Assalamualaikum,

Salam pagi isnin. Cuti hari minggu semalam ada sedikit masa untuk mengemas rumah dan terjumpa satu tin biskut kreaker yang masih penuh isinya..langsung tidak di sentuh oleh anak-anak. Jika tak salah, awal tahun dulu saya membeli biskut ini. Bila di teliti..nasib baik tarikh luputnya berakhir pada bulan februari tahun depan. Hmm...perangai anak-anak memang begitu. Kalau di rumah sendiri biskut-biskut begini memang tidak di pedulikan, lain pula kalau bertandang di rumah orang. Tak cukup yang orang hidangkan, minta tambah lagi sampai kenyang. Kita pula yang rasa malu dengan perlakuan mereka :).Macam-macam kerenah anak-anak ni kan. 

Daripada biskut tu terbiar di dalam tin tidak bersentuh, saya jadikan bingka yang lemak dan lazat untuk sarapan pagi ni. Laju pula anak-anak makan sebelum berangkat ke sekolah.

Jom kita lihat resepi...
BINGKA LEMAK KRAKERS TANPA TELUR
Sumber : kakfida -myresipi

Bahan-bahan (loyang 8 x 8)
Bahan A
16 keping biskut lemak (cream crackers) - di patah-patahkan 
2 cawan santan sedang (tak pekat dan tak cair) - saya blender dengan 4 helai daun pandan dan tapiskan.
1/2 tin susu cair
Bahan B
1/2 cawan tepung gandum - ayak 
4 sudu besar tepung jagung 
1/2 cawan gula halus 
1/2 sudu teh baking powder 
1/2 sudu teh garam 

Bahan C
beberapa titik pewarna hijau 
2 sudu besar majerin - cairkan di atas dapur sebentar
bijan secukupnya - untuk di tabur ke atas bingka sebelum di bakar 

Cara membuatnya:

1. Masukkan bahan A ke dalam blender dan kisar hingga halus.
2. Campurkan bahan B ke dalam sebuah mangkuk dan kacau rata. Tuangkan adunan yang di kisar tadi dan kacau rata. Campurkan mentega cair, dan secukupnya pewarna hijau. Kacau hingga sebati.
3. Tuang adunan ke dalam loyang/acuan yang bergris dan bakar pada suhu 160'c - 170'c selama 40minit - 1jam atau hingga garing permukaan kuih.





Assalamualaikum,

Kalau makan di luar saya suka order menu ni. Memang sedap sangat nasi goreng belacan, tapi kadang-kadang daging masak kicap yang di sertakan bersama nasi ini agak liat dan membantutkan selera makan.Kalau masak sendiri di rumah tentu lebih puas dan boleh ubah resepinya mengikut selera sendiri.Nasi goreng belacan ini selalunya di hidangkan dengan lauk sampingan iaitu daging masak kicap, telur goreng yang di gulung dan sambal belacan. Tak susah nak sediakan sendiri resepi ni, jom kita lihat...:)
NASI GORENG BELACAN 
Bahan-bahan
2 mangkuk nasi sejuk - peroikan
3 biji telur - satu untuk di goreng bersama nasi dan selebihnya di buat dadar

Bahan di Kisar 
1 labu bawang besar 
2 ulas bawang putih 
5 biji cili merah 
5 tangkai cili padi  
2 sudu besar udang kering 
3 cm belacan
Bahan lain :
1 sudu besar kicap cair 
1 kiub pati ikan bilis - (pilihan - jika suka)
sedikit gula

Cara membuatnya:

1. Masukkan 3 sudu minyak kedalam kuali, tumis bahan kisar hingga wangi dan pecahkan telur lalu di kacau.
2. Masukkan pula nasi dan kacau lagi bersama kicap cair, serbuk pati ikan bilis dan sedikit gula. Bila dah masak dan secukup rasa, matikan api dapur.
3. Di dalam kuali lain : Pukul baki 2 biji telur tadi dan masak seperti telur dadar. Bila telur telah masak bolehlah di gulung dan potong nipis.

