Assalamualaikum,


Pertama sekali, sama-samalah kita doakan agar banjir di negeri-negeri pantai timur reda dan mangsa yang di pindahkan mendapat bekalan makanan, pakaian dan ubatan yang secukupnya. Sedih bila tengok gambar banjir yang di kongsikan oleh teman-teman FB, apalagi mendengar berita ada mangsa yang terkorban. 

Tempias hujan lebat dan cuaca yang tidak menentu juga melanda di negeri-negeri lain. Sama-samalah kita berdoa agar keadaan segera pulih dan kembali seperti sediakala, apatah lagi menjelang tahun baru 2015 dan anak-anak akan kembali ke sekolah. 

Baiklah, sebenarnya serbasalah untuk berkongsi resepi di saat ada yang sedang berduka dengan musibah dan ujian. Tetapi, sebagai blogger masakan...ini adalah perkongsian ilmu yang saya harap bermanafaat bagi yang ingin mencuba dan bukan untuk tujuan menunjuk-nunjuk. 

LEMPENG CENDAWAN

Bahan-bahan
1 cawan tepung gandum
1 cawan susu segar 
1/4 sudu teh garam 
3 tangkai daun bawang - di hiris
5 tangkai cendawan tiram - di hiris nipis
1 biji telur 
1 sudu teh baking powder
Cara Membuatnya:

1. Ayak tepung gandum bersama baking powder ke dalam mangkuk besar. Masukkan garam, daun bawang dan cendawan tiram.

2. Di dalam bekas lain, pukul telur dengan garfu dan tuang ke dalam bekas tepung tadi.

3. Masukkan juga susu segar sambil di kacau.
4. Kacau hingga sebati dan biarkan seketika dalam 5 minit agar adunan bercampur.
5. Seterusnya tuang sedikit adunan menggunakan senduk kecil ke dalam kuali anti lekat. Lenggang adunan tersebut hingga rata dan bakar menggunakan api sederhana.
6. Bila lempeng sudah masak, bolehlah di hidangkan dengan kari mengikut citarasa anda. 

Assalamualaikum,


Alhamdulillah. Itu sahaja yang dapat di lafazkan setelah impian pada tahun 2014 ini tercapai seperti yang di harapkan. Sukar di percayai apabila saya di pelawa oleh editor resepi Karangkraf untuk menghasilkan buku resepi sendiri dan di ikuti oleh penolong penerbit rancangan Feminin TV 1 RTM yang sudi menjemput saya menjadi  tetamu untuk slot masakan iaitu segmen baru yang akan di perkenalkan dalam rancangan itu, mulai Januari 2015. 

Bagi saya yang baru dua tahun menjadi blogger masakan, pencapaian ini amat besar sekali dan menjadi pendorong untuk lebih produktif lagi di masa akan datang.

Penggambaran dengan Karangkraf berjalan lancar mulai 15hb hingga 19hb Disember 2014 iaitu memasak 38 jenis lauk pauk, langkah demi langkah dan InshaAllah jika tiada aral, buku masakan saya yang pertama ini akan di terbitkan pada bulan Februari 2015.



Penggambaran dengan RTM pula berlangsung pada 22hb Disember 2014, iaitu menyediakan 6 jenis menu ringkas untuk segmen memasak di dalam Rancangan Feminin. Slot itu akan keudara setiap hari Khamis mulai Januari 2015 dan ini bermakna saya akan muncul selama 6 minggu. Saya juga suka dengan Konsep slot masakan yang akan di perkenalkan dalam rancangan ini iaitu lebih mudah di fahami dan tidak berceloteh. 




Alhamdulillah, itulah rezeki penutup 2014. Saya amat bersyukur di beri peluang oleh pihak yang melihat potensi dalam diri saya. Ini satu kepuasan di atas segala usaha selama ini. 

