya. Mungkin ada yang ingin buat sendiri dirumah :)  

ASAM LAKSA SEDAP
Bahan-bahan
Sebungkus laksa kering - direndam dan rebus hingga lembut. Toskan

Bahan Kisar
15 tangkai cili kering 
10 ulas bawang merah
1 inci lengkuas
1/2 inci kunyit hidup
2 batang serai
1 inci belacan

Bahan untuk Kuah 
500gm ikan kembung 
1 tangkai bunga kantan
5 tangkai daun kesum 
garam dan gula secukup rasa
1 cawan jus asam jawa 
3 keping asam gelugur

Bahan sampingan
Telur rebus
Nenas - dihiris
bawang besar - dimayang 
cili besar
cili padi
Timun - dihiris
daun salad 
petis 

Cara membuatnya :

1. Bersihkan ikan kembung dan rebus hingga masak. Keluarkan ikan dari periuk dan asingkan isi ikan dari tulang. Kisar pula tulang dengan sedikit air dan tapis patinya kedalam periuk berisi air rebusan ikan tadi.

2. Kisar semua bahan A hingga halus dan tuang kedalam air rebusan ikan dan tambah air lagi mengikut kepekatan kuah yang di kehendaki.
3. Masukkan bunga kantan, daun kesum dan asam gelugur. Masak sebentar.
4. Seterusnya lenyek isi ikan tadi (jangan halus sangat) dengan garfu dan tuang kedalam periuk.
5. Akhir sekali masukkan jus asam jawa beserta garam dan gula secukup rasa. Masak hingga mendidih dan kecilkan api dapur. Biarkan kuah direnih hingga 1 jam dan pastikan kuah secukup rasa. Kuah Asam laksa seharusnya lebih dominan dengan rasa masam.
6. Akhir sekali bolehlah dihidangkan dengan laksa dan ulam-ulaman. Jangan lupa masukkan juga petis untuk rasa yang lebih lazat.

Assalamualaikum, 

Lama benar tak buat muffin untuk anak-anak, tapi bila ada permintaan dari si bongsu untuk bawa ke sekolah semalam, menjadilah juga Muffin Chocochips. Maklumlah di Kedah semalam adalah hari terakhir persekolahan sebelum cuti pertengahan tahun sehingga 10hb Jun ini. 

Stok coklat chips dan serbuk koko pun masih banyak di almari dapur. Nak membuatnya pun mudah sangat main campur semua sahaja tetapi pastikan tidak terlebih kacau. Kalau tidak muffin akan menjadi keras. Cukup kaup balik dalam kiraan 20kali sahaja sebelum aduan dituang kedalam acuan dan dibakar. Jom kita lihat resipinya :

MUFFIN CHOCOCHIPS
Bahan-bahan
200 gram tepung gandum
150 gram gula kastor
125 gram mentega - cairkan
50 ml susu cair/segar
2 biji telur - Gred A
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh baking soda
1 sudu makan esen vanila
125 gram coklat chips 
20 gram serbuk koko

Cara membuatnya:

1. Panaskan oven pada suhu 180'c dan sediakan acuan mufin. 

2.Cairkan mentega dengan susu cair/segar dan sejukkan.

3.Campurkan dan ayak serbuk koko,tepung gandum, baking powder dan baking soda kedalam mangkuk besar.
4. Pukul telur dan gula menggunakan spatula sampai gula larut, masukkan esen vanila. Tuang kedalam bahan kering (campuran tepung yang diayak tadi) dan kacau.
5. Masukkan pula campuran susu + mentega serta coklat chips. Kacau rata dan tuang kedalam acuan muffin. 

6.  Taburkan sedikit coklat chip diatas muffin dan bakar selama 20 minit atau sehingga masak.


Tips : Jangan terlebih kacau atau muffin akan menjadi keras. Cukup sekadar kaup balik hingga semua bahan bercampur (jangan lebih 20kali). Jika adunan nampak berketul sedikit tidak mengapa. Lepas bakar, muffin akan naik cantik.

