Assalamualaikum,

Hari ini tentu semua ibu bapa sibuk menguruskan anak-anak yang akan masuk ke sekolah. Bagi saya hari ini juga terpaksa bekerja dan memberi laluan kepada dua orang staff yang lebih memerlukan untuk bercuti. 

Kesemua urusan iaitu pendaftaran anak ke dua yang masuk ke asrama dan anak bongsu yang menduduki ujian menentukan kelas ke darjah 1 di uruskan oleh si abah. Seperti lipas kudung lah dia sekejap ke sekolah rendah, sekejap pula ke sekolah menengah menguruskan segalanya. Mujurlah anak yang sulung hanya bersekolah di sini walaupun mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR baru-baru ini, jika tidak terpaksa pula keluar dari Langkawi menguruskan pertukaran sekolah. 

Tahun ini kesemua anak-anak saya bersekolah iaitu yang sulung(kakak) naik ke tingkatan 4, anak yang kedua(abang) masuk ke asrama, iaitu tingkatan 1, anak yang ketiga (achik) naik ke darjah 4 dan yang bongsu(adik) menempuh dunia baru ke darjah 1. Hmmm sekejap je masa berlalu, rasanya baru saja saya menimang mereka...tau-tau dah besar. Semoga mereka menjadi anak yang soleh dan berguna pada masa depan.

Baiklah berbalik kepada resepi hari ini...eh, sempat lagi ke memasak? Sebenarnya agar-agar ini saya buat semalam atas permintaan anak kedua sebelum ke asrama hari ni. Terima kasih kepada AlongRoz kerana perkongsian resepi yang sedap ini. Izinkan saya berkongsi pula di sini.
AGAR-AGAR BATIK BISKUT CHEESE
Resepi asal : AlongRoz@HomeKreation
Saiz: 8" persegi

Bahan-bahan
13gm Serbuk Agar-Agar
1100ml Air
220gm Gula
1 tin / 400g Susu Ideal*
1 biji Telur saiz kecil* (* campur) 
(Nota: Kalau tak suka telur boleh skip tapi puding akan rasa kurang lemak) 
1 cawan Serbuk Milo
1 sudu besar Serbuk Koko
150g Salted Cheese Biscuits / Marie Biscuits
CARA-CARA

1. Larutkan serbuk agar-agar  ke dalam air dan masak sehingga mendidih, Masukkan pula gula dan kacau hingga larut.
2. Masukkan campuran susu dan telur yang telah di kacau sebati dan masukkan juga milo serta serbuk koko. Kacau lagi sehingga larut dan matikan api dapur.
3. Susun satu lapisan biskut ke dalam bekas/loyang.Tuangkan satu lapisan agar-agar cukup untuk meliputi biskut tersebut.
4. Ulangi proses melapis biskut dan agar-agar sehingga habis.Lapisan biskut akan timbul ke permukaan bila selesai melapis.
3. Sejukkan di suhu bilik sebelum di pindahkan ke dalam peti sejuk.

Assalamualaikum,

Pernah makan kerabu bunga betik? Bagi yang tidak pernah merasa pasti tertanya-tanya tak pahitkah kalau bunga betik di buat kerabu? Sebenarnya bunga betik ni rasanya pahit-pahit lemak tapi bagi yang ingin menghilangkan rasa pahit bolehlah memasukkan beberapa keping asam gelugur ketika merebusnya. Bagi saya ulam yang pahit-pahit lemak seperti bunga betik dan pucuk mengkudu memang menjadi kegemaran. Malah anak-anak saya pun suka, hidangan ala-ala kampung ini.

Selain daripada pembuka selera khasiat bunga betik itu sendiri baik untuk kesihatan dan salah satunya adalah sebagai penawar darah tinggi & diabetis.

