Assalamualaikum,

Suka makan durian? Kebanyakan orang suka dengan raja buah yang satu ini namun ada juga yang tidak menyenangi baunya. Dalam rumah saya pun sama, anak yang sulung tidak tahan dan mula pening-pening bila durian di bawa pulang ke rumah. Tapi ahli keluarga yang lain tak ada masalah dan sangat menikmati buah ini walau bagaimana pun ianya di sajikan. Oleh kerana majoriti menyenangi buah durian dan tak sabar-sabar lagi untuk mengopeknya sebaik saja di beli, saya ambil keputusan untuk mengukus pulut dan gandingkan bersama santan serta isi durian yang lemak dan manis.

Sebelum ini memang ada entri tentang pulut durian dalam blog ini, tapi saya tanak pulutnya dengan menggunakan periuk nasi elektrik. Kali ini saya kukus sahaja dan tak mengambil masa yang panjang. Tak perlu rendam dahulu beras pulut itu dan pulut juga tidak berkerak. Nak tau caranya?...pasti ramai dah tau kan. Tapi saya kongsikan sekali lagi untuk yang baru-baru nak belajar.

Jom kita lihat...:)
PULUT DURIAN - VERSI KUKUS
Bahan-bahan

1/2kg beras pulut
Air - sukatan lebih sedikit sahaja dari beras pulut 
Garam  
gula pasir
200ml santan (boleh juga gunakan santan kotak)
1 helai daun pandan

Cara menyediakannya:

1. Basuh beras pulut dan masukkan ke dalam bekas atau loyang untuk proses mengukus.
2. Letak loyang ke dalam pengukus, masukkan air paras lebih sedikit dari beras pulut, dan kukuslah sehingga 15 ke 20 minit.

3. Setelah itu buka pengukus, kacau-kacau pulut tadi dan kukus semula selama lebih kurang 5 minit.
4. Buka tudung pengukus tadi, kacau sekali lagi dan pulut sedia untuk di hidangkan.

Cara penyediaan santan:

1. Masukkan santan dan sedikit air (agak-agak tidak terlalu pekat) ke dalam periuk dan masukkan secubit garam(sedikit sahaja sekadar menimbulkan rasa lemak).
2. Masukkan pula daun pandan yang di simpul dan masaklah hingga santan mendidih, tapi jangan sampai pecah minyak.

3. Matikan api dapur dan hidangkan bersama pulut durian.

Cara menghidang pulut durian : Masukkan pulut dan isi durian kedalam pinggan, tabur sedikit gula pasir dan siram dengan santan yang di masak tadi.



Assalamualaikum,

Bagi saya kek Kukus Oreo Cappucino putih telur yang resepinya saya ambil dari blog kak wan @ citarasawan ni sungguh menarik sekali kerana ianya tidak menggunakan sebarang mentega atau minyak. Apalagi anak-anak begitu menggemari biskut oreo, tentu dah tak sabar mereka nak rasa.

Hmm..sebelum tu ada teman-teman bertanya, waktu mana saya curi masa untuk masak dan update blog hampir setiap hari, sedangkan kerjaya saya sentiasa sibuk sepanjang cuti sekolah berurusan dengan pelancong yang masuk ke Langkawi. Tiap hari pula masuk awal pagi ke pejabat dan pulang lewat petang atau kadang-kadang malam baru sampai ke rumah. Jujurnya, bagi saya memasak adalah terapi minda yang sungguh berkesan. Saya benar-benar menikmati, 'release tension' dan mendapat kepuasan jika masakan menjadi dan di sukai oleh keluarga dan teman-teman.

Dalam kehidupan ini kita perlu mencari kekuatan dari hobi atau apa yang kita sukai sebagai terapi minda di dalam mengharungi kehidupan yang serba kompleks setiap hari.

Baiklah...:), membebel pula saya pagi ni ye. Jomlah langsung kita lihat resepi.
KEK KUKUS OREO CAPPUCINO PUTIH TELUR
Sumber : Citarasawan
Bahan-bahan
400ml telur putih
125gm gula kaster 
2 sudu teh ovalete
1/2 sudu teh garam 
200gm tepung gandum
30gm tepung jagung
1/2 sudu teh baking powder
150ml susu cair 
2 sudu besar cappucino emulco/coffee emulco/mocca emulco
1/2 sudu teh esen vanila
80gm serbuk oreo - (saya hancurkan kasar-kasar)
20 keping biskut oreo di buang krim

Hiasan : 30gm chocolate rice untuk taburan

Loyang 9 x 6 x 3 di alas dasarnya atau loyang 8 x 8"

Cara-cara :

1.  Ayak tepung, tepung jagung dan baking powder.  Ketepikan.

2.  Pukul putih telur, garam dan ovalete hingga berbuih, masukkan gula kaster dan pukul dengan kelajuan tinggi hingga kembang dan pekat.
3.  Perlahankan mixer, masukkan tepung sedikit demi sedikit berselang seli dengan susu cair dan cappucino emulco.  
4.  Kaup balikkan adunan hingga sebati.  Bahagikan kepada 2 bahagian.  Satu bahagian asal dan satu bahagian lagi di campur dengan serbuk oreo.
5.  Tuang adunan asal ke dalam loyang dan kukus selama 15minit dalam pengukus yang telah di panaskan terlebih dahulu.
6.  Setelah masak, susun biskut oreo hingga penuh dan tuang adunan serbuk oreo ke atasnya.
7.  Tabur permukaannya dengan coklat rice hingga rata.

