Assalamualaikum,

InshaAllah esok kita akan menyambut Hari Raya Aidiladha iaitu perayaan terbesar di dalam kalendar Islam selain Aidilfitri .

Ibadah korban dilakukan pada hari tersebut dimana ternakan yang akan dikorbankan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid selepas solat sunat Hari Raya Adiladha sebelum dagingnya  dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya golongan fakir miskin.

Kita di Malaysia merayakan Hari Raya Aidiladha dengan meraikan keluarga dan sahabat handai yang berkunjung dan hari raya ini kurang popular dengan biskut raya seperti hari raya Aidilfitri. Juadah yang dihidangkan juga lebih ringkas namun di tempat saya, ketupat dengan kari atau rendang memang tidak pernah dilupakan. 

Hari ini saya ingin berkongsi resipi ketupat palas berkacang yang dihidangkan dengan kari daging. Jom kita lihat resipinya :)
KETUPAT PALAS BERKACANG DAN KARI DAGING
Bahan-bahan
Daun palas secukupnya
1 kg beras pulut
1 sudu teh garam 
1 sudu teh gula
Santan dari sebiji kelapa -kira-kira 1 kg santan siap diperah
200gm kacang ketupat - kacang mata hitam (ada di jual di pasaraya atau pasar basah juga di sesetengah tempat) 

Cara membuatnya:

1. Buka daun palas dan bentukkan menjadi kelongsong ketupat. Ketepikan dahulu. Ada yang membuka daun palas ini sehari sebelum membuat ketupat. Tujuan nya adalah untuk melembutkan daun dan memudahkan pulut di balut.

2. Tanak pulut dengan kacang mata hitam, santan, garam dan gula hingga suku masak. Sukatan yang betul untuk santan ialah santan sama paras atau lebih sedikit sahaja dari beras pulut. 


3. Sentiasa kacau untuk mengelakkan daripada pulut hangit. Setelah santan kering, perlahankan api dapur(seperti menanak nasi) sambil sesekali di kacau dan apabila pulut dah sebati dengan santan serta separuh masak, matikan api dapur. 

3. Sejukkan pulut tadi sebentar, dan bolehlah di bungkus. Hehehe..maaflah gambar membungkus ketupat ini anak yang 11tahun tolong ambil sebab itu kurang jelas.
4. Setelah siap di bungkus, bolehlah di rebus atas kukus hingga masak. (selalunya dalam 1 jam) 
KARI DAGING
Bahan-bahan:
600 gm daging batang pinang - cuci dan hiris
1 peket kecil rempah kari daging - larutkan menjadi pes dalam 1/4 cawan air
1 sudu besar kerisik
2 keping asam gelugur
6 cawan santan (3 cawan santan cair dan 3 cawan santan pekat)
3 biji kentang - kupas kulit dan di potong empat
Garam, gula secukup rasa
¼ cawan minyak masak

Bahan untuk menumis
2 biji buah pelaga
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 tangkai daun kari
10 ulas bawang merah - dimayang
6 ulas bawang putih - dimayang
1 inci halia – hiris

Cara-cara:

1. Panaskan minyak.Tumis bahan tumis hingga wangi.

2. Masukkan pula rempah kari, kerisik dan masak hingga pecah minyak.

3. Masukkan santan cair, daging dan dikacau rata.

4. Masukkan kentang dan asam gelugur dan renih sehingga daging dan kentang empuk.

5. Masukkan pula pati santan dan masak hingga mendidih. Renih seketika hingga pecah minyak dan perasakan dengan garam dan gula.
Assalamualaikum,

Ketam masak lemak dengan nanas adalah masakan yang tidak asing lagi dengan selera masyarakat Malaysia. Ada berbagai versi masak lemak ini tapi walau bagaimanapun ianya dirampai rasanya memang semuanya sedap. 

Menu ini adalah 'request' dari anak bujang yang tinggal di asrama dan sedang menghabiskan cuti penggal kedua persekolahan di rumah sekarang ini. Suka benar dia dengan ketam dan segala jenis makanan laut.  Selalunya 'request' dari anak yang tinggal berasingan ni InsyaAllah akan dituruti. Iyalah kalau di asrama menunya lain, waktu cuti yang sekejap ini lah nak makan puas-puas masakan rumah.    