Assalamualaikum,


Ramadan makin menghampiri dan bekalan kurma juga dah banyak membanjiri pasaran dengan berbagai jenis jenama serta gred dari negara-negara timur tengah. Setiap tahun permintaan kurma amat tinggi dari negara-negara islam termasuk Malaysia menjelang Ramadan kerana ia adalah makanan sunnah di samping mengandungi nutrien yang tinggi dan menyegarkan tubuh setelah seharian berpuasa.

Selain dari dimakan begitu sahaja atau dikisar bersama susu sebagai minuman menyegarkan, buah kurma juga boleh dipelbagaikan didalam masakan mengikut kreativiti dan salah satunya resipi yang ingin saya kongsikan hari ini adalah bengkang kurma lemak manis. Bagi yang ingin mencubanya bolehlah ikut resipi dibawah ini :) 

Resipi ini saya gunakan sukatan cawan metrik

BENGKANG KURMA LEMAK MANIS
Bahan-Bahan 
1 cawan tepung gandum 
1/2 cawan gula perang 
2 biji telur 
1/2 sudu teh garam halus 
1 sudu teh esen vanilla
1 tin susu cair 
1 1/2 cawan santan
6 biji kurma - untuk di kisar kedalam adunan
6 biji kurma - untuk ditabur di atas bengkang 

Cara membuatnya: 

1. Sukat gula perang dan tepung gandum. Ketepikan seketika


2. Masukkan tepung gandum bersama gula perang, santan, susu cair garam halus, esen vanilla dan telur kedalam blender.


3. Masukkan juga buah kurma yng telah dibuang bijinya terlebih dahulu. Kisar hingga adunan tidak berbintil.


4. Seterusnya tuang adunan kedalam periuk, masak sambil dikacau dengan api kecil sehingga adunan agak berat (pekat). Tuang kedalam loyang yang telah disapu minyak dan tabur baki kurma yang telah dibuang biji.


5. Bakar pada suhu 180'c selama 45minit atau 1 jam (bergantung kepada kapasiti oven masing-masing). 

6. Setelah sejuk bolehlah dipotong dan hidangkan.
Assalamualaikum, 

Dah lama berhajat nak buat apam nasi tapi tak kesampaian. Selalunya lebihan nasi saya gorengkan untuk sarapan pagi kerana anak-anak suka. Tapi pagi ini nasi sejuk yang berbaki selepas makan malam tadi saya tukarkan menjadi apam nasi. Sedapnya alahai...dah lama tak makan apam nasi yang gebu gebas digaul dengan kelapa parut. 

Resipinya saya ambil dari blog yatie memories. Terima kasih yatie dan izinkan saya kongsikan resipi disini pula ye. Kepada yang ingin mencuba, bolehlah ikut resipi dibawah ini. Memang menjadi dan gebu, apamnya :) 
APAM NASI
Bahan-bahannya 
2 cawan nasi
2 cawan tepung gandum
2 cawan tepung beras
1 1/2 cawan gula pasir
2 1/2 cawan air
2 sudu kecil yis (mauripan)
Kelapa parut dengan sedikit garam

Cara membuatnya: 

1. Kisar nasi dan air sehingga hancur (masukkan air sedikit-sedikit dan kisar sampai halus).
2. Setelah hancur, campur gula ke dalamnya dan kisar lagi sehingga sebati.

3. Di dalam bekas lain,satukan tepung gandum,tepung beras dan yis.
Selepas itu,masukkan bahan cecair tadi ke dalam bekas tepung. Kacau sehingga sebati. Jika suka bolehlah masukkan sedikit warna kegemaran.
4. Perap selama 3 jam.Panaskan pengukus dan balut penutupnya dengan kain.
Sapukan sedikit minyak pada acuan kecil.
5. Masukkan kedalam acuan kecil dan kukus selama 15 minit.Hidang bersama kelapa yg telah di gaul dengan sedikit garam atau enak dimakan begitu saja.