8.  Kukus semula selama 25 minit hingga masak.

*** Lap tutup pengukus apabila mengangkat penutupnya untuk mengelak air dari menitis ke atas kek.


Assalamualaikum,

Bagi penggemar kuih bingka, pelbagai resepi bingka boleh di pelbagaikan mengikut selera. Bingka cheese Sarawak ini adalah sejenis bingka yang di modenkan dengan mencampur krim keju di dalam adunan dan yang menarik adalah kita tidak berasa muak ketika menikmatinya. Cara penyediaan juga agak berbeza dari bingka-bingka tradisi yang lain dan suatu yang pasti, ianya sungguh lazat.

Resepinya saya ambil dari blog Ha Sue. Pernah buat sekali dulu ketika bingka ini menjadi fenomena dan agak popular tapi waktu tu saya masih belum ada blog untuk di kongsikan. Semalam saya buat lagi dan hari ni bolehlah berkongsi resepinya di sini dengan pembaca semua. Untuk Ha Sue, izinkan saya masukkan resepi di sini, sekali lagi :).
BINGKA CHEESE SARAWAK

Bahan A
13gm agar-agar serbuk - saya guna cap bintang
3 cawan air
1 cawan gula pasir

Bahan B
250g mentega
250gm cream cheese Philadelphia (saya guna jenama Tatura)
½ tin susu pekat manis(jika ingin kurang manis,guna krimmer pekat pun boleh)
1 ½ cawan tepung hong kong
3 biji telur - Gred A
1 sudu kecil esen vanilla/jus lemon
Cara menyediakannya:

1. Bahan A dimasak sehingga mendidih dan ketepikan buat seketika.

2. Pukul telur ayam sehingga kembang.
3. Masukkan mentega dan susu pekat manis. Pukul rata

4. Masukkan tepung hong kong,cream cheese,esen vanila dan pukul sehingga benar-benar sebati.
5. Masukkan agar-agar (yang masih panas) sambil dipukul dengan laju.
6. Tapis adunan ke dalam loyang dan bakar didalam oven yg sudah dipanaskan pada suhu 175'c selama satu jam atau sehingga masak (bergantung pada jenis oven).

Assalamualaikum,

Suka makan Cream puff? Apa kata cuba membuatnya sendiri di rumah. Prosesnya tidaklah sesulit yang di bayangkan. 

Yang paling saya suka adalah cream puff jagung. Kalau dah buat sendiri tu bolehlah letakkan banyak inti mengikut kesukaan.Bagi yang ingin cuba membuatnya di rumah, saya sertakan resepinya disini. Jom intai... ;)
Cream Puff Jagung 
Resepi asal : Zaliana - MYr 
Sumber : Dapurmamasya 

Bahan-bahan (untuk 28 biji cream puff) 
125 gm tepung naik sendiri @ tepung gandum + 2 sudu teh baking powder 
100 gm butter 
250 ml air 
1/2 sudu teh gula 
3 biji telur (saya guna telur gred B)

Bahan-bahan untuk inti jagung 
1 cawan air 
1/2 cawan susu cair 
1 cawan jagung dalam tin (jenis Cream)
1/2 cawan tepung kastad 
5 sudu besar gula (jika suka manis boleh lebihkan sedikit)

Cara-cara 

Cara-cara untuk puff 
1. Panaskan air,gula dan butter dalam periuk sampai mendidih. Masukkan tepung,kacau hingga adunan tak melekat pada periuk.Sejukkan. 
2.Pukul telur satu persatu ke dalam adunan dengan mixer 
3. Masukkan adunan ke dalam piping bag.Pipe menggunakan nozzle bentuk bintang.

4. Spray air ke atas doh untuk membantu adunan naik. Bakar selama 25-30minit )180'C ,setkan api atas dan bawah.Jangan risau kalau cream puff anda leper seperti gambar di bawah kerana ia akan mengembang sebaik sahaja di bakar.
 5. Bila cream puff telah masak dan di sejukkan, Gunting sedikit bahagian tepi puff dan pipe kan inti jagung 
Cara-cara untuk inti 
1. Kacau tepung kastad dan air.Masukkan ke dalam periuk bersama susu cair dan gula.Kacau hingga naik wap 
2.Masukkan jagung dalam tin dan kacau sebentar hingga masak.Biarkan sejuk sebelum di masukkan ke dalam puff .


Assalamualaikum,

Sarapan pagi yang enak atas permintaan anak-anak yang begitu gemarkan coklat adalah chocolate chocolate muffin. Hmm...dari namanya yang di ulang "Chocolate chocolate" pun rasanya dah tau muffin yang satu ini mewah dengan coklat iaitu hasil kombinasi serbuk koko serta coklat chips dan ini benar-benar membuka selera terutama sekali bagi penggemar coklat.