Jom kita layan resipi...macam yang biasa kita masak tu je. Sengaja saya 'tepek' dalam blog ini, senang anak nak rujuk bila nak masak nanti.

KETAM MASAK LEMAK DENGAN NANAS
5 ekor ketam - di bersihkan 
1/2 biji nenas - di kupas bersih dan potong kecil
2 batang serai - di ketuk
garam dan gula secukup rasa
1 cawan santan pekat + 2 cawan santan cair

Bahan B - Ditumbuk lumat atau dikisar
3 ulas bawang merah - di mayang 
1 inci kunyit kunyit hidup
15 tangkai biji cili padi

Cara memasak :

1. Tumbuk atau kisar cilipadi, kunyit hidup dan bawang merah. Masukkan kedalam periuk dengan serai yang telah di ketuk.

2. Masukkan juga ketam, nanas dan santan cair. Renihkan hingga mendidih.
3. Seterusnya masukkan santan pekat dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. 
4. Biarkan sebentar hingga mendidih. Gunakan api yang sederhana sambil di kacau selalu agar santan tidak pecah minyak.

5. Bila dah masak sepenuhnya bolehlah matikan api dapur dan sajikan.

Assalamualaikum, 

Bagi penggemar makanan laut mesti pernah makan udang lipan atau mantis prawn. Kalau di Langkawi harga sekilo udang ni RM 8.00 dan selalunya cara menikmatinya adalah dengan merebus atau di goreng garing. Isinya memang sedap dan manis seakan-akan rasa isi ketam , tetapi satu hal pula nak kopek kulitnya jika makan dengan anak-anak kerana kulitnya agak tajam jika tidak di gunting atau di bersihkan sebelum masak.
  
Selain daripada di rebus, udang lipan ini juga enak jika di kukus dengan limau dan letak banyak cili api. Memang anak-anak tak pandai nak makan dengan nasi dan yang paling best meratah begitu sahaja. 

Resipi ini simple sangat tetapi saya kongsikan juga di sini untuk siapa yang ingin mecuba.

UDANG LIPAN KUKUS LIMAU KASTURI
Bahan-bahan:
1 kg udang lipan
3 ulas bawang putih - di cincang
10 tangkai cili padi - di cincang
1 ketul kiub pati ikan bilis
4 biji limau kasturi - perah jusnya
1 sudu besar sos ikan
1/2 sudu besar kicap cair
1/2 sudu besar sos tiram
gula secukup rasa
Daun ketumbar dan daun daun bawang - di potong

Cara:

1. Bersihkan udang dan masukkan kedalam bekas yang sesuai untuk di kukus. Panaskan dulu kukusan. 

2. Masukkan secawan air dan bahan-bahan lain (kecuali udang) kedalam periuk. 

   
3. Renihkan hingga mendidih dan suaikan rasa mengikut selera.  Kuah mestilah secukup rasa iaitu pedas, masam, manis dan masin.

4. Seterusnya tuang kuah kedalam bekas berisi udang dan kukus dalam 5 hingga 10 minit. Air yang keluar ketika proses mengukus ini juga memaniskan lagi udang yang di kukus.


Assalamualaikum, 


Selamat menyambut hari Malaysia untuk semua warga hari ini. Ada yang sedang bercuti dan bagi yang bertugas dalam bidang perkhidmatan khususnya sektor perubatan, perhotelan, pelancongan dan sebagainya lagi...termasuk saya memang bekerja. Di Langkawi hujan lebat, ribut dan sesekali petir melanda di awal pagi tadi. Huhuhu...malangnya modem wifi di rumah saya tersambar petir dan hari ini cuti umum pula. Nampaknya esoklah ke TM untuk dapatkan yang baru. Sengsaranya rasa bila tak dapat ekses internet tapi dari sudut positifnya dapat juga keluar bersantai dengan keluarga dan dah ada rencana untuk makan diluar malam ini.