UNTUK DAGING MASAK KICAP
300gm daging - di potong nipis 
1 sudu teh serbuk kunyit 
1 sudu teh serbuk lada hitam 
1 sudu besar kicap manis (saya guna jenama cap kipas udang)
2 sudu minyak masak untuk menumis

Cara membuatnya:

1. Gaul daging dengan kunyit dan ketepikan seketika.

2. Panaskan minyak, goreng daging yang di perap dengan serbuk kunyit tadi. Masukkan pula kicap manis dan serbuk lada hitam.
3. Masak hingga air daging tersebut kering dan daging menjadi lembut. Suaikan rasa dan boleh matikan api dapur.

4. Hidangkan dengan nasi goreng tadi.

Assalamualaikum,

Hari ini saya ingin berkongsi keenakan brownies yang saya ambil resepinya di blog favourite saya iaitu di SINI. Gaya penulisan yang bersahaja dari blogger ini dan resepi-resepi mudah yang di kongsikan di blognya 'step by step' buatkan saya suka mencuba masak sendiri dan setakat ini memang puas hati dan menjadi. Salah satunya adalah brownies yang di kongsi oleh temannya iaitu Chanti. Bagi saya brownies ini memang sangat enak..apalagi di tabur dengan keju cheddar parut. Hmmm...super. Rugi tau kalau tak cuba buat sendiri. 

Terima kasih Mbak Endang untuk resepi yang sedap ini. Izinkan saya kongsikan sekali lagi resepinya di sini... :) 

BROWNIES ALA CHANTI
Sumber : Justtry & Taste 
Untuk 15 potong menggunakan loyang segiempat ukuran 20 x 20 cm

Bahan-bahan:
2 biji telur gred A - suhu ruang (Kebetulan telur yang saya gunakan kembar dua.hee..hee jadi gambar di bawah tu ada 3 kuning telur)
200 gram gula pasir (saya gunakan gula kastor)
100 gram mentega- suhu ruang 
100 gram tepung gandum
45 gram serbuk koko
175 ml susu cair (bancuhan 110ml air + 65ml susu pekat manis)
secubit garam - jika gunakan mentega tawar
Topping:
- Buttercream
- Keju cheddar di parut secukupnya
Resepi buttercream: 
Pukul jadi satu dengan mixer hingga gebu dan putih
100 gram mentega
100 gram gula halus (gula icing)
1 sudu teh esen vanilla

Cara membuatnya:

1. Set oven pada suhu 175'C dan  letakkan rak pemanggang di tengah.

2. Sapu loyang segi empat ukuran 20 x 20 cm dengan mentega dan tabur tepung, ketepikan seketika.
3. Dalam sebuah mangkuk, masukkan telur dan gula kastor. Menggunakan hand mixer, pukul dengan speed rendah hingga bahan tercampurkemudian gunakan speed tinggi hingga telur dan gula mengembang. Masukkan mentega dan teruskan pukul hingga sebati. Proses ini tidak lama (1 - 2 minit sahaja). Matikan mixer.
4. Masukkan tepung gandum dan serbuk koko dengan cara diayak langsung diatas adunan telur dan mentega, tuang berselang seli dengan susu cair.
5. Masukkan adonan ke dalam loyang dan bakar selama 40 minit. Lakukan ujian dengan mencucuk lidi di tengah brownies, jika tidak ada adonan yang melekat maka brownies telah masak. Keluarkan dari oven dan sejukkan sempurna sebelum disapu dengan buttercream.
6. Jika brownies telah sejuk, sapu permukaannya dengan buttercream dan tabur dengan parutan keju cheddar di atasnya.

Assalamualaikum,


Sekejap je hari berlalu...dah 26hb September 2013. Hari ini merupakan tarikh yang penting juga dalam hidup saya kerana ulangtahun blog fizalgk ni yang pertama. Dah setahun rupanya saya menulis dan berkongsi cerita di sini. 