Bagi yang inginkan resepinya, jom kita lihat...
KERABU BUNGA BETIK
Bahan-bahan
Bunga betik secukupnya (saya gunakan dalam anggaran 200gm - di bungkus siap dari pasar)
1/2 inci belacan - di bakar terlebih dahulu 
5 biji cili merah (besar) 
5 tangkai cili padi  
1 sudu teh asam jawa
2 sudu besar kerisik
2 ekor ikan kembung - di rebus dan ambil isinya
Garam dan gula secukup rasa
1 labu bawang besar - di hiris nipis

Cara membuatnya:

1. Rebus bunga betik hingga bertukar warna kekuningan dan toskan airnya. Untuk mengurangkan rasa pahit, bolehlah memasukkan 2 keping asam gelugur ketika merebusnya.
2. Tumbuk cili merah, cili padi, belacan dan asam jawa hingga halus dan gaulkan dengan kerisik. Masukkan juga garam dan sedikit gula. Suaikan rasa.
3. Ambil isi ikan yang di rebus tadi dan gaulkan juga dengan sambal yang baru di tumbuk.
4. Akhir sekali gaul bunga betik, bawang besar yang di mayang dengan sambal dan hidangkan dengan nasi panas.

Assalamualaikum,

Bagi orang Asia selalunya sambal di hidangkan sebagai pembuka selera dan di gandingkan dengan nasi. Berbagai jenis ragam pula sambal dan salah satunya yang menjadi kegemaran saya adalah sambal udang asam belimbing buluh. Lebih tepatnya sambal ini juga kegemaran allahyarham ayah saya semasa hayatnya. 

Resepi sambal ini adalah berasal dari Aceh dan selalu juga di hidangkan oleh ibu masa saya kecil dulu, sesuai dengan susur galur keluarga yang memang berasal dari sana, lama dulu. Walaupun sudah beberapa generasi di sini hidangan masih cenderung menggunakan asam belimbing buluh dan asam sunti (belimbing buluh yang di keringkan). Hari ini saya ingin berkongsi resepinya disini bagi yang ingin mencuba dan sebagai rujukan anak-anak saya pada masa akan datang.
SAMBAL UDANG ASAM - ALA ACEH 
BAHAN-BAHAN
100gm udang - ukuran sedang (bersihkan dan rebus - jangan lama sekadar udang masak)
5 biji cili padi 
1 ulas bawang putih 
3 ulas bawang merah
2 helai daun limau purut - di hiris nipis
3 biji belimbing buluh - yang agak lembut (hampir masak) - buang bijinya 
1 batang serai - ambil bahagian putihnya dan hiris nipis
garam dan gula secukup rasa
Cara membuatnya:

1. Tumbuk bawang merah, cili padi, dan belimbing buluh hingga bercampur.

2. Masukkan pula sedikit garam dan gula serta tambahkan hirisan serai dan daun limau purut dan tumbuk lagi.
3. Akhir sekali masukkan isi udang yang di rebus tadi dan di tumbuk kasar. Sedia untuk di hidangkan dengan nasi panas sebagai pembuka selera.

Assalamualaikum,

Salam pagi jumaat, penghulu segala hari. Sarapan apa agaknya hari ni ye? Sesekali bersarapan dengan kuih tradisional pun sedap juga kan. Pagi ini saya ingin berkongsi resepi kuih tepung bungkus yang resepinya saya ambil di SINI

Selalunya kita membeli je kuih ni kan. Kalau nasib tak baik, sebaik saja bungkusan di buka isinya pula lembik dan akhirnya buang begitu saja. Maklumlah dari luar nampak elok saja. Itu dari pengalaman saya sendiri. Apa kata sesekali cuba buat sendiri. Resepinya pun mudah sangat asalkan ada bahan mesti menjadi punya. Jom kita lihat resepinya.
KUIH TEPUNG BUNGKUS
Bahan A
1 cawan tepung beras
2 cawan santan + sedikit garam
Daun pisang secukupnya

(Bahan B) Bahan-bahan inti: 
1/2 biji kelapa muda parut
1 ketul gula melaka
1 sudu besar gula
1 sudu besar tepung gandum
4 sudu besar air
1 helai daun pandan