Perkongsian resipi hari ini memang dah sinonim dan menjadi kegemaran rakyat Malaysia iaitu nasi tomato dan pasangannya ayam masak merah. Sejak kebelakangan ini ada dua tiga entry tentang nasi berperisa je kan. Bukannya apa, ceritanya saya nak habiskan bekalan beras basmathi dan entry tentang nasi agak kurang selama ini. Boleh juga dijadikan rujukan pada yang ingin mencuba.
NASI TOMATO 
Bahan-bahan  
4 cawan beras - dibersih dan ditoskan (Kalau guna beras basmathi rendam selama 20minit dan toskan) 
5 cawan air 
1/2 cawan susu cair
2 sudu besar minyak sapi 
4 sudu besar minyak masak 
5 sudu besar tomato sup - Saya guna jenama kimball 

Bahan untuk menumis
2 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang 
3 biji buah pelaga 
5 cm kulit kayu manis 
1 labu bawang besar - dicincang 
2 biji tomato - di cincang 
2 batang serai - diketuk 
2 ulas bawang putih - di hiris 
3 ulas bawang merah - di hiris
1 inci halia - di hiris nipis
2 helai daun pandan - di simpul
garam secukup rasa

Cara memasak :

1. Cairkan minyak sapi dan minyak masak diatas api yang sederhana dan tumiskan rempah-rempah selama 2 minit. 

2. Seterusnya masukkan bahan yang di hiris dan kacau hingga berbau wangi.
 3. Kecilkan api dan masukkan beras. Kacau rata-rata selama 1 hingga 2 minit.

4. Seterusnya masukkan air, susu cair, tomato sup, simpulan daun pandan dan garam secukup rasa.

5. Pindahkan periuk ke dalam periuk nasi elektrik dan masak seperti biasa.

AYAM MASAK MERAH
Bahan A 
1 ekor ayam - di potong 12
garam dan kunyit secukupnya - untuk menggoreng ayam 
2 batang serai - di ketuk
1 labu bawang besar - di potong bulat  
1 tin kecil kacang peas
1 sudu besar gula melaka

Bahan B - Dikisar
5 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
3cm halia
10 tangkai cili kering - di rebus hingga lembut dan toskan
2 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos tiram

Cara memasak 

1. Gaul ayam bersama garam dan kunyit. Goreng hingga keemasa dan ketepikan seketika.

2. Panaskan minyak di dalam kuali, tumis bahan kisar hingga berbau wangi.
3. Masukkan sos tomato, sos tiram dan gula melaka dan renihkan hingga kuah benar-benar masak. 

4. Perasakan dengan garam dan masukkan ayam yang telah digoreng tadi serta gaul rata. Biarkan kuah sedikit pekat dan masukkan kacang peas serta matikan api dapur.
Assalamualaikum,

Pernah dengar Mee racun yang popular di Batu pahat Johor? Sahabat baik saya masa belajar dulu orang Johor, selalu cerita tentang kesedapan mee racun yang katanya popular disana. Tapi jujurnya saya belum pernah rasa. Walaupun pernah sampai di Batu Pahat tetapi cuma singgah sebentar dan terikat dengan urusan kerja maka tak teringat pula untuk mencari lokasi kedai ini. Memang negeri Johor ni makanannya sedap-sedap belaka dan semuanya kena dengan selera saya sekeluarga. 

Baru-baru ini bila berborak dengan sahabat saya ni terkeluarlah cerita tentang mee racun sekali lagi. Teringin nak rasa jadi saya cuba masak di rumah. Fuh..rupanya memang sedap sangat mee ini. Resipi asal menggunakan tulang kambing tetapi susah nak cari tulang kambing disini, saya gantikan dengan tulang lembu. Rasa manis tulang yang di rebus di campur pula dengan udang dan kuah mee yang pedas dan secukup rasa tu memang membangkitkan selera. Nak tahu macamana sedapnya cubalah resipi ni :)

Bila google ada berbagai versi resipi mee racun tetapi saya cuba masak yang ini kerana bahan-bahannya agak mudah. Mungkin tak sehebat dengan yang di jual tu tapi yang ini pun rasanya dah terangkat dah! 