Assalamulaikium, 


Salam isnin untuk semua pembaca blog, teman-teman blogger dan teman-teman FB. Hmm...dua hari ini siksa betul rasanya nak login ke facebook. Entah dimana silapnya, FB ashik 'hang' sahaja, jadi agak terbatas untuk berinteraksi dengan sahabat-sahabat maya. Jika saya tidak reply atau lambat komen tu jangan pula salah faham dan anggap sombong, ye. 

Ok berbalik kepada perkongsian resipi untuk hari ini, saya ada siapkan Kit Kat Green Tea Brownies semalam. Cadangnya nak masukkan ke blog dan share ke FB, tetapi oleh kerana masalah untuk login ke FB, saya tunda entry ke hari ini. Kepada penggemar Green Tea bolehlah mencuba resipi ini. Jom kita lihat :)  

KIT KAT GREEN TEA BROWNIES 
Bahan-bahan
2 biji telur - Gred A
150gm gula halus (Kisar gula pasir)
100gm Coklat masakan putih
120gm mentega
120 gm tepung gandum
20 gm serbuk greentea (Matcha)
1/2 sudu teh baking powder
secubit garam
8 jejari kit kat green tea
1/4 cawan coklat chips

Bahan Topping
Coklat putih - di cairkan 
Jejari kit secukupnya 

Cara membuatnya: 

1. Campur dan ayak tepung gandum, serbuk green tea dan baking powder, kemudian ketepikan seketika.
2. cairkan coklat masakan putih bersama mentega dengan kaedah double boiler. Setelah meleleh, matikan api dapur dan masukkan gula halus dan secubit garam, kacau rata.
3. Tuang coklat yang telah dicairkan ke dalam campuran tepung, kacau rata dengan spatula. Masukkan telur satu per satu sambil dikacau. Kacau sekadar bercampur sahaja dan jangan terlebih kacau.
4. Tuang adunan kedalam loyang yang telah disapu mentega dan ditaburi sedikit tepung gandum atau loyang yang dialas kertas minyak. Tabur green tea yang telah dipatah-patahkan bersama coklat chips.

5. Bakar di dalam oven yang telah dipanaskan sebelumnya dengan suhu 170'c selama 35 - 45 minit atau sehingga brownies masak.

Assalamualaikum, 


Salam pagi jumaat, penghulu segala hari. Pembaca blog yang tinggal di negeri-negeri yang cuti hujung minggunya pada hari jumaat mesti ada masa untuk memasak hari ini. Bagi yang sedang merancang-rancang nak masak apa tu, bolehlah cuba resipi Asam Pedas Ketam Cili Hidup yang saya kongsikan hari ini.

Mudah sahaja resipinya dan memang sedap gandingan kuah asam pedas dengan ketam yang isinya manis. Kali ini saya hanya gunakan cili hidup, jadi mudah kerja tak perlu nak rendam-rendam dengan air panas sebelum dikisar. Kunci kelazatan kuah asam pedas ini adalah cili hidup yang telah dikisar hendaklah ditumis dan masak hingga pecah minyak dan agak garing sebelum dimasukkan air, ketam dan bahan-bahan lain.

Nak cuba masak? Jom kita lihat bahan-bahannya :) 
ASAM PEDAS KETAM
1/2 kilogram Ketam - di kopek kulitnya dan bersihkan

Kisar hingga halus
5 tangkai cili merah 
20 tangkai cili padi
2 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
2 labu bawang besar
1 sudu teh lada hitam
1/2 inci belacan

Bahan lain 
1 kuntum bunga kantan
8 biji belimbing buluh 
sedikit daun kesum
1/2 biji bawang besar hiris
2 batang serai - diketuk
3 cawan air
garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara memasak :

1) Panaskan minyak dalam periuk dan tumis bawang hiris hingga layu dan berbau harum.

2) Tuang bahan kisar bersama serai dan daun kesum. Kacau sekali sekala dan biarkan sehingga pecah minyak.