Bahan C (saya tambah)
1 cawan tepung pulut
sedikit air  

Cara:

1. Masakkan bahan inti kecuali tepung gandum sehingga agak kering.

2. Masukkan tepung gandum dan kacau sehingga kering. Sejukkan.

3. Jadikan inti bebola kecil. Ketepikan dahulu.

4. Bancuh bahan C hingga boleh bentukkan adunan tepung tersebut dan balut inti (nipis sahaja).
4. Bancuh tepung beras bersama santan. Masakkan hingga naik wap dan nampak agak pekat.
5. Layurkan daun pisang diatas api dan potong anggaran diperlukan.Lap dan bersihkan.

6. Ambil 3 sudu besar bancuhan tepung dan letakkan di atas daun pisang. Letakkan 2 biji inti.
7. Tutup daun pisang dan lipat kedua-dua hujung daun dan kukuskan selama 20 minit.
8. Sejukkan dan hidangkan.


Assalamualaikum,

Suka  sangat  saya dengan bentuk dadar gulung mawar buatkan saya ingin mencuba resepi yang satu ini. Resepinya sama dengan kuih dadar biasa cuma warna dan cara lipatannya mirip kepada  kelopak bunga mawar .

Resepi kulit dadar ini dan cara lipatannya saya ambil di SINI dan ada di sertakan step-stepnya di bawah ini untuk rujukan sesiapa yang ingin cuba membuatnya. Apa yang boleh saya katakan 'practice makes perfect' sebab cubaan pertama saya ni nampak tidak kemas dan entah ada rupa mawar atau tidak ya? Saya akan mencuba sekali lagi selepas ini dan jika dadar di buat nipis sedikit tentu lebih cantik dan mudah di bentuk.
DADAR GULUNG MAWAR 
Bahan-bahan
250gm tepung gandum 
½ sudu teh garam 
1 biji telur – Gred A
600ml air  (Boleh tambah bila adunan agak pekat)
1 sudu makan minyak masak 
1 sudu teh pes pandan 
1 sudu teh pes strawberry 

Cara membuat dadar : 

1. Campurkan tepung gandum & garam di dalam  mangkuk besar dan buat lubang di tengah-tengahnya, kemudian tuang telur. Kacau dengan menggunakan ‘hand whisker’.
2. Tuang air sedikit semi sedikit dan hentikan jika sudah cukup pekat atau tambah air sedikit demi sedikit bila adunan kurang cair.

3. Tapiskan adunan, kemudian masukkan minyak masak dan kacau rata.
4. Bahagikan kepada 2 bahagian adunan dan warnakan dengan  warna merah dan warna hijau.

5. Panaskan kuali ‘non stick’ dan tuang satu senduk kecil dan biarkan hingga masak. Tidak perlu di terbalikkan dadar tersebut.

Bahan Inti:
sumber : cikgu ani 

1/2 biji kelapa parut - ambil putihnya sahaja
3/4 cawan gula merah - kalau tak suka manis, boleh kurangkan.
1/2 sdt garam
2 helai daun pandan - disimpulkan
1/2 cawan air
2 sdm tepung gandum

Cara Membuat Intinya:


1. Didihkan air dalam kuali. Masukkan gula merah, garam dan daun pandan. Masak hingga gula larut.

2. Masukkan kelapa parut. Kacau sekali-sekala hingga airnya kering.

3. Bila inti dalam keadaan agak-agak lembab, taburkan tepung gandum. Kacau rata. (Fungsi tepung ialah supaya inti melekat dan tidak berderai).
4. Sejukkan inti.

CARA MELIPAT DADAR

1. Potong dadar kepada 4 bahagian (jangan sampai putus). Letakkan inti di tengah-tengahnya.
2. Lipat satu sisi ke bahagian tengah hingga membalut inti kelapa. Sebelumnya bahagian tepi dadar bolehlah di lipat sedikit keluar agar hasilnya cantik.
3. Lipat sisi yang berhadapan ke arah tengah.
4. Lakukan hal yang sama pada dua sisi yang lainnya.
5. Siapkan dadar berwarna hijau, kerat kepada 4 bahagian tetapi tidak terputus. Letakkan dadar berwarna merah di tengahnya.
6. Lakukan langkah yang sama seperti sebelumnya. 