Seperti kata pepatah melayu,  umur setahun jagung..ertinya masih belum berpengalaman dan harus banyak belajar dari blogger lama. Kehadiran blog ini juga sekadar untuk memenuhi masa lapang dan memeriahkan lagi dunia blog masakan, tidak terlintas sedikit pun untuk bersaing dengan sesiapa. Masih banyak yang perlu saya belajar dan saya juga ingin memohon maaf kerana ada banyak komen dari pembaca sebelum ini yang masih tersimpan dan tidak boleh di jawab atau publish. Entah di mana silapnya kotak komen saya tidak berfungsi sekian lama dan baru kini saya boleh berinteraksi dan jawab segala komen, itupun menggunakan google+. Inilah yang terjadi kalau tak cukup ilmu untuk berblog :).

Terimakasih juga untuk pembaca yang sudi singgah dan mencuba resepi yang saya kongsikan di sini. Harapan saya langkah demi langkah memasak yang saya sertakan di sini akan memudahkan lagi kerja memasak untuk di hidangkan kepada keluarga tercinta.

Baiklah...panjang benar saya berceloteh hari ni. Maklumlah umur dah setahun, dah mula nak belajar bercakap..hee...hee..hee. Jomlah kita tengok resepi hari ni. 

IKAN KUKUS DENGAN TOFU TELUR
Bahan-bahan
1 ekor ikan - berat kira-kira 700gm di bersihkan (apa-apa jenis ikan pun boleh)
6 tomato ceri - di belah
6 biji cili padi - di ketuk  
1 pek tauhu telur dihiris dan goreng sehingga perang keemasan, ketepikan seketika.
1 sudu besar gula batu (di haluskan)
2 sudu besar Kicap cair
1/2 sudu teh minyak bijan
1 sudu besar sos tiram
3 ulas bawang putih dicincang
3 cm halia dicincang
Bahan perap : 1 sudu besar jus lemon + 1 sudu besar halia  + 1 sudu besar bawang putih dicincang

Cara membuatnya:

1. Lumur ikan dengan bahan perap dan ketepikan seketika.
2. Tumis halia, bawang putih, cili padi dan bahan-bahan sos lain hingga wangi. ketepikan seketika.
3. Letakkan ikan di dalam periuk dan kukus ikan hingga separuh masak sahaja. Tuang/sejatkan air hasil kukusan tadi serta tuang pula tahu serta bahan tumisan tadi ke atas ikan.
4. Kukus semula ikan tadi dengan api yang kuat iaitu kira-kira 5 minit atau hingga masak.
5. Sedia untuk di hidangkan.

Assalamualaikum, 

Cuaca panas betul sehari dua ini. Apalagi tinggal di pulau yang di kelilingi lautan seperti di tempat saya. Ada kalanya wap panas yang bertiup bersama angin dari lautan terasa begitu menggigit dan membahang sekali. Ketika cuaca panas begini, pengambilan buah-buahan segar sangat bagus selain daripada air putih. Saya ada buatkan aiskrim buah campuran untuk anak-anak kerana dalam cuaca begini mereka suka benar membeli aiskrim yang manis di buat dari air berkarbonat di kedai runcit kawasan perumahan saya sekembalinya dari sekolah.Kandungan gula yang tinggi dalam aiskrim tersebut tentulah tidak baik untuk kesihatan. 

Aiskrim buah campuran yang kita buat sendiri di rumah lebih segar dan menyihatkan serta mudah pula di sediakan.

