Botok telur masin adalah hidangan ringkas dan cepat di sediakan. Sesuai di sediakan untuk hidangan makan malam juga, bagi yang inginkan sesuatu yang enak dan membuka selera.


BOTOK TELUR MASIN 
Bahan-bahan:
2biji telur masin
sehelai daun pisang
3 sudu santan pekat 

Bahan di hiris halus
sehelai daun kunyit
2biji bawang merah
1 biji cili merah
3 biji padi 
1cm lengkuas

Cara membuatnya:

Pecahkan telur masin kedalam daun pisang, masukkan semua bahan yang di hiris ke atas telur masin, tuang 3 sudu santan pekat. Lipatkan daun pisang dengan kemas dan pinkan dengan pencungkil gigi. Kukus selama 10minit dan sedia untuk di hidangkan.





Assalamualaikum & selamat pagi :)


Sarapan apa pagi ni? Rasa teringin pula nak rasa kek gula hangus untuk minum pagi. Resepinya pastilah yang mudah-mudah aja...asalkan sedap dan menjadi. Sesetengah resepi memerlukan kita perap adunan kek sehingga 2 ke 3 jam untuk mendapatkan tekstur bersarang dan berlubang-lubang. Tapi resepi yang saya gunakan ini tidak di perap terlebih dahulu. Lepas putar semua, terus masuk kedalam oven.

Wah..lihat loyang tu, cantik kan? Ini di beli di 'seberang' nih...di Toko Arlisah...kedai peralatan membuat kek dan kuih terkenal dan besar di Surabaya ketika bercuti kesana dulu. Berbagai jenis loyang saya borong dan semua yang kita perlukan untuk 'baking' ada di sana. Di sana memang sangat murah dan berbeza banyak dgn harga di Malaysia.  Nanti saya tulis di entry lain, tentang gadjet dapur yang saya dapatkan dan lokasi toko tersebut..mana tau ada yang bercuti kesana dan mau singgah untuk mendapatkan peralatan dapur.  


Jom 'follow' resepi..mungkin ada yang nak cuba lepas ni. "Just do it"...pasti tak mengecewakan. :)



RESEPI KEK GULA HANGUS
Bahan-bahan
1 1/2 cawan tepung gandum
2 cawan gula + 2 cawan air biasa
7 biji telur
3/4 cawan susu pekat
2 sudu besar soda bikarbonat
1 sudu besar penuh mentega atau marjerin
1 sudu teh esen vanilla


Cara membuatnya:-

1. Ayak tepung gandum dengan soda bikarbonat.
2. Buat gula hangus dan sejukkan (caranya sama macam kita buat gula hangus untuk puding Karamel).
3. Dalam bekas lain, putar majerin dan susu pekat hingga putih dan masukkan esen vanilla.
4. Masukkan juga telur sebiji sebiji sampai habis
5. Masukkan gula hangus berselang seli dengan tepung dan kacau.
6. Sapu majerin pada loyang dan tuang adunan kek kedalamnya.
7. Bakar seperti kek biasa hingga masak (saya set suhu 160C - bakar lebih kurang 45minit)- bergantung pada oven masing-masing.

Jangan lupa sebelum itu pastikan oven di panaskan dahulu selama 15 minit.


Jom minum petang dengan apam indonesia..atau nama glamernya apam indon. Berbaloi cuba resepi yang di ambil di my resepi ni. Cuma semasa mengukusnya pastikan tudung kukusan di bungkus kain untuk mengelak dari wap air terjatuh keatas adunan. Kuih saya ni kurang cantik sedikit tekstur, tapi rasanya..ummmm enak banget. :)



APAM INDONESIA
5 biji telur
1 sudu kecil ovellete
1 sudu kecil esen vanilla
300gm tepung gandum
300gm gula halus
250ml susu segar @ santan (saya pakai santan kotak)
1/2 sudu kecil baking powder
secubit garam
pewarna 

cara-cara

1. Sediakan kukusan. Untuk mengelakkan air menitik ke atas apam, balut penutup dengan sehelai kain.

2. Ayakkan tepung bersama baking powder

3. Campurkan garam ke santan.

4. Putar telur dan ovellette pada kelajuan tinggi hingga kembang.

5. Masukkan gula sedikit demi sedikit, kemudian masukkan esen vanilla.

6. Kurangkan kelajuan mixer, masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit berselang seli dengan santan.

7. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian, masukkan pewarna yg di sukai.