Assalamualaikum,

Salah satu dari kuih kegemaran anak-anak saya adalah donat, tak kisahlah samada ianya di salut coklat atau sekadar di taburi gula halus. Kali ini saya ingin berkongsi resepi bebola donat mudah yang bagi saya sangat gebu dan ranggup pula di luar. 

Sebelum itu saya ingin bercerita tentang proses membuat donat ini, resepinya memang mudah tetapi jika tak sabar seperti anak gadis saya yang seorang tu, pasti proses membuat donat yang mudah ini menjadi sulit...:D. Ini adalah kerana adunannya yang lembik dan melekat di tapak tangan ketika membentuknya menjadi bebola, dan akhirnya setelah beberapa waktu terkial-kial dengan adunan tersebut diapun menyerah kalah dan saya juga yang menghabiskan kerja membulatkannya. Tetapi selepas di goreng, tak sempat menunggu sejuk dialah juga yang sibuk nak merasa keenakan bebola donat ini. Macam-macam gelagat anak-anak ni kan :D.

Resepi ini saya cuba setelah tergoda dengan bebola donat yang di hasilkan oleh mamasya. Bagi yang inginkan resepinya, saya kongsikan di bawah ini :)
Donut Mudah 
Resepi asal : iezamel78 Donut @ MYR 
Sumber : mamasya 

Bahan-bahan ( 20 - 25 biji ) 
3 cawan tepung gandum 
1 cawan air suam kuku 
2 sudu besar mentega 
6 sudu besar gula pasir (boleh kurang bagi yang tak suka manis) 
3 sudu besar susu pekat manis 
1 paket yis (jenama mauripan) 
1 biji telur 

Cara-cara 
1. Cairkan mentega dan ketepikan. 

2. Gula dan susu disatukan di dalam air suam, kacau supaya gula larut. masukkan yis, kacau lagi. Biarkan selama 10 minit. 
3. Pukul telur sedikit dan campurkan bersama mentega cair tadi.Selepas 10 minit yis akan naik berbuih-buih, masukkan pula mentega yang dicampur telur tadi.kacau. 
4. Masukkan campuran yis kedalam mangkuk yang berisi tepung gandum, gaul sebati dengan spatula/senduk kayu. biar adunan lagi selama 45 minit.
5. Banyakkan tepung ditangan supaya adunan tak melekat.(adunan memang agak lembik). ambil sedikit adunan, bulatkan dan letak di dalam dulang yang di tabur dengan sedikit tepung untuk mengelak ianya daripada melekat.
6. Sediakan minyak untuk menggoreng. gunakan api sederhana. Alih selalu supaya dapat warna yang sekata. setelah agak kekuningan bolehlah diangkat. Tabur gula caster atau hias dengan coklat cair dan ditabur dengan coklat rice.

Assalamualaikum,

Salam pagi isnin untuk semua. Sedar tak sedar hari ini dah 23hb Disember 2013. Cuma ada kira-kira seminggu lagi tahun 2013 akan melabuhkan tirai dan memberi laluan kepada tahun 2014. 

Bagi yang telah berkeluarga pasti sehari dua ini sibuk membuat persiapan untuk anak kembali kesekolah. Tidak di nafikan juga kos sara hidup yang kian meningkat sedikit sebanyak memberi kesan terutama sekali yang mempunyai bilangan anak ramai apatah lagi yang berpendapatan rendah.