Jomlah kita lihat resepinya...
AISKRIM BUAH CAMPURAN
Bahan-Bahan
1/2 biji buah tembikai tanpa biji
1 biji buah kiwi - di kupas kulitnya dan potong nipis
1 biji buah oren sunkist - di kupas kulitnya dan potong dadu 
3 sudu makan madu atau gula yang dicairkan - Pilihan 
Cara membuatnya:

1. Sediakan acuan aiskrim. Atur buah kiwi dan oren sunkist berselang seli dalam acuan tersebut.
2. Kisar buah tembikai di dalam blender dan jika suka bolehlah dicampurkan dengan madu atau gula yang di cairkan. Jika tembikai tersebut sudah manis dan gemarkan rasa asli buah tidak perlu masukkan gula atau madu tersebut.
3. Tuang jus tembikai tersebut ke dalam acuan aiskrim tadi dan sejukkan di dalam peti ais hingga benar-benar beku iaitu lebih kurang 6 jam.

4. Setelah beku lalukan sedikit air suam di atas acuan aiskrim untuk memudahkan aiskrim tanggal dan hidangkan segera.
# Jenis buah-buahan bolehlah di ganti mengikut kesukaan dan pilihan anak-anak.  
Assalamualaikum,

Selamat memulakan hari dan semoga segala yang kita lakukan hari ini berjalan dengan lancar sesuai dengan perancangan. Pagi ni saya nak ceritakan tentang makanan lagi :). Ada pembaca blog ini bertanya, sebagai wanita bekerjaya,  bilakah masa saya peruntukkan untuk memasak dan berkongsi di blog. Sebenarnya masakan yang saya kongsikan adalah menu sehari-hari yang saya hidangkan untuk keluarga dan ada juga yang saya masak ketika ada masa kelapangan seperti hari minggu. Walaupun kurang mahir memasak, tetapi minat saya dalam masak-memasak ini mengatasi segalanya. Saya jadi teruja untuk mencuba resepi-resepi baru dan terasa ada kepuasan bila keluarga suka apa yang saya masak.Lagi pun resepi yang saya kongsikan selalunya yang mudah-mudah sahaja dan kebanyakan orang tau menyediakannya.

Baiklah..pagi ni saya nak kongsikan satu lagi resepi mudah iaitu moi ketam. Sesuai untuk sarapan pagi. Jom kita lihat resepinya...:)
MOI KETAM 
Bahan-bahan
2 cawan beras wangi - boleh juga gunakan beras biasa 
13 cawan air
3 ekor ketam 
1 inci halia - di mayang 
2 ulas bawang putih - di hiris atau di ketuk
1/2 sudu teh minyak bijan 
1 kiub ikan bilis 
garam secukup rasa
1 sudu teh lada hitam - di tumbuk kasar
1 keping ikan masin di goreng garing - Pilihan 
Daun bawang - hiasan
Cara menyediakannya

1. Cuci bersih ketam dan potong dua. Ketepikan seketika.

2. Cuci beras dan masukkan ke dalam periuk bersama air, halia , bawang putih dan serbuk lada hitam. Masak sehingga beras hancur sambil sesekali di kacau.

3. Masukkan ketam, kiub ikan bilis dan minyak bijan sambil di kacau. Imbangkan rasa bubur dengan memasukkan sedikit garam.
4. Bila bubur telah masak, hidangkan dengan menabur daun bawang dan isi ikan masin yang di hancurkan sedikit.


Assalamualaikum,

Lauk ringkas memang sedap dan membuka selera selain daripada cepat di sediakan dan memudahkan kerja. Kadang-kadang bila pulang dari kerja rasa nak cepat je masak yang ringkas-ringkas dan yang penting perut di isi. Yang mudah makan di luar je, tapi jika tiap hari begitu memang menjemukan. Masakan sendiri juga yang jadi pilihan. Jadi ingat masakan ibu dulu-dulu. Walaupun ringkas tetap berselera kita menjamahnya dan bertambah-tambah juga nasi. 