MEE RACUN 
Resipi asal : Che'iza - MyR
Bahan-bahan ( 5-6 orang )

600 g mee kuning
1/2 kg tulang kambing - saya guna tulang lembu
1/2 inci halia - di ketuk
Beberapa ekor udang
3-4 biji bawang merah dikisar
2-3 ulas bawang putih dikisar
4 sudu besar cili boh
5 sudu besar sos tomato
4 sudu besar sos cili
1 kiub ayam
1 sudu besar gula
sedikit garam
sedikit serbuk lada sulah
2 kelopak kobis (nak letak sawi pun boleh)
sebiji tomato (dipotong baji)

Cara-cara

1. Rebus tulang dengan halia hingga empuk.

2. Dalam kuali, tumis bahan kisar hingga kekuningan dan naik bau.
Masukkan cili boh, tumis hingga garing.
3. Masukkan air rebusan tulang, sos tomato, sos cili biar dan biarkan mendidih.
4. Masukkan udang, tulang, gula, kiub ayam, serbuk lada sulah dan garam secukup rasa, . Masak hingga kuah agak pekat masukkan kobis dan tomato.
5. Celur mee, masukkan kedalam mangkuk. Tuang kuah keatasnya dan tabur daun bawang serta bawang goreng. Sedia untuk dihidangkan.
Assalamualaikum,


Hujan dan mendung sahaja musim sekarang ni. Kalau tak awal pagi selalunya waktu malam memang hujan di Langkawi. Dalam cuaca sejuk begini perut selalu minta diisi dan masakan panas seperti sup memang menjadi pilihan. Sedap kan kalau boleh masak kue teow atau bihun celup sendiri di rumah. Kalau makan kat kedai sudah nak cari yang kena dengan selera. Kalau ada pun saya kurang berkenan dengan sup yang terlajak serbuk perasa atau kuah hitam terlebih kicap. 

Yang mudahnya masak sendiri di rumah. Boleh 'adjust' rasa ikut selera dan anak-anak pun boleh ulang-ulang makan. Susah nak cari resipi kue teow celup yang kena dengan selera, tetapi resipi yang saya cuba masak dari resipi blog DuniaCikguwan ni memang terbaik dan hampir-hampir sama dengan yang kita makan di luar. Saya cuma ubah sedikit cara memasaknya serta bahan-bahan. Terimakasih kepada pemilik asal resipi. Saya kongsikan resipinya sekali lagi disini bagi yang ingin mencubanya.

Jom lihat resipi... :)

KUE TEOW CELUP SEDAP
Bahan untuk supnya :

1/2 kg Tulang yang ada daging  
1/2 kg daging 
1 peket meatball 
4 ulas bawang putih- di ketuk 
4 ulas bawang merah -dimayang 
2 inci halia- di hiris nipis 
4 kuntum bunga cengkih 
1 inci kulit kayu manis 
3 biji buah pelaga
1 kuntum bunga lawang
1 batang celery - saya gantikan dengan batang daun sup
1/2 batang lobak putih- dipotong kasar 
1 batang serai -diketuk 
1 pohon pokok ketumbar -diketuk akarnya 
2 liter air

Perisa sup :  Sos ikan secukupnya, gula somtam, Kicap masin dan garam secukup rasa.
Cara memasak : 

1. Rebus daging dan tulang sehingga empuk. 

2. Panaskan minyak didalam kuali, tumis bawang merah, putih dan halia hingga wangi. Masukkan bunga cengkih, bunga lawang, buah pelaga dan kulit kayu manis dan kacau hingg agak garing.
3. Tuang bahan tumis kedalam periuk merebus daging tadi dan kacau. Masukkan batang pohon sup, akar ketumbar, lobak putih dan serai. 

4. Masak hingga menggelegak dan masukkan perisanya iaitu sos ikan, gula somtam, kicap dan meatball. Dah sedap rasanya boleh tutup api dan sejukkan. Saya masukkan juga garam secukup rasa.
5. Tapiskan supnya masuk dalam periuk lain. Keluarkan tulang, daging dan meatball. Panaskan semula sup sebelum menghidang. Basuh kue teow dan toskan.

6. Hidangkan dengan masukkan kue teow kedalam mangkuk, masukkan daging, tulang, meatball dan bahan sampingan lain seperti taugeh, daun ketumbar, kacang tanah, chili flakes dan limau nipis. Akhir sekali tuang kuah sup yang telah dipanaskan kedalam mangkuk.