Bila bercakap soal persiapan persekolahan ni banyak yang nak di ceritakan tapi hari ni saya kongsikan dulu resepi sarapan pagi, semoga ia memberi idea kepada ibu-ibu menyediakannya untuk anak dan keluarga di rumah. Resepi ini saya ubahsuai dari resepi asal bingka labu lemak manis yang di intai di blog yatie memories. Terima kasih yatie dan izinkan saya berkongsi resepi sekali lagi di sini.
BINGKA LOBAK MERAH LEMAK MANIS 
Sumber : Yatie Memories 

BAHAN-BAHAN – Saya gunakan acuan muffin (resepi asal gunakan Loyang)
2 biji telur
2 cawan santan (santan kotak kara 200ml – selebihnya tambah air biasa)
1/2 cawan susu cair
2 cawan tepung gandum
1/2 cawan gula pasir halus
1/2 cawan susu pekat manis
1/2 sudu kecil garam
1 sudu kecil esen vanilla
2 sudu besar butter atau minyak sapi
sedikit bijan untuk tabur di atas permukaan kuih
2 cawan lobak merah- yang telah direbus, toskan dan dikisar (resepi asal guna labu)
CARA-CARA

1. Panaskan oven pada suhu 200'C lenser loyang dengan mentega panaskan sebentar.

2. Satukan bahan-bahan diatas kecuali lobak merah yang di kisar dan bijan dalam satu bekas, kacau dengan whisk hingga semua bersatu.
3. Tapis adunan tadi, kalau guna blender lagi senang. Tuangkan dalam mangkuk besar dan masukkan lobak merah yang telah di kisar, kacau hingga rata.
4. Tuang dalam loyang yang telah di panaskan tadi dan tabur dengan bijan.

5. Bakar selama 1 jam atau hingga masak. Kalau nak permukaannya berkerak, tambah masa pembakaran.
6. Biarkan kuih betul-betul sejuk barulah di keluarkan dari acuan/loyang.
Assalamualaikum, 

Sehari dua ni selsema melanda dan di tambah pula dengan cuaca tak menentu. Bila siang hari cuaca panas terik di sini dan waktu malam pula sejuk dengan angin bertiup kencang. Malam ini saya cuba membuat rasam iaitu sejenis sup herba yang berasal dari Selatan India.

Mengikut carian di google, rasam dikenali juga sebagai 'Indian Clarified Herbal Consomme’ atau 'sup herba yang terbaik'. Rasam dipercayai sesuai untuk merawat sejuk-sejuk badan, demam selsema yang ringan dan juga batuk yang disebabkan kepanasan serta elok untuk sistem penghadaman.

Baiklah di sini saya sertakan resepi rasam yang saya ambil dari FB Chef Arm. Jika ada yang ingin mencuba bolehlah ikut resepi di bawah ni.
RASAM 
Sumber : Chef Arm - FB

Bahan-bahan
3 sudu besar Asam Jawa (Tambah dengan 1 liter air, di tapis)
2 sudu besar serbuk lada hitam
1/4 sudu teh serbuk kunyit (saya tambah)
garam secukup rasa

Bahan A
6 ulas bawang putih - di ketuk dan kopek kulitnya
3 sudu besar jintan manis - di tumbuk kasar

Bahan B
1 biji bawang merah - di hiris
6 biji cili kering 
1 biji tomato - di potong baji
1 tangkai daun kari
3 sudu besar minyak masak
Cara memasak:

1. Panaskan minyak, masukkan bahan A dan tumis hingga wangi.

2. Masukkan kesemua bahan B dan kacau hingga semua sebati dan naik bau.
3. Masukkan 1 liter air asam jawa dan serbuk lada hitam. Tambah garam secukup rasa dan sedikit gula.
4. Renihkan rasam hingga masak dan hidangkan panas dengan nasi.


