Assalamualaikum,

Dah lama rasanya tak menjengah ke sini dan belum terlambat lagi untuk mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin  kepada pengunjung setia yang sering masuk ke blog ini walaupun saya jarang-jarang berkesempatan untuk 'update' resipi seperti dulu.

Hari ini saya ingin berkongsi resipi yang ringkas sahaja, sekadar untuk menghabiskan stok kurma pada bulan puasa yang lalu dan kebetulan pula ada baki roti yang tidak di habiskan oleh anak-anak. Bila dah 'transform' menjadi puding roti kurma sekejap pula laris dan licin. 

Puding ni memang sedap pada selera saya kerana kurang manis dan lembut teksturnya. Tak rugi bagi yang ingin mencubanya dan boleh juga gantikan kurma dengan kismis ataupun buah-buahan campuran. Ikut kreativiti kitalah asalkan tidak membazir dan terbuang bahan-bahan lebihan buat kek dan biskut untuk menyambut lebaran baru-baru ni. 

Bagi yang ingin mencuba resipi yang ringkas ni, jom kita lihat di bawah ni :)

PUDING ROTI KURMA
Saiz loyang : 8 inci

Bahan A
6 keping roti 
2 sudu besar mentega - di cairkan 
1/2 cawan kurma - di hiris

Bahan B
4 biji telur - Gred A
2 cawan susu segar 
3/4 cawan gula kastor
1 sudu teh serbuk kayu manis
1 sudu teh esen vanilla

Cara membuatnya:

1. Panaskan oven dan setkan kepanasan kepada 180'c

2. Carik-carikkan roti dan atur di dalam loyang. Tuang mentega cair ke atasnya dan taburkan buah kurma.
3. Di dalam bekas lain, putar telur, susu, gula kastor, serbuk kayu manis dan esen vanilla sehingga sebati dan gula hancur.
4. Tuang adunan yang di pukul tadi ke atas roti dan pastikan roti tersebut tenggelam dan terendam di dalam adunan tersebut.
5. Bakar selama 45minit (api atas dan bawah) dan sejukkan terlebih dahulu sebelum di potong untuk di sajikan.

Assalamualaikum, 

Selain daripada biskut yang manis pada hari lebaran, kuih siput yang rasanya pedas-pedas ranggup juga laris jika di hidangkan kepada tetamu yang bertandang. Cuma proses nak membuatnya agak mengambil masa sedikit dan memerlukan kesabaran yang tinggi juga. Proses menggentel adunan kuih siput ini selalunya di lakukan sambil menonton TV dan di bantu oleh anak gadis saya yang seorang tu.

Kalau nak habiskan kuih yang dah siap dalam balang tu memanglah cepat, tetapi menggentel adunan ni boleh terlelap di buatnya. Sebab itu saya suka buat satu adunan dahulu seperti resipi di bawah ni, kalau tak cukup barulah bancuh satu adunan lagi. 

Resipi kali ini saya cuba dari blog Damai Qalbu , cuma saya ubah suai sedikit. Terimakasih Rohah sudi berkongsi resipi yang sedap ini dan saya kongsikan pula di blog ni. 

KUIH SIPUT - Versi Rangup
Bahan-bahan:
600gm tepung gandum
220gm marjerin - dicairkan (Kalau nak lagi ranggup guna sukatan 240gm marjerin)
6 tangkai daun kari - untuk di campur dalam minyak semasa menggoreng
2 sudu besar serbuk kari
10gm jintan manis - Kisar
10gm jintan putih - Kisar
15gm udang kering - Goreng dan Kisar
2 ulas bawang putih - Dihiris halus dan digoreng serta dikisar
1 biji telur - di pukul ringan
Air (Sediakan 150ml+-)
1 sudu teh garam  

Cara:

1. Marjerin dicairkan dan sejukkan sebentar (suam-suam).Biarkan seketika.

2. Gaul tepung bersama serbuk kari dan marjerin yang telah dicairkan tadi.Ketepikan.

3. i-Kisar jintan manis dan jintan putih
   ii-Kisar udang kering yang digoreng bersama bawang putih.

4. Dalam satu bekas, campurkan bahan i & ii dan gaul rata bersama garam (suai rasa garam, jangan terlajak masin).

5. Kemudian masukkan bahan-bahan kisar tadi ke dalam adunan tepung yang telah disebatikan dengan margerin cair dan gaul rata.