Inilah gula somtam dan ada dijual di Langkawi dan negeri-negeri sempadan Thai. Kalau tak ada gula ini boleh juga gantikan dengan gula melaka.
Assalamualaikum, 

Kita dikejutkan dengan kejadian kren tumbang di masjidil haram di percayai berlaku akibat angin kencang dan khabarnya ada Jemaah Haji dari Malaysia yang cedera. Al fatihah untuk semua jemaah haji yang terlibat dan kita di Malaysia pun turut berdukacita dan cemas apalagi ada keluarga dan sahabat handai yang menunaikan ibadah haji musim ini. Kita disini mendoakan semoga semuanya lancar, di beri kesihatan yang baik dan mendapat haji yang mabrur.

Selamat berhari minggu juga untuk pembaca yang sudi masuk ke blog ini. Hari ini baru merasa cuaca panas di Langkawi setelah seminggu hujan turun diawal pagi ataupun lewat petang. Alhamdullilah bila cuaca baik seperti hari ini dapatlah beriadah dengan keluarga kerana hari ahad memang saya bercuti. Tetapi anak-anak tetap ke sekolah sebab di Kedah cuti mingguan adalah pada hari Jumaat dan Sabtu. Sementara menunggu anak-anak pulang dari sekolah selepas sarapan tadi saya ada buatkan agar-agar santan pandan. Habiskan stok daun pandan terakhir yang mula layu di dapur jadi saya buatkan saja agar-agar ini dan simpan didalam peti sejuk. Boleh juga anak-anak ulang makan nanti.

Resipi agar-agar ini mudah sahaja macam kita selalu buat. Cara sukatan air pun memang dah tersedia di pek agar-agar yang dibeli, saya cuma ubahsuai sahaja ikut bahan-bahan yang ada didapur rumah ini. Saya kongsikan juga resipi di blog ini untuk rujukan anak gadis saya dimasa depan dan bagi adik-adik yang mula belajar memasak diluar sana. Jom kita lihat... :)

AGAR-AGAR SANTAN PANDAN 
Bahan-bahan
25gm agar-agar tali (strips)
1500ml air
1 cawan gula pasir
1 cawan air daun pandan (Kisar 3 helai pandan dengan 1 cawan air dan tapis)
1 biji telur gred A
dua ketul gula batu - sebesar ibu jari tangan (pilihan)
1 cawan santan segar
Cara membuatnya:

1. Masak agar-agar dengan air, gula pasir dan gula batu hingga larut.
2. Masukkan air pandan. Jika warna hijau kurang menyerlah boleh juga titiskan sedikit pewarna hijau.
3. Pukul telur dengan santan, kemudian tuang ke dalam periuk agar-agar tadi.
4. Kacau hingga santan dan telur masak (saya gunakan api sederhana) dan bolehlah padamkan api dapur serta tuangkan agar-agar ke dalam loyang.

5. Bila agar-agar dah sejuk, masukkan kedalam peti sejuk sebelum di hidangkan.

# Kegunaan gula batu didalam agar-agar adalah untuk mengelakkan agar-agar dari berair bila dah keras. 
Assalamulaikum, 

Sesuai tak gandingan nasi jagung dan daging masak itam nasi kandar Pulau Pinang? Dengar macam pelik je kan...sebab ada "nasi kandar"sedangkan daging masak itam ni saya padankan dengan nasi jagung. Untuk mengelakkan daripada tajuk yang bunyinya macam skandal cinta tiga segi, saya ringkaskan entry menjadi Nasi Jagung dan Daging Masak Itam Pulau Pinang.  Nasi kandar lain hari pulak kita masak dan masuk entry...hihihi.

Resipi asal daging masak itam nasi kandar Pulau Pinang ni saya cuba dari blog mamak haji. Memang sedap sangat dan sesuai digandingkan dengan apa sahaja jenis nasi minyak. 

Jom kita lihat resipinya :)
NASI JAGUNG
2 cawan beras 
1 cawan jagung dalam tin - Whole kernel
2 cawan air
1 cawan susu cair
mentega + minyak secukupnya untuk menumis

Bahan B - untuk menumis
1/2 labu bawang besar - dicincang 
2 ulas bawang putih - dicincang
1 inci halia - dicincang
1 inci kulit kayu manis
2 biji buah pelaga
2 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang
1 tangkai daun ketumbar, daun pudina dan daun bawang
2 helai daun pandan daun - di simpul

Cara membuatnya:

1) Basuh beras dan toskan.