Baiklah untuk lauk pembuka selera yang ringkas tetapi sedap, saya ingin berkongsi resepi ikan kerisi berlado. Resepinya saya intai dari dapur Cik Mat Gebu di SINI. 
BAHAN-BAHANNYA 
2 ekor ikan kerisi saiz besar, siang dan kelar - cuci bersih.
Sedikit garam dan serbuk kunyit - dilumur pada seluruh ikan termasuk bahagian dalam, perap 10 minit)
2 biji limau kasturi - perah ambil jusnya
Gula dan garan secukup rasa
BAHAN-BAHAN TUMBUK HANCUR 
5 biji cili merah
4 biji cili padi - saya tambah
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2 biji buah keras di hiris
CARA MEMBUATNYA 

1. Goreng ikan tadi hingga masak, tak perlu sampai terlalu garing, angkat, toskan dan alih ke dalam pinggan yang sesuai. Ketepikan.

2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan-bahan tumbuk hancur hingga harum dan garing, guna api kecil dan kacau selalu. Tambah garam dan gula secukup rasa, akhir sekali masukkan jus limau kasturi, gaul dan masak sekejap.

3. Ceduk sambal tadi dan letak atas ikan kerisi goreng, ratakan dan boleh dihidangkan bersama nasi panas dan lauk-lauk lain.


Assalamualaikum,

Selamat berhari minggu dan terima kasih untuk pembaca yang sudi singgah di blog ini.  Yang bercuti hari ni, pasti ada perancangan untuk menghabiskan masa dengan keluarga di rumah atau membawa anak-anak keluar bersantai. Bagi yang tidak kemana-mana dan merancang untuk masuk ke dapur menyediakan hidangan untuk keluarga tu, bagus juga kerana ikatan kekeluargaan akan bertambah erat jika kita memasak sendiri untuk mereka. Apapun aktiviti kita hari ini, semoga segalanya berjalan lancar dan berjaya hendaknya.

Hari ni saya ingin berkongsi resepi kek Nescafe & coklat rice yang resepi asalnya saya ambil dari FB Rohaimi Ahmad, iaitu resepi asalnya kek nescafe & coklat chips. Kek ini saya buat semalam kerana permintaan dari anak sulung saya untuk di bawa ke sekolah. Ada makan-makan katanya dengan teman sekelasnya. Jomlah kita layan resepi... 

KEK NESCAFE & COKLAT RICE
Bahan-bahannya
200gm majerin
200gm tepung gandum
3 biji telur ayam - Gred A
180gm gula halus - (agak manis - boleh kurangkan gula jika suka)
2 sudu besar sri kaya(sekaya)
1sudu besar penuh serbuk nescafe
1/2 sudu teh baking powder
3sudu besar coklat rice
almond nibs - saya tambah

Cara membuatnya:

1. Masukkan gula dan mentega kedalam mangkuk, pukul hingga kembang dan putih.
2. Masukkan telur satu persatu dan pukul lagi.

3. Masukkan pula tepung yang di ayak dengan baking powder sdikit demi sedikit dan pukul lagi. Masukkan pula sekaya dan serbuk nescafe sambil di pukul hingga sebati.
Saya gunakan sekaya perisa pandan sebab itu sahaja yang ada di dapur :)

4. Akhir sekali masukkan coklat rice dan kacau sekadar sebati dengan menggunakan sudip.
5. Tuang adunan ke dalam loyang yang bersesuaian dan taburkan almond nibs. Sebelum itu sapu loyang dengan majerin dan taburkan dengan tepung di kelilingnya. Dasar loyang hendaklah di lapik dengan kertas minyak.
6. Bakar guna api atas bawah 150-160'c selama 1 jam (bergantung kepada ketuhar masing-masing)





Assalamualaikum, 

Pagi Sabtu yang indah...kerana saya bercuti dan dapat meluangkan masa dengan anak-anak di rumah sepanjang hari. Hmm menu sarapan hari ini juga kelihatannya lebih memihak kepada selera anak-anak yang sedang bercuti iaitu nasi goreng nugget. Suka benar anak-anak dengan nugget, apa lagi jika di campurkan ke dalam nasi goreng. Resepinya ringkas sahaja namun pasti membuka selera di pagi hari begini.