8. Sapu loyang dgn sedikit majerin, kemudian taburkan sedikit tepung (cara ini untuk mengelak adunan dari melekat bila masak nanti).

9. Masukkan adunan pertama ke dalam acuan. Kukus selama lebih kurang 10minit atau sampai bahagian atas tu tak melekat.

10. Ulangi langkah (9) dgn adunan kedua.

11. Masukkan adunan terakhir dan kukus lagi selama 30-40 minit.


Assalamualaikum,

Puding jagung ini memang sangat mudah di sediakan dan sesuai di hidangkan di majlis-majlis. Cuma ketika mengacaunya tu harus pandai mengagak iaitu bila pekat dan berkilat sedikit harus segera matikan api dapur dan cepat-cepat tuang adunan kedalam acuan.

Rasanya juga sedap, lemak berkrim. Keluarga anda pasti sukakannya. Bagi yang ingin mencubanya di sini di sertakan resepinya...
PUDING JAGUNG 
1 cawan tepung kastad
1 cawan jagung manis (jenis creamer dalam tin)
3/4 cawan gula
3 cawan air
1 1/2 cawan susu cair

CARA-CARA

1. Campurkan tepung kastad, gula, jagung, susu dan air ke dalam periuk.

2. Lepas itu di kacau hingga pekat dan berkilat di atas api yang sederhana hingga sebati.

3. Selepas adunan rasa berat (pekat) cepat-cepat tuang dan sejukkan di dalam acuan.
Bengkang durian sebenarnya enak dan mudah di sediakan jika kena dengan resepi. Resepi yang saya buat ini di ambil dari internet, "kuih bakar durian bonda Diana". Minta di halalkan ya resepi ni kepada tuan empunya. Memang marveles resepinya. secukup rasa lemak, rasa durian dan yang paling "syok" keraknya yang saya bakar sedikit garing buatkan rasanya benar-benar sedap. Nak tau sedap yang macamana tu..kena cuba buatlah ya. 



Resepi ini boleh dapatkan 2 loyang sebenarnya. Satu loyang untuk di makan di rumah dan satu lagi saya bawa ke rumah emak. Jika keluarga tak besar dan ingin buat satu loyang, pandai-pandailah bahagi dua bahan nya ye :)

Sumber : Resepi Bonda Diana 

Bahan-bahannya
1800 ml santan (dari 1 1/2 biji kelapa parut)
6 biji telur 
3 cawan tepung gandum
1 3/4 cawan gula pasir (saya kurangkan ke 1 1/2 cwn)
180 gram isi durian
secubit garam
sedikit pewarna kuning
secukupnya mentega SCS/ Golden Churn (ini yang buat kuih wangi & sedap)

Cara-caranya

1. Dengan menggunakan food processor/ blender, blender semua bahan-bahan diatas (didahului dengan bahan cairan) dan tuang kedalam bekas yang besar. Ini yang paling mudah supaya adunan tidak bergentel. Kemudian gunakan senduk dan kacau adunan tepung supaya sebati. 

2. Panaskan acuan kuih bakar/ loyang dalam oven dan bila telah panas keluarkan dan letakkan 1 sudu besar mentega dalam acuan Kuih Bakar dan jika gunakan loyang mentega lebihkan (ini yang buat tepi Kuih Bakar garing dan baunya harum. Jika guna acuan dan keluarkan kuih boleh terus letak mentega pusing-pusing sikit kasi cair (sebab acuan panas) dan boleh tuang adunan tepung.

3. Kemudian bakar pada suhu 200 darjah C selama 45 - 60 minit. 

Nota PENTING: Jika anda menggunakan loyang sila tambahkan 1/4 cawan tepung kepada resipi diatas, jika tidak kuih agak terlalu lembut untuk dipotong. Kalau guna acuan kuih bakar pecah 8 boleh gunakan resipi seperti diatas. 