2) Panaskan periuk dan masukkan mentega serta minyak masak. Tumis rempah (kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga).
3) Masukkan pula halia, bawang putih dan bawang besar. Kacau untuk beberapa minit dan kemudian masukkan beras.
4) Kacau seketika, masukkan pula air, susu cair, garam, jagung, daun ketumbar, daun pudina dan daun bawang.

5) Biarkan beras mendidih,dan tutup periuk. Kecilkan api dapur dan biarkan nasi masak seperti biasa. Boleh juga gunakan periuk nasi elektrik untuk memasaknya.

6) Setelah nasi masak bolehlah di hiaskan dengan kismis atau gajus goreng.


Nota : Jika menggunakan beras Basmathi hendaklah di rendam terlebih dahulu dalam 15 ke 20 minit. (Lebih praktis rendamkan beras yang telah dibasuh dalam 5 ke 7minit kedalam air panas dan toskan segera sebelum memasak - untuk mendapatkan nasi yang berderai)


DAGING MASAK ITAM NASI KANDAR PULAU PINANG
Resipi asal : Mamak Haji 

Bahan-bahan :
1 kg  Daging - dipotong hiris mengikut urat daging jadikan 14 keping
2 labu bawang besar - di hiris memanjang
100gm Rempah kari Daging 
1/2 sudu teh serbuk Jintan Putih
1/2 sudu teh Serbuk Jintan Manis
1 sudu teh Garam Masala
100gm Cili Giling 
4 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
1 sudu besar  gula pasir
7 sudu besar Kicap Pekat Mee (Tamim amat sesuai) atau sesuaikan warna yang dikehendaki
Garam secukup rasa

Bahan untuk kisar / Tumis:
2 biji bawang labu besar dikisar dan asingkan ia digunakan sebagai kuahnya)
2 sudu besar pes halia bawang putih
1 batang serai di ketuk 
2 helai daun pandan di potong 3 inci
2 tangkai daun kari
2 kpg. Kayu manis  + 5 biji buah pelaga + 4 kuntum bunga lawang + 8 kuntum bunga cengkih
2 senduk Minyak masak

Cara Memasak :

1. Bersihkan daging dan rebus daging sehingga empuk  Simpan air daging (stok) ini untuk jadikan kuahnya.

2. Panaskan kuali dan masukan minyak masak. Apabila minyak panas, masukan campuran kayu manis, Buah pelaga, cengkih, bunga lawang , daun pandan,  dan serai. Goreng hingga berbau harum.

3. Masukan hirisan bawang, kacau sehingga warna hirisan bawang bertukar keemasan.Masukan pes halia bawang putih , dikuti dengan bawang kisar. Tumis sehingga bahan-bahan ini keluarkan bau harum.

4. Masukan bahan kisar, cili giling dan kacau rata. Selepas 3-4 minit masukkan air rebusan daging dan daging. Kacau lagi.

5. Masukkan serbuk kari, Jintan Putih, jintan manis , dan kicap pekat mee. Kacau rata dan biarkan mendidih sehingga kuahnya menjadi pekat.

6. Kecilkan api dan  masukan 1 sudu besar gula pasir. Masukan garam secukup rasa (awas dengan kemasinan kicap tersedia ada). kacau rata. padamkan api. Keluarkan dari kuali dan hidangkan. Taburkan daun pudina dan bawang goreng di atas dan sedia untuk hidangan. 
Assalamulaikum,

Apa perasaan kita ketika tak ada di rumah, orang asing yang tak dikenali menceroboh masuk dan ambil barangan kesayangan kita tanpa izin walaupun sebelum meninggalkan rumah aspek keselamatan telah diambil dan pintu juga telah dikunci. Mesti sedih dan kecewa, kan.

Begitu juga halnya dengan blog kesayangan ni. Tujuan asal saya wujudkan blog ini adalah untuk memberi tunjuk ajar kepada orang yang ingin belajar atau berniaga kecil-kecilan dengan resipi yang saya kongsi. Sebab itu saya sertakan langkah demi langkah untuk memudahkan lagi pemahaman. Seronok dapat feedback dari pembaca bila resipi dan ilmu tak seberapa yang dikongsikan memberi manafaat dan apa yang dimasak menjadi.