3) Masukkan ketam bersama air, kacau dan biarkan sebentar. Kemudian masukkan belimbing buluh, bunga kantan, garam dan gula. Kacau sebentar dan sesuaikan rasanya.

4) Biarkan sehingga kuah mendidih dan ketam masak, bolehlah matikan api dapur dan hidangkan bersama nasi.


Assalamualaikum, 

Petang ni saya buatkan kek Kelapa Coklat chips yang simple sangat tapi wanginya semerbak ketika dibakar... tambahan pula bila kek dah hampir masak. Oleh kerana saya tak bercadang untuk letak topping pada kek kelapa ni, saya warnakan kelapa kering sebelum masukkan kedalam adunan. Nampak berseri sedikit, kan. Tapi terpulanglah...kalau tak letak warna pun kek ini tetap sedap rasanya.

Kalau saya buat kek untuk digandingkan dengan minum petang selalunya saya tak letak topping. Kalau tak habis tak perlu masukkan kedalam peti ais dah. Letak je didalam bekas kek diatas meja dapur...jadi mudah anak-anak ulang makan.

Selalu buat kek kelapa saya tak pernah pula letak coklat chips. Rupanya sedap gandingan kelapa dan coklat chips ni. Tak percaya cuba buat. Heee...heee...Seperti biasa resipi yang simple sahaja seperti dibawah ni. Selamat mencuba :) 
KEK KELAPA COKLAT CHIPS
Bahan-bahan
3/4 cawan mentega
2 cawan tepung gandum 
1 1/2 sudu teh baking powder
1 cawan gula kastor
1 sudu teh esen vanilla
3 biji telur - Gred A
1 cawan buttermilk - (Campurkan 1 cawan susu segar dengan 1 sudu besar perahan lemon/cuka untuk menghasilkan buttermilk)
1 1/4 cawan kelapa kering 
Sedikit pewarna kegemaran
1/2 cawan coklat chips

Cara membuatnya:

1. Panaskan oven pada suhu 180'c. lapik loyang dengan kertas minyak.

2. Ayak tepung gandum dan baking powder didalam sebuah mangkuk dan ketepikan seketika.

3.  Di dalam mangkuk adunan, pukul mentega dan gula kastor dengan kelajuan sederhana sehingga putih dan gebu. Masukkan esen vanilla, telur satu persatu dan pukul lagi.
4. Turunkan mixer kepada kelajuan rendah, masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit (3 peringkat) berselang seli dengan buttermilk dan matikan mixer.
5. Dengan menggunakan spatula, kaup balik kelapa kering kedalam adunan kek. Pastikan adunan tidak terlebih kacau.
6. Masukkan juga coklat chips dan kaup balik hingga semua bercampur. Tuang kedalam loyang. Tabur baki coklat chips diatas kek dan bakar dalam 45 ke 50minit atau sehingga kek masak.

Ini lah rupa kelapa kering. Asalnya memang warna putih, tetapi saya warnakan dengan merah jambu. Caranya : Masukkan kelapa kering kedalam plastik, titiskan sedikit sahaja (dalam setitik) warna kegemaran dan goncang-goncangkan plastik tersebut. Kelapa akan bertukar warna dan barulah kek nampak meriah :). Kalau warna kurang menyerlah barulah masukkan sedikit lagi pewarna. 


Assalamualaikum,

Kunci sajian lazat adalah bahan-bahan yang tepat dan seimbang. Masakan yang ringkas pun akan menjadi enak jika kena cara memasak. Sejak menggunakan Maggi® CukupRasa™ didalam masakan harian, saya tidak perlu lagi merasa berkali-kali untuk mendapatkan rasa yang ideal kerana sedikit sahaja taburan sudah mencukupi dan melazatkan masakan. Kini Maggi® CukupRasa™ menjadi rakan baik saya didapur.