Jika menggunakan loyang, selepas selesai bakar, hendaklah sejukkan kuih terlebih dahulu sebelum keluarkannya dari loyang. Kalau guna acuan kuih bakar pecah 8, selepas bakar boleh terus keluarkan kuih dari acuan. 

Untuk bengkang tahan lama, masak air hingga mendidih dan masukkan kelapa parut. Bila menggunakan santan yang telah di masak, kuih bakar lebih tahan lama, tidak cepat bertali, ini petua dari bonda.


Assalamualaikum, 

Apa ye yang boleh di masak dengan pisang muda selain di buat kerepek? Jika di kampung, menu boleh di pelbagaikan dari ulam-ulaman dan tanaman di sekeliling rumah je. Seronok kan tinggal di kampung...nak guna cili, daun pandan, daun kunyit dan daun kari, petik je di  belakang rumah. Jika di bandar semua kena beli di pasar :)


Minggu lepas saya ada masak gulai pisang muda yang di campur ikan masin dan ikan bilis. Masa kecil-kecil dulu mak selalu juga masakkan menu ni, tapi di buat masak lemak cili api. Saya pula masak gulai menggunakan serbuk kari ikan masin ADABI. lebih cepat..tak perlu blender2 bagai. maklumlah mengejar masa :)


GULAI IKAN MASIN PISANG MUDA
300gm ikan masin dan tulang – saya guna ikan talang
½ cawan ikan bilis di tumbuk kasar
Sepaket (26 gram) serbuk kari udang, ketam & ikan kering ADABI
3 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih dan 1 labu bawang besar (di mayang halus)
2cm kulit kayu manis
2 tangkai daun kari
1 cawan santan pekat
½ cawan air asam jawa
3 ½ cawan air
5biji pisang muda – di kupas kulit sedikit dan di potong serong (rendamkan sebentar di dalam air garam untuk mengelak dari bertukar ke warna hitam)


Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dan tumis kulit kayu manis, bawang2 yg di mayang dan daun kari di dalam periuk. Tumis hingga wangi.

2. Masukkan bancuhan serbuk kari hingga pecah minyak (dengan api perlahan kira-kira 5 minit) , kemudian masukkan air, pisang muda, air asam jawa , ikan masin, ikan bilis dan masak lagi selama 10minit dengan api yang besar hingga mendidih.

3. Kecilkan api, masukkan santan pekat dan renihkan. Pastikan pisang sudah empuk, secukup rasa dan hidangkan.



Assalamualaikum, 

Jom buat cucur ikan bilis untuk minum petang. Cucur begini memang cepat je laris...apalagi pekena dengan sos cili dan secawan teh...boleh jadi bercawan-cawan nantinya :).

Kadang-kadang bila kita sediakan cucur ikan bilis jadi keras dan liat. petua untuk melembutkan cucur dari dalam dan ranggup di luar, adalah dengan membancuh adunan dengan air panas. Ini kerana adunan tepung menjadi setengah masak dan kerja menggorengnya tidak lama. Cubalah..pasti tidak mengecewakan.

Resepinya...

CUCUR BILIS
Bahan-bahan
2 cawan tepung gandum
1 1/2 cawan air panas
sedikit air biasa jika perlu
6 ulas bawang merah di mayang 
segenggam ikan bilis, di tumbuk kasar
sedikit garam
2 cawan minyak untuk menggoreng

Cara Membuatnya:-
1. Satukan tepung, garam, bawang dan bilis ke dalam sebuah mangkuk.
2. Tuangkan air panas dan gaul hingga basah (panas..kena gaul dengan sudu). Jika kurang basah tambahkan sedikit air biasa.
3. Adunan akan menjadi seakan berketul dan setengah masak
4. Panaskan minyak, jemput adunan dan masukkan cucur. Goreng hingga kekuningan.
5. Angkat dan toskan.


Apam mekar ni nampak seperti mudah je kan membuatnya. tapi kadangkala tak jadi merekah dan mekar seperti yang di harapkan :) . Ada sesetengah resepi tu perap adunan untuk beberapa waktu untuk membuatkan apam tersenyum dan yang penting proses mengukusnya hendaklah di lakukan dengan api yang kuat.