Gambar dari Google

Tapi  semenjak kebelakangan ini banyak page-page resipi yang wujud bagai cendawan lepas hujan di facebook tanpa segan silu copypaste gambar yang ada dalam blog ini dan share di page masing-masing. Bukan satu dua gambar malah ada yang ambil 100% gambar-gambar dari blog saya tanpa minta izin dan tanpa bagi link. Pemilik page ini juga menjalankan perniagaan. Semalam jumpa dua page tapi Admin dah padamkan gambar-gambar tu, hari ini jumpa 3 page lagi yang melakukan hal yang sama. Sebelum ini juga ada yang klon blog ini dan ceritanya saya kongsikan DISINI minggu lepas. Alamak tanpa saya sedari...blog ini dah jadi tempat orang cari makan atas angin rupanya.

Ilmu yang sedikit ini memang tak kemana kalau disimpan sendiri...dan ada yang kata redha dan ikhlaslah kerana itu saham akhirat. Saya memang ikhlas tetapi perkongsian hanya di blog ini, tempat saya "cari makan" dan ianya PERCUMA. Kalau saya tak ikhlas tak adalah di sertakan gambar dan cara memasak langkah demi langkah. Gambar itu saya ambil sendiri sambil memasak. Memang mencabar kerana saya juga ada kerjaya lain dan keluarga yang perlu diuruskan bukan blogger sepenuh masa. Tetapi saya buat kerana minat dan niat untuk mengajar. 

Saya juga tak melarang sesiapa yang share link entry dari facebook saya ke blog ini. Yang saya kesalkan siap wujudkan page sendiri dan gigih copy paste semua gambar-gambar disini walaupun saya setting kepada 'disable copy' dan tanpa meminta izin terlebih dahulu. 

Hmm entahlah, isu plagiat gambar-gambar di blog masakan ni memang masalah lama yang sentiasa berulang-ulang. Bukan sahaja blogger masakan, blogger-blogger lain pun pernah menulis tentang isu ini. Letih sebenarnya nak layan benda yang berulang-ulang macam ni. Dulu saya selalu terbaca luahan rasa kecewa Cik Mat Gebu, tentang kes-kes plagiat di blog beliau...sekarang blog picisan yang setahun jagung macam saya ni pula menjadi mangsa, memang sakit hati.

Kepada pengunjung blog ini saya nak sampaikan pesanan, silalah cuba segala resipi yang ada di dalam ini. Nak print pun boleh. Yang DILARANG KERAS adalah mengambil keluar gambar-gambar masakan di blog ini tanpa persetujuan saya, apalagi untuk tujuan perniagaan. Cubalah beretika didalam mengendali media sosial dan hormati karya para blogger.

Assalamualaikum, 

Oreo Butter Cake ini memang kesukaan anak-anak. Belum sempat kek sejuk sepenuhnya dah berebut nak merasa...jadi saya benarkanlah si kakak potong kek ni untuk adik-adik dan sudahnya tinggal separuh dan 'slice' kecil untuk saya shoot. Jadilah kan...boleh di kongsikan pula resipi nya dalam blog ini. 

Terima kasih kak Fida, tuan punya resipi asal. Memang sedap kek ini dan bahan-bahannya pun mudah. Jom kita tengkok langkah demi langkah yang di sertakan di sini.  
OREO BUTTER CAKE
Resipi asal : Kak fida - MyR

Bahan-bahan ( loyang 8 in /20cm )
200gm mentega
200gm gula kastor/halus
4 biji telur - Gred A
200gm tepung naik sendiri*
1 sudu besar serbuk koko* (Bahan * diayak bersama)
8 keping biskut Oreo - dicincang kasar bersama krimnya sekali
3 keping biskut Oreo - juga dicincang kasar untuk tabur
1 sudu kecil esen vanilla

Cara-cara :

1. Panaskan oven pada suhu 175C.Loyang dialas dan digris.

2. Pukul mentega,gula dan esen hingga berkrim.Masukkan telur satu persatu dan terus pukul hingga adunan kembang.

3. Masukkan 8 keping biskut oreo dan gaul rata.
4. Masukkan pula campuran tepung dan kaup balikkan adunan hingga sebati.
5. Tuang dan ratakan adunan ke dalam loyang yang telah disediakan dan taburkan biskut Oreo (3 keping) di atas permukaannya.