Terimakasih yang tidak terhingga kepada cik Siti Mahfuzah dari Karangkraf dan puan Samirah Isa dari RTM di atas tawaran dan seronok bekerja dengan keduanya yang sangat 'sporting' :)



Semoga 2015 yang akan datang memberi lebih banyak kejayaan dan peluang serta segalanya berjalan lancar sesuai dengan harapan dan impian selama ini. Amiinn ya Rab :)

Assalamualaikum,

Hari ini saya ingin berkongsi resepi kek pisang coklat. Ada sesetengah dari anak kita yang sukar makan buah-buahan walaupun pisang, tetapi jarang pula yang kita dengar anak-anak yang menolak dari menjamah coklat. Resepi kek hasil paduan antara pisang dan coklat ini sesuai sekali untuk di hidangkan kepada si kecil yang menolak untuk makan buah-buahan  tanpa dia menyedari ada pisang di dalam kek yang sedap ini. 

Ingin mencuba buat sendiri di rumah? Jom kita lihat resepi di bawah ini.

KEK PISANG COKLAT
Loyang : 8 inci 

Bahan A
3/4 cawan majerin 
1 cawan gula kastor
2 biji telur

Bahan B
1 1/4 cawan pisang - di lecek
1 sudu teh esen vanilla

Bahan C
2 cawan tepung gandum
3/4 cawan serbuk koko
1 1/2 sudu teh baking powder
1 sudu teh baking soda
secubit garam 

Bahan D
3/4 cawan butter milk (campurkan 1 sudu besar cuka atau jus lemon kedalam 3/4 cawan susu segar)

Cara membuatnya:

1. Panaskan oven 180'C  

2. Pukul Marjerin, gula dan telur hingga kembang.

3. Masukkan pula bahan B iaitu pisang lecek dan esen vanilla.
4. Masukkan Bahan C secara 3 peringkat di selang seli dengan butter milk. 

5. Seterusnya tuang adunan kek kedalam loyang yang telah di sapu majerin dan bakar selama 40minit atau sehingga masak. 
6. Apabila kek sejuk, bolehlah di hias dengan coklat masakan atau sedap juga tanpa sebarang topping.

Untuk resepi topping coklat, boleh lihat di SINI 
Assalamualaikum, 

Jika mahukan variasi muffin untuk sarapan pagi atau minum petang, green tea muffins merupakan pilihan yang sesuai. Lebih sedap jika campurkan dengan kekacang seperti almond atau pistachios tetapi saya hanya menggunakan apa yang ada di dalam dapur saya sahaja. 

Bila belek-belek stok chocolate chips ternyata masih ada yang belum saya gunakan dan dah hampir tarikh luput. Cara terbaik, campurkan sahaja dengan adunan muffin dan hasilnya memang lazat sekali. 

Nampaknya minggu ni saya harus periksa stok barangan dapur kerana kebanyakan sudah hampir ke tarikh luput dan harap-harap saya ada masa untuk menghasilkan sesuatu. Masa membeli tu selalunya memang tak ingat...semuanya masuk ke trolli dan sedar tak sedar dah akhir tahun pun. Sedangkan barang-barang yang di beli tu masih tersimpan elok dalam kabinet dapur. Tak baik membazir, kan...jadi kalau tengok entry selepas ni resepi yang 'ala-ala' gitu, pastinya saya sedang menghabiskan stok barangan dapur :D   

GREEN TEA MUFFIN
2 cawan tepung gandum - di ayak
1 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh garam halus
1/2 cawan gula
1 biji telur - di pukul ringan 
1 cawan susu segar
1/4 cawan mentega - cairkan
2sudu teh serbuk green tea
50gm chocolate chips (saya guna white chocolate & strawberry chips)

Cara membuatnya :

1. Panaskan oven 170'c

2. Masukkan cawan kertas cupcakes kedalam acuan muffin, ketepikan seketika.

3. Di dalam sebuah mangkuk, masukkan tepung gandum, serbuk green tea, baking powder, garam dan gula.

4. Di dalam bekas lain pula masukkan telur, susu segar dan mentega cair. 

5. Tuang adunan basah kedalam tepung, kacau sehingga sebati dan JANGAN terlebih kacau atau muffin anda akan menjadi keras. Jangan risau jika adunan muffin anda kelihatan berketul asalkan tepung bercampur dengan bahan basah.

5. Seterusnya masukkan chocolate chips dan kaup balik agar bercampur dengan tepung.

6. Sudukan adunan ke dalam acuan muffin dan bakar adunan selama 20minit atau sehingga masak.