Resepi yang saya cuba ni, alhamdulillah menjadi walaupun tak di perap. Saya bancuh adunan dan terus kukus dan hasilnya memang tak mengecewakan. Jika di perap, mungkin menjadi lebih gebu dan ringan.

APAM MEKAR
Bahan-bahan
250gm tepung gandum 
200gm gula 
2 biji telur
1 cawan ais krim soda (saya guna jenama F & N)
1 sudu teh ovellete
2 warna kegemaran

Cara-cara

1. Pukul gula, telur, esen vanilla dan ovellete sehingga kembang.

2. Masukkan tepung dan aid krim soda secara berselang seli.

3. Setelah sebati, warnakan mengikut citarasa masing-masing.

4. Masukkan dalam cupcakes dan kukus selama 15 minit.
Assalamualaikum..selamat pagi.


Alhamdulillah, di pagi jumaat 28hb September 2012 ini Allah masih berikan kesihatan yang baik untuk kita. Dah sarapan pagi? Pagi ni saya dan anak-anak sarapan yang ringkas saja. Bangun awal dan godek-godek di dapur, rupanya masih banyak nasi putih semalam yang masih berbaki dalam periuk dan elok lagi. Daripada membazir, elok juga di goreng untuk sarapan pagi hari ni...maka terhasil lah nasi goreng kampung yang ringkas dan cepat. 

Saya rasa semua orang boleh masak nasi goreng ni..tapi nak kongsi juga dan masukan kesini ...:)



NASI GORENG KAMPUNG

Bahan-bahan 
3 Mangkuk nasi sejuk
1/2 cawan ikan bilis yang di goreng
segenggam udang basah
sebiji telur ayam
kicap cair/kicap sotong

Di tumbuk halus
2 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah
sedikit belacan
5biji cili padi (anak-anak tak tahan pedas, jadi saya gunakan 3biji cili merah)

Cara-cara:-

1. Panaskan minyak, tumis bahan yang di tumbuk halus sehingga naik bau dan kekuningan.

2. Masukkan udang, pecahkan telur dan kacau. Apabila udang masak sedikit, masukkan nasi dan teruslah menggoreng. perasakan  dengan kicap cair atau kicap sotong dan kacau lagi hingga mesra. Jika suka boleh masukkan serbuk perasa (bagi yang menggunakan nya dlm masakan)

3. Akhir sekali setelah nasi masak, masukkan ikan bilis goreng dan kacau sebentar sebelum tutup api.

4. Hidangkan...mudah kan? setengah orang ketuk cili padi dan masuk sekali dengan nasi ketika menggoreng. Tapi saya lebih suka potong cili dan hidangkan berasingan sebab anak-anak tak tahan pedas. 




Kenal tak dengan Haw flakes? Dulu masa zaman kanak-kanak, asam ni lah yang sering di beli buat kudapan. rasanya masam2 manis, gitu. Anak-anak sekarang dah kurang layan hawflakes ni. Mungkin sekarang ada banyak pilihan kudapan lain di pasaran. Tapi Hawflakes ni kalau di buat kek lapis, bukan main suka lagi anak-anak dan cepat je habis.


                                              Foto : Ehsan Google


Resepi kek yang saya buat ni agak ringkas kerana tak menggunakan biskut marie yang di blender halus. Sebagai gantinya, saya gunakan tepung gandum.


Jom check resepinya...


KEK LAPIS ASAM MANIS (HAW FLAKES)
250gm tepung gandum - di ayak dengan 1sudu teh baking powder
200gm butter
200gm gula kastor
5biji telur - Gred A
1 sudu esen vanilla
1 cawan susu pekat 
Pewarna hijau dan merah (atau 2 warna kesukaan)
Asam manis (Haw Flakes) secukupnya



CARA MEMBUATNYA:-


1. Pukul gula dan butter hingga kembang, masukkan telur satu persatu.

2. Masukkan susu pekat dan tepung sedikit demi sedikit dan pukul sebentar hingga sebati.

3. Bahagikan adunan kepada dua bahagian dan warnakan.

4. Masukan sedikit adunan warna merah kedalam loyang dan atur asam manis serta kukus selama 5minit. Lapis lagi dengan adunan warna hijau, atur asam manis serta kukus lagi selama 5minit. Ulang adunan hingga habis.