Assalamualaikum,

Pagi ini saya sekeluarga bersarapan pagi dengan kuih pulut serikaya. Nampak sedap sangat lapisan atas serikaya di blog Citarasawan buatkan saya ingin mencuba 

Rupa kuih ni agak mirip dengan pulut sekaya cuma lapisan atasnya di campurkan dengan gula merah. Ada banyak versi resepi pulut serikaya di kalangan teman-teman blogger dan semuanya nampak memikat selera. Kali ini saya cuba resepi ini dahulu dan ternyata sedap.
PULUT SERIKAYA
Sumber : Citarasawan 

Lapisan Bawah 
250gm beras pulut (rendam 2-3 jam)
150ml santan KARA
100ml air
1 sudu teh garam halus
1 helai daun pandan di simpul

Lapisan Atas
120gm gula merah / gula melaka
50gm gula pasir
60ml air
200ml santan KARA
50gm tepung beras 
5 biji telur - dipukul ringan
1 sudu teh esen vanila 
1/8 sudu teh garam halus

Loyang 7" atau 8"

Cara-cara :
1.  Lapisan Bawah :  Toskan pulut, gaul bersama santan dan garam.  Masukkan daun pandan.  Kukus selama 30 minit.  Angkat, keluarkan daun pandan dan gaul pulut hingga rata.  Kemudian masukkan dalam loyang lain yang telah dileser sedikit minyak atau di alas dengan plastik.  Tekan hingga padat dan ratakan.
2.  Lapisan Atas :  Masak gula melaka, gula dan air hingga larut.  Biarkan sejuk dahulu.

3.  Satukan santan, tepung beras, esen vanila, garam dan telur, gaul hingga sebati, kemudian masukkan sirap gula melaka, gaul hingga rata dan tapis ke dalam periuk.  Masak di atas api sederhana hingga naik wap sahaja.
4.  Tuang ke atas lapisan bawah dan kukus selama 30 minit atau hingga lapisan atas mengeras.

Assalamualaikum,

Salam pagi jumaat. Hari ini saya ingin berkongsi resepi ringkas pancake untuk sarapan pagi. Sungguh gebu dan sedap sekali, tak rugi mencuba resepi ini. Bahan-bahannya juga senang di dapati di dapur rumah anda. Mungkin ada yang pernah mencuba resepi pancake yang siap di jual dalam bungkusan kotak di supermarket tapi percayalah resepi 'delicious pancake' buatan sendiri ini lebih enak, gebu dan kena dengan selera anda.

Untuk yang ingin mencuba, jom kita lihat resepinya... :)

DELICIOUS PANCAKE
Sumber : Just try & taste.com
Untuk 5 biji pancake diameter 10 cm

Bahan-bahan

1 biji telur ayam - Gred A 
135ml susu cair
2 sudu makan atau 40 gram mentega - cairkan
2 sudu teh cuka makan atau boleh juga diganti dengan jus limau nipis
110 gram tepung gandum
1 1/2 sudu makan gula pasir
1/4 sudu teh garam
1 1/4 sudu teh baking powder - gunakan yang double acting

Cara membuat:

1. Dalam mangkuk kecil campurkan susu cair dan cuka (atau air limau nipis/lemon), kacau rata dan biarkan selama 5 minit agar susu menjadi masam. Fungsinya sebagai pengganti buttermilk, untuk membuat tekstur pancake menjadi lembut dan empuk.

 2. Dalam mangkuk lain kacau bahan kering iaitu tepung gandum, garam, baking powder dan gula hingga rata dan gumpalan di tepung menghilang.

3. Sediakan mangkuk ukuran sedang, masukkan mentega cair (pastikan mentega telah sejuk ketika dicampur telur), pukul telur dan susu. Kacau semua bahan hingga tercampur rata. 

 4. Tambahkan tepung gandum ke dalam adunan basah tadi dan kacau ringan dan sebentar saja dengan spatula hingga semua bahan basah dan tercampur.  Jangan kacau berlebihan.

 5. Sediakan kuali datar (saya gunakan kuali yg paling kecil - khas untuk pancake), sapukan sedikit mentega. Tuangkan satu sudu adunan ke atasnya. Tunggu hingga keluar gelembung-gelembung kecil di permukaan adunan. Anda boleh mengintipnya untuk melihat apakah bahagian bawahnya telah kecoklatan.

6. Angkat pancake yang telah masak dari kuali dan hidangkan dengan mentega atau jem pilihan. (saya hidangkan dengan strawberry filling)