6. Masukkan telur ke dalam adunan dan sebatikan. (sambil tu, cuitlah sedikit tepung untuk pastikan sekali lagi sama ada dah cukup masin atau belum).

7. Masukkan air sedikit demi sedikit, dan uli sampai betul-betul sebati.Jangan tuang air terus. Jika tak melekat tandanya adunan sudah jadi.

8. Gentel adunan, tekan dan gulung di atas acuan kuih siput. Goreng dengan api sederhana dan apabila hampir garing, masukkan daun kari dan goreng hingga garing dan ranggup. Angkat dan toskan.
Assalamualaikum, 

Ini dah kali ketiga saya buat biskut lidah kucing pelangi resipi dari blog kak wan@Citarasawan dan baru kali ini saya kongsikan di blog. Masa mula-mula biskut ini menjadi kegilaan dulu amat sukar mendapat loyang lidah kucing ini tetapi sekarang cukup mudah.  Hampir semua kedai bakery menjualnya. Jika di tempat anda masih sukar untuk mendapatkan loyang ini jangan risau kerana boleh juga menggunakan acuan cupcake tin untuk membakar biskut ini.

Terimakasih kak wan dan ibu Fatimah Bahalwan -NCC untuk resipi biskut yang ranggup dan sedap ini dan saya kongsikan sekali lagi di sini bagi yang ingin mencubanya.
BISKUT LIDAH KUCING PELANGI
Oleh: KakWan@Citarasawan
Olahan resepi Fatmah Bahalwan NCC

Bahan-bahan
250gm mentega
175gm gula kastor
100ml putih telur
200gm tepung gandum 
50gm tepung jagung
1/4 sudu teh emplex - perangup biskut

Pewarna ungu, biru, hijau, kuning, oren dan merah

Loyang lidah kucing digris dengan mentega 

Caranya
1. Ayak tepung gandum, tepung jagung dan emplex. Ketepikan.

2. Pukul mentega dan gula hingga berkrim. Masukkan putih telur sedikit demi sedikit dan putar hingga sebati.

3. Masukkan tepung dan kaup balikkan dengan spatula hingga rata.

4. Bahagikan adunan kepada 6 bahagian dan letak dengan pewarna berlainan.

5. Masukkan adunan ke dalam piping bag dengan nozel bulat dan picit lurus mendatar ke dalam loyang lidah kucing mengikut susunan warna pelangi. (Boleh juga gunting hujung piping bag sama besar ukuran dengan yang lain).

6. Bakar di dalam oven yang telah dipanaskan dahulu pada suhu 150C selama 15minit. Jangan biarkan permukaan atas keperangan kerana menengelamkan warna pelangi.

7. Biarkan sejuk dahulu dan simpan di dalam bekas kedap udara.
Assalamualaikum, 


InshaAllah lagi 4 hari umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dan hari ini baru berkesempatan untuk update blog setelah agak lama menyepikan diri. Tahun ini seperti juga tahun-tahun yang lalu saya hanya hasilkan biskut-biskut ringkas sahaja dan kebanyakkannya resipinya di cuba dari blog rakan-rakan blogger.

Untuk resipi pertama hari ini saya kongsikan resipi biskut yang sangat mudah dan hanya menggunakan 4 bahan sahaja. Biskut yang cair di dalam mulut ini amat di gemari oleh anak-anak saya. Untuk menyalut biskut ini saya gunakan gula icing menggantikan gula kastor. 

Bagi yang ingin mencubanya saya kongsikan resipi di sini.

BISKUT ARAB
Bahan-bahan
3 cawan tepung gandum - goreng tanpa minyak hingga kekuningan
1 cawan gula kastor
1 cawan minyak sapi
1/2 cawan gula icing 

Cara membuatnya :

1. Biarkan tepung yang di goreng sejuk seketika. Satukan tepung gandum dengan gula kastor dan gaul sekata.

2. Masukkan pula minyak sapi sikit demi sikit dan uli hingga jadi doh.

3. Bulatkan adunan dan bakar dengan suhu 180'c selama lebih kurang 15 minit
.
4. Sejukkan biskut yang telah siap di bakar dan golekkan dengan gula icing.

5. Masukkan di dalam cawan kertas kecil dan simpan di dalam bekas kedap udara.