5. Seterusnya kukus lagi selama satu jam...sejukkan dan bolehlah di potong.
Resepi Moo Cake ini saya ambil dari teman FB, Rohaimi Ahmad.

Ia di beri nama Moo cake mungkin kerana bentuknya seperti corak di badan lembu susu, kot? :). Apa pun rasanya memang 'mabeles' dan saya ingin kongsi resepinya di sini...


KEK MOO

Bahan2nya:
250g majerin
150g gula halus
4biji telur ayam }A
200g tepung gandum
50g susu tepung
1skfc baking powder
1/2skfc soda bikarbonat
1skfc esen vanila
2sb susu pekat manis
100ml susu cair
*2sb serbuk koko

Cara2nya:
-putar gula dan majerin sehingga kembang
-masukkan telur~putar
-masukkan tepung, susu tepung, baking powder, soda bikarbonat dn esen vanila~putar
-masukkan susu cair dn susu pekat manis~putar
-adunan siap.
-bahagikan kepada 2 bhgian:
i: adunan asal
ii: adunan asal+2sb serbuk koko
-------------------------------------------
-sediakan loyang bersaiz 8' sapu keliling loyang dgn majerin dn taburkan tepung...LAPIK dgn kertas minyak(putih)
-masukkan 1sudu per satu sudu disetia adunan..tompok2kan..buat sehingga habis...hentak sikit loyang bg adunannya sekata...
-bakar pada suhu 150'c selama 50min-sehingga masak
-setelah masak...biarkan selama 5min didalam loyang bg tepi2 loyang tu rengang sikit supaya senang nk kuarkan kek tu nanti...
-terlungkupkan permukaan kek tu diatas papan kek...tarik kertas minyak perlahan2 dan siap.




Assalamualaikum :)


Banyak-banyak jenis kek, saya paling kerap dan suka menyediakan kek pisang di rumah kerana anak-anak menggemarinya. Selalunya untuk mereka minum petang sementara menunggu saya pulang.

       Cara penyediaanya sangat ringkas dan bahan-bahannya juga murah dan memang sentiasa tersedia di dapur. Resepi yang saya akan beri ini mudah di ikuti terutamanya bagi yang mula mencuba untuk membuat kek.


KEK PISANG
Bahan-bahan
2 cawan tepung gandum (ayak dengan 1sudu teh soda bikarbonat & 1 sudu teh baking powder)
Pisang emas 6 hingga 7biji
Telur gred A - 3biji
1 cawan gula pasir 
1 cawan minyak masak & 1 sudu teh esen pisang
                                          

CARA-CARA

1. Ayak tepung gandum dengan soda & baking powder ke dalam mangkuk besar.

2. Blender pisang, telur, gula pasir, minyak masak dan esen pisang. Tuangkan kedalam tepung gandum tadi.

                                           3. Kacau hingga sebati dengan whisk dan tuang kedalam loyang. potong lebihan pisang tadi dan tabur ke atas adunan untuk mendapatkan tektur yang menarik.

4. Bakar dengan suhu 160c hingga masak (bergantung pada oven masing-masing). Mudah kan? :) 




Assalamualaikum,

Kuih koci adalah sejenis kuih tradisional melayu yang enak. Namun, generasi sekarang makin kurang tahu dan tidak berminat untuk membuatnya. Mungkin kerana penyediaan nya yang agak renyah ataupun tidak tahu resipi sebenar. 