6. Bakar selama 45 min atau hingga masak dan sejukkan kek di atas redai sebelum dipotong dan dihidangkan.
Assalamualaikum, 

Menu nasi lagi hari ni. Sebenarnya masih ada beberapa resipi yang di masak pada bulan syawal tersimpan di dalam 'file' oleh kerana tuan punya blog kurang mood untuk berblogging sejak kebelakangan ini. 

Agak sentap juga sebenarnya apabila melihat gambar blog yang sewenang-wenangnya di 'copy paste' oleh blogger yang tidak bertanggung jawab untuk menarik pengunjung like ke page mereka. Contohnya blog semuanyaresepi.blogspot.com yang sebelum ini copy 98% isi entry beserta gambar-gambar di blog ini tanpa persetujuan saya, seakan-akan di klon tetapi sekarang sudah tidak mengaktifkan blog tersebut selepas terkantoi. Ironinya sebelum ini blog tersebut ada 3 pengiklan dan di paut juga ke satu page untuk menarik ramai follower dan like. Bila dah banyak follower, page tersebut di niagakan pula kepada orang lain.

Tak baiklah ambil kesempatan dan kerja mudah kan. Orang nak jadi blogger awak pun nak. Tapi 'copy paste' hasil titik peluh orang lain untuk cari duit. Halal dan berkat ke rezeki yang awak dapat tu? Saya ni memang tak suka cari pasal dan membebel, tapi siapa yang boleh sabar kalau berdepan dengan situasi begini? 

Hmm...entahlah. Daripada terus bercakap tentang orang yang tak ada etika ini, ada baiknya kita layan entry hari ni. Sebenarnya saya masak nasi ni selepas raya hari tu, tapi baru hari ni masukkan ke blog. Jom tengok resipi nasi daging dengan air asam. Saya gandingkan juga dengan acar timun mentah...sedap tau.

NASI DAGING
Bahan-bahan 
4 cawan beras basmathi - di rendam selama 10minit dan toskan
1/2 kilogram daging
4 cawan air rebusan daging
1 bungkus rempah sup bunjut Adabi
1 sudu besar rempah kurma
1 cawan susu cair
1/2 cawan tomato sup - saya guna jenama kimball
garam secukup rasa
2 helai daun pandan - di simpul
Kismis, bawang goreng dan kacang gajus - untuk hiasan (pilihan)

Bahan B - Untuk menumis
1 inci halia - di hiris nipis
1 inci kulit kayu manis
2 biji buah pelaga
Sedikit mentega/ minyak sapi

Cara-cara

1. Rebus daging bersama rempah sup bunjut Adabi, rempah kurma dan sedikit garam. Pastikan daging empuk. Simpan air rebusan daging untuk masak nasinya.

2. Basuh beras dan toskan.

3. Tumis halia, kulit kayu manis dan buah pelaga didalam periuk nasi hingga naik bau.Masukkan beras dan kacau sekejap. Masukkan air rebusan daging. Boleh juga masukkan daging kedalam periuk ketika menanak nasi. 
4. Bila beras sudah agak kembang, masukkan tomato sup, daun pandan dan susu cair. Kacau dan biarkan nasi masak.
5. Hidangkan Nasi daging dengan air asam dan hirisan daging yang telah direbus tadi. Saya gandingkan juga dengan acar nenas mentah sebagai pembuka selera.

AIR ASAM BERKERISIK
Bahan A - Di tumbuk lumat
2 tangkai cili merah
10 tangkai cili api
1/2 inci belacan - di bakar 

Bahan B
1 sudu teh garam
2 sudu teh gula
2 biji tomato - dibelah dua dan dihiris nipis
1 labu bawang besar - dibelah dua dan dihiris nipis
1 sudu besar kerisik
1 biji cili merah - dihiris bulat nipis
2 biji limau kasturi 
2 sudu makan asam jawa + 1 cawan air masak - ramas dan asingkan bijinya

Cara-caranya:

1. Tumbuk semua bahan A hingga lumat.

2. Masukkan cili merah hiris, tomato, bawang besar dan tumbuk lagi sekadar bercampur dengan bahan A tadi.

3. Seterusnya masukkan kerisik ke dalam air asam.Kacau rata.

4. Akhir sekali perahkan limau kasturi dan masukkan juga kulitnya yang sudah dihiris.