Jom langsung saja kita lihat resepinya... ;)
NASI GORENG NUGGET 

Bahan-bahan:
2 Mangkuk nasi
1 labu bawang besar - dipotong dadu (saya guna bawang holland)
3 ulas bawang putih - di hiris nipis
5-6 ketul nugget  -digoreng dan dihiris
2 biji telur
1 Sudu besar sos tiram
Sedikit lada sulah
Sedikit serbuk pati ayam
Garam secukup rasa - (saya gantikan dengan kicap cair)
Bahan hiasan
Sedikit daun bawang
Sedikit hirisan timun dan tomato

Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak di dalam kuali, tumiskan bawang putih dan bawang besar sehingga garing.
2. Masukkan sos tiram,lada sulah,serbuk pati ayam dan kicap cair secukup rasa sambil di kacau nasi tersebut.

3. Setelah itu masukkan nugget dan nasi, gaulkan sehingga rata.

4. Akhir sekali,ketepikan sedikit nasi dan pecahkan telur di tengah kuali. Setelah telur setengah masak,gaulkan dengan nasi. 
5. Angkat dan hidangkan dengan daun bawang,hirisan timun dan tomato.


Assalamualaikum,


Salam pagi jumaat, penghulu segala hari. Jika di Kedah, Terengganu dan Kelantan...hari ini merupakan cuti minggu. Walaupun saya menetap dan bekerja di Langkawi, saya tetap bekerja hari ini dan cuti mingguan saya adalah pada hari sabtu & ahad. Ini adalah biasa bagi kerjaya yang melibatkan customer service dan berurusan dengan pelancong dari dalam dan luar negara. Kadang-kadang cuti mingguan juga berubah-ubah bergantung kepada graf kemasukkan pelancong terutamanya pada cuti umum atau cuti sekolah. 

Baiklah...hari ini tak mau bercakap soal kerja, dan seperti biasa...saya ingin berkongsi resepi yang mudah-mudah sahaja dan yang penting sedap. Suka tak makan tauhu sumbat? Ada dua jenis kuah sampingan yang di hidangkan dengan tauhu sumbat ni, dan hari ini saya ingin berkongsi resepi kuah kacang yang sangat sedap. Resepi asalnya dari Chef Hanieliza dan saya ambil di SINI. Menurut kak Liza, kuah ini adalah kuah sate dan sesuai juga di makan dengan nasi impit. Jika begitu..sesuai jugalah di makan dengan tauhu sumbat yang saya sediakan ni, kan. Baiklah...jomlah kita lihat resepinya...:)
TAUHU SUMBAT
Bahan-bahannya 
6 keping tauhu 

Di potong halus seperti mancis
1 batang lobak merah 
1 biji timun  
sedikit ubi sengkuang 

segenggam taugeh - di bersihkan dan celur seketika
Cara membuatnya:-

1. Gaul sedikit garam dengan tauhu dan goreng hingga kekuningan. Toskan minyak. 

2. Belah dua tauhu (menjadi segitiga) dan sumbat sayuran yang di potong halus tadi ke dalamnya.
3. Hidangkan dengan menyiram kuah kacang ke atas tauhu tersebut.

KUAH KACANG
Bahan-bahan
1/2 kg kacang tanah - di goreng, buang kulitnya dan tumbuk kasar.
1/2 cawan air asam jawa
1/2 cawan gula merah
1/2 cawan minyak masak
garam secukup rasa

Bahan mesin
5 sudu besar cili mesin
4 batang serai
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
8 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
2 biji buah keras

Cara membuatnya:

1. Tumiskan bahan mesin sehingga wangi dan garing.

2. Bila dah naik minyak masukkan air asam jawa dan kacang. Tambahkan sedikit air jika pekat sangat.

3. Masukkan gula dan garam secukupnya. Masakkan dengan api perlahan sehingga naik minyak.

4. Sedia untuk di hidangkan.