Di sini saya ingin berkongsi resepi kuih koci yang mudah dan cepat di sediakan dan bagi yang ingin mencuba, resepinya seperti berikut :


UNTUK DOH

300gm tepung pulut
20gm tepung gandum
air

UNTUK DADIH
3 cawan santan pekat
2 sudu besar tepung beras
sedikit garam

UNTUK INTI
1 biji kelapa parut
1 1/2 cawan gula merah
1/4 cawan gula putih
1 camca tepung gandum

daun pisang secukupnya – di layur

CARA-CARA :-

1. Bancuh adunan doh dan pastikan tidak terlalu lembik.



MASUK INTI DAN BULAT-BULATKAN 
2. Untuk inti, didihkan gula merah dengan sedikit air,tapis.masukkan semua gula putih dan kelapa parut serta masukan satu camca besar tepung gandum untuk memekatkan inti dan agar senang di bulat-bulatkan.

3. Sediakan dadih dengan mencampurkan santan, tepung beras dan garam. Masak hingga mendidih.

4. Masak air dalam periuk hingga mendidih.Ambil sedikit pastri,leperkan,letakkan inti kelapa dan bulat-bulatkan,kemudian masukkan kedalam air mendidih rebus hingga timbul(macam kita buat kuih buah melaka). Angkat kuih masukkan kedalam dadih buat hingga habis.
DOH  YANG TELAH DI REBUS & MASUKKAN KE DALAM DADIH

5. Dah siap rebus kuih,guna sudu ambil sebiji kuih dan sedikit dadih bungkus kuih koci dengan daun pisang hingga habis & kukus selama lebih kurang 5 minit.

Assalamualaikum, 


Selalu kalau teringin nak  makan mee claypot yang halal, port utama kita adalah ke food courts seperti Tesco. Tapi di rumah juga kita boleh menyediakan sendiri mee claypot yang enak seperti yang di sediakan di food courts, malah terjamin kebersihannya. Boleh lebihkan ayam, cendawan shitake dan fishball sesedap rasa seperti yang kita inginkan. 



Resepi ini pasti tidak mengecewakan :)




MEE CLAYPOT

Bahan-bahan

Mee Kuning
Isi ayam
Sekeping Fish cake
6 biji fish ball
2 ulas bawang putih (dicincang halus)
Beberapa helai daun sawi
4 keping Cendawan Shitake (di rendam hingga lembut dan di potong)
Bunga Kobis
1 biji telur ayam (utk seorang makan)
1 sudu teh minyak bijan (untuk membangkitkan rasa & bau)
1 kiub ayam
Cili api
Kicap cair
2 cawan air


Cara-cara membuatnya:

1.Tumis bawang putih dan masukkan isi ayam, di kacau hingga wangi dan kekuningan dan masukan 2 cawan air.


2.Pecahkan telur dan biarkan keras sedikit.

2.Masukkan minyak bijan,sayuran, fish Ball, fish cake, cendawan, kiub ayam dan renihkan. Akhir sekali masukan mee kuning.


3.Jangan lama-lama sangat agak-agak mee dah lembut dan telur dah masak, tutup api.

4.Dah siap bolehlah dihidangkan dengan cili api yang dipotong-potong & dicampurkan dgn kicap cair.


Assalamualaikum,

Pernah makan mee gulung? Sesekali ubah selera tak mengapa kan. :) Cubalah resepi mee gulung ni, sungguh istimewa dan sedap (bagi selera saya). Kalau buat kat rumah, memang larislah dengan anak-anak. Mee ini tak pedas, dan jika suka pedas...boleh saja di hidangkan dengan cili potong. Memang marbeles....

Sambil menaip ni pun dah kecur liur di buatnya. Jom kita tengok resepi..


MEE GULUNG  
Bahan untuk mee
300gm mee kuning
3 sudu besar kicap pekat
1 biji telur untuk di buat dadar – gulung mee
Minyak.

Cara-cara:-

1) Masukkan sedikit minyak ke dalam non stick pan. Goreng mee kuning dengan kicap pekat hingga masak dan warna sekata. Ketepikan



2) Pukul telur dan buat dadar nipis. Apabila dadar telah siap, ambilkan sedikit mee tadi dan gulung dengan telur dadar tadi dan gunting sedikit (seperti gambar). Hidangkan di dalam pinggan.


Bahan untuk kuah.

