Assalamualaikum,
Salah satu dari kuih tradisional yang menjadi kegemaran saya sekeluarga ialah cucur badak. Selain dari mudah di sediakan, membuat kuih ini juga satu keseronokkan kerana anak gadis saya sering menghulurkan bantuan. Agaknya seronok bagi dia melakukan kerja melecek ubi keledek dan membentuk kuih sebelum di goreng. Selalunya saya kurangkan jumlah cili kering di dalam inti cucur badak kerana anak yang kecil juga suka dengan kuih ini tapi tak tahan pedas.
Resepi ini agak mudah, dan sesuai untuk yang baru belajar memasak. Kredit untuk pemilik resepi ini. Saya ambil resepi dari princessharyati MyR dan benar-benar menepati citarasa.
Jom lihat resepinya...
CUCUR BADAK
Untuk Kulit
2 biji keledek saiz besar
1 cawan tepung gandum
Garam
Untuk Inti
1/2 biji kelapa parut
1 cawan udang kering - saya gunakan udang geragau kering
2 biji bawang besar
5 batang serai
1 sudu kecil kunyit serbuk
5 tangkai cili kering (ikut kepedasan masing-masing)
1 sudu besar minyak masak
Garam dan gula
1. Cara-cara : UNTUK INTI : blender cili kering, bawang besar, serai, udang kering dan bawang dengan sedikit air. Setelah halus masukkan kelapa parut, blender sebentar. Tuang minyak ke dalam kuali yang di panaskan, masukkan adunan inti yang di blender tadi. Masukkan juga kunyit, garam, gula dan serbuk perasa. Kacau hingga masak dan kering sedikit.
2. UNTUK KULIT : Rebus keledek dengan air dan sedikit garam hingga lembut. Setelah masak, sejat air rebusan dan tinggalkan sedikit. Campurkan dengan tepung dan uli. Buat semasa masih panas, senang nak lenyek. Jika adunan lembik tambahkan sedikitdemi sedikit tepung. jangan terlalu banyak tepung, nanti tak sedap.
3. Setelah itu buat doh kecil-kecil. Ambil satu, buat melengkung. Tips : Semasa hendak membuat doh ini gunakan sedikit minyak masak di tangan agar tepung tidak melekat. Letakkan inti dan tutupkan kembali.
4. Seterusnya goreng dengan api yang sederhana hingga masak.