Maggi® CukupRasa™ dihasilkan dengan sukatan bahan-bahan terpilih yang sempurna seperti bawang merah, bawang putih segar bersama garam dan seasoning, jadi anda tidak perlu lagi menambah garam serta serbuk perasa kedalam masakan. Ini ternyata lebih menyihatkan. Ianya juga sesuai untuk semua jenis menu. Saya selalu gunakan dalam masakan bergoreng, sayur, lauk pauk, bubur nasi dan juga sup. Oleh kerana penggunaannya yang mudah serta sukatan bahan-bahannya tepat, anda boleh mencipta resipi baru dan membuatkan masakan harian menjadi lebih unik serta menarik.

Hari ini saya ingin berkongsi menu sihat iaitu dimsum isi ikan. Penyediaannya yang tidak menggunakan minyak dan cili sudah pasti sesuai untuk dinikmati bersama keluarga serta anak-anak kecil. Kombinasi sayuran seperti sengkuang, lobak merah, daun bawang, bawang holland serta isi ikan yang dikisar serta ditambah dengan Maggi® CukupRasa™ amat sesuai sekali dan melazatkan dimsum isi ikan ini.

Ingin tahu cara membuatnya? Mari kita lihat langkah-langkah penyediaan dan resipi yang telah saya sediakan dibawah ini.

DIMSUM ISI IKAN 
Bahan A
500gm isi ikan - dikisar halus
1 batang lobak merah - dipotong dadu
1 biji sengkuang - dipotong dadu
1 labu bawang holland - dicincang 
3 tangkai daun bawang - dicincang
1 sudu besar sos tiram Maggi
1/2 sudu teh minyak bijan
secubit lada sulah

Bahan B
1/2 sudu besar Maggi® CukupRasa™
200gm tepung ubi

Bahan C
Kulit dimsum
kulit wantan secukupnya
1/2 batang lobak merah
1 biji putih telur

Sos : Dicampur
5 sudu besar sos cili
1/2 sudu teh cuka
secubit garam dan gula
1/4 cawan air panas

Cara membuatnya:

1. Kisar halus isi ikan dan ketepikan seketika.


2. Cuci, kupas dan potong lobak merah, bawang holland, sengkuang dan daun bawang.

3. Campurkan semua bahan A didalam mangkuk besar dan gaul rata.

4. Setelah itu taburkan Maggi® CukupRasa™ kedalam adunan tersebut dan kacau lagi hingga sebati. 
5. Masukkan pula tepung ubi, dan kacau lagi semua bahan.

6. Ambil kulit wantan, sapu dengan putih telur dan masukkan campuran isi ikan tadi dan bentukkan. Tabur dengan lobak merah parut dan ulangi langkah tersebut hingga habis.


7. Masukkan dimsum yang telah siap dibentuk tadi kedalam pengukus dan kukus dengan api sederhana sehingga masak.

8. Angkat dimsum dan bolehlah dihidangkan dengan sos.

Assalamualaikum,

Selamat berhari minggu untuk semua yang sudi masuk ke blog ini. Sarapan apa agaknya hari ini? Kalau saya cukup dengan bengkang oreo yang sedap dan sesuai dengan selera saya. Anak-anak pun suka, sekejap sahaja dah habis. 

Resipi asal adalah kuih bakar biskut marie dari kak Fida tapi saya gantikan dengan oreo serta ubah suai sedikit jumlah bahan-bahannya ikut kesesuaian biskut oreo yang manis. Kepada yang ingin mencuba, jom kita lihat resipi dibawah ni. 

BENGKANG OREO
Bahan-bahan
4 biji telur
200 gm gula pasir
570 gm santan - (1 kotak KARA 200ml + air)
115 gm tepung gandum
85 gm biskut oreo - dipatah-patahkan
1 sudu teh esen vanilla
sedikit bijan

Cara membuatnya:

1.Masukkan semua bahan kecuali bijan kedalam pengisar.

2. Kisar hingga halus dan tapis.

3. Tuang adunan ke dalam loyang yang telah di sapu mentega.

4. Bakar pada suhu 160'C selama 45minit-1jam, atau hingga masak. Biar kuih benar-benar sejuk baru dipotong dan sajikan.