2 ulas bawang putih
2 tangkai cili padi di potong serong
60gm isi ayam – di potong kecil (agak-agak)
1 fish cake
1 kiub pati ayam maggi
2 sudu besar kicap cair
2 cawan air
Sedikit sawi, lobak merah & bunga kobis (di racik)
½ sudu teh serbuk lada hitam & ½ sudu teh serbuk lada putih
1 biji telur
1 sudu besar tepung jagung (di bancuh dengan 2 sudu besar air)



Cara-cara:-

1) Tumis bawang putih, cili padi isi ayam & fish cake hingga wangi & kekuningan.

2) Masukkan air, kiub pati maggi, kicap cair, serbuk lada hitam, serbuk lada putih dan sayur-sayuran.

3) Pecahkan sebiji telur, dan kacau dengan garfu sebelum menjadi keras, di ikuti dengan air bancuhan tepung jagung untuk memekatkan kuah. Suaikan rasa.

4) Curah kuah di atas mee yang di gulung dengan telur tadi. 
Assalamualaikum, 

Bingka atau bengkang itu kuih yang sama..kan? Cuma sebutan nya berbeda. Malaysia ni mempunyai slang yang pelbagai antara malaysia timur, utara dan selatan. Resepi ni saya ambil di internet juga ni..sudah lama. Tak ingat saya dari blog siapa, nanti saya cuba cari dan masukan linknya di sini. 

Kebetulan masih ada pisang lebihan selepas buat kek pisang tempohari. Pisangnya juga sudah agak ranum..sesuailah buat bingka ni..kalau buat cekodok selalu pun jemu juga kan. :)


BINGKA PISANG
Bahan-bahan
1 sisir pisang kapas (10-13 biji) di lecek
1 cawan tepung gandum *
3/4 cawan gula *
1 cawan santan *
1 cawan susu cair *
1 biji telur - Gred A *
2 sudu besar butter *

Cara-cara
1. Blender semua bahan bertanda *
2. Tuangkan adunan ke dalam mangkuk berisi pisang lenyek dan gaul rata.
3. Masukkan ke dalam loyang yang telah di lengser dengan butter
4. Bakar 180C selama 1 jam atau lebih untuk mendapatkan kerak
5. Sejukkan dan bolehlah di potong untuk di hidangkan.
Assalamualaikum, 


Wah..wah...wah....ni salah satu dari kuih favourite saya ni. Kesedapan bengkang pandan ni letaknya di keraknya yang berbijan dan aroma pandan yang sungguh wangi dan menyelerakan. Seperti yang kita tau, kuih muih yang di buat dengan daun pandan terutamanya kuih tradisional memang membuka selera. Aromanya lain dari kita menggunakan essence pandan.

Resepinya pun agak mudah dan ringkas sebab saya cuma blender semua adunan dan bakar. Buat kuih bengkang sekarang ni mudah dan cepat, tak seperti zaman dulu...saya masih ingat lagi, waktu kecil kalau mak nak masak kuih bengkang terpaksa guna sabut atau arang yang di bakar dan di letakan di atas tin/tudung periuk untuk mendapatkan kerak di bahagian atas bengkang. Sekarang orang guna oven je, mudah sangat...rugi jika tidak mencubanya...sesuai untuk sarapan atau minum petang. Resepinya ada di bawah..silalah share di FB atau copy untuk rujukan, bila-bila nak membuatnya mudah mencari resepinya.



BENGKANG PANDAN
Bahan-bahan:
1 Cawan gula
1 Cawan jus pandan (Kisar 4 helai daun pandan bersama 1cawan air tapiskan)
2 Cawan tepung gandum 
2 1/4 cawan santan 
2 sudu besar mentega
3 biji telur
1/2 sudu teh garam 
Pewarna hijau
Bijan.

Cara-cara:-
1. Campurkan kesemua bahan dan blend sampai sebati.

2. Masukkan 2 sudu teh minyak masak dalam loyang dan oleskan rata.

3. Panaskan loyang dalam oven sebentar. Bila minyak telah panas, masukkan adunan yang di blend tadi.


4. Taburkan bijan dan bakar pada suhu 180C sampai kuning/garing (bakar selama 1jam 15minit, kalau nak garing lagi guna api atas dalam 5 minit terakhir).