Boleh di cuba resepi ini untuk hidangkan kepada anak-anak anda yang menghabiskan masa di rumah sepanjang cuti sekolah ini.  

Jom kita lihat resepinya... :)

CHOCOLATE CHOCOLATE MUFFIN
Sumber : culinaryarts.about
2 cawan tepung gandum 
¾ cawan serbuk koko
¾ cawan gula pasir (saya guna gula kastor)
1 sudu makan serbuk penaik
½ sudu kecil garam
1 ¼ cawan susu segar
2 biji telur gred A - dipukul
2 sudu makan mentega - di cairkan
1/ 3 cawan minyak sayuran
1 sudu teh esen vanilla
1 cawan coklat chips dan 1 /3 cawan cip coklat tambahan untuk di taburkan di atas muffin

penyediaan:

1. Panaskan oven kepada 180'c.

2. Campurkan tepung , serbuk koko , baking powder , gula dan garam di dalam mangkuk besar.
3. Di dalam bekas yang lain, campurkan susu dan mentega cair . Kemudian tambah minyak , dan akhirnya pukul bersama telur dan esen vanila.
4. Griskan acuan muffin (muffin pan) dengan minyak atau boleh juga gunakan acuan kertas.
5. Campurkan bahan-bahan cecair dengan yang kering dan kacau sekadar adunan bercampur tidak lebih daripada sepuluh saat dan jangan terlebih kacau, jika tidak muffin akan menjadi keras.
6. Perlahan-lahan masukkan 1 cawan coklat chips ke dalam adunan dan kaup balik serta sudukan kedalam acuan muffin.

9. Taburkan baki coklat chips ke atas muffin dan bakar dalam 18-20 minit atau sehingga masak.
Assalamualaikum,

Selamat berhari minggu untuk pembaca yang sudi singgah di sini. Sarapan apa hari ni? Kalau saya, Alhamdulillah hari ni sempat sediakan bingka telur untuk keluarga. Sedap bingka ni, apalagi saya kisar daun pandan dan masukkan kedalam adunannya. Kalau letak esen pandan, rasanya kurang asli seperti yang ibu buatkan ketika saya masih kecil.

Bagi saya bau pandan yang harum semerbak ketika kuih ini di bakar menyedapkan lagi rasa bingka ini. Mau lihat resepinya? Jom... 
BINGKA TELUR
Resepi asal : Joayee Myr
Sumber : Syapex Kitchen

Bahan-bahan [ 1/2 adunan loyang 8x8 ]
3 biji telur
1 cawan air daun pandan (saya kisar 4 helai daun pandan dengan air dan tapis)
400ml santan pekat
1 1/2 cawan tepung gandum
1 cawan gula [Jika suka kurang manis guna 1/2 cawan]
1/2 sudu teh garam
2 sudu besar mentega - cairkan
Boleh juga tambahkan sedikit pewarna hijau (untuk warna yang ceria)

Cara-cara:

1. Kisar 1 cawan air dengan 4 helai daun pandan dan tapis. Ketepikan pati daun pandan tersebut seketika.
2. Masukkan semua bahan-bahan lain termasuk air pati daun pandan ke dalam 'blender' dan kisar semua bahan hingga tepung tak berketul-ketul.

3. Lengserkan 1/2 sudu besar minyak kedalam loyang dan masukkan sebentar kedalam oven. 
4. Bila loyang sudah panas, tuang adunan tadi dan bakar pada suhu 150'c selama 1 jam atau sehingga masak.

Assalamualaikum,

Masakan yang ringkas sesuai untuk  malam minggu ini adalah ayam masak lada hitam. Mudah sahaja resepinya, hanya goreng dan campurkan semua..dah siap.

Jom kita lihat resepi...maaflah tidak dapat mengomel panjang kerana ada kerja kursus yang saya hadiri sebelum ini belum di siapkan mengikut jadual. Cadangnya malam ini nak tengok-tengok apa yang patut.Kepada yang ingin mencuba di persilakan salin resepinya, InsyaAllah sedap :)
AYAM MASAK LADA HITAM 
300gm isi ayam - di potong kecil
1 labu bawang besar hiris
4 tangkai cili kering - di potong kasar
2 sudu besar kicap (saya gunakan cap kipas udang)
2 ulas bawang putih di cincang
1 sudu besar lada hitam - di tumbuk
1/2 inci halia - di mayang halus
sedikit gula dan garam untuk mengimbangkan rasa
1 sudu besar sos tiram
2 sudu besar minyak masak

1. Perap ayam seketika (dalam 5 minit) dengan garam dan serbuk kunyit.

 
2. Dalam sebuah bekas, campurkan sos tiram, kicap, lada hitam,gula dan garam.

3. Panaskan kuali dan goreng ayam hingga bertukar warna, masukkan cili kering, halia  dan bawang putih. Terus masak beberapa minit lagi. Masukkan pula sos yang dibancuh tadi.

4. Masukkan air jika perlu. terus masak lagi 1 minit lagi dan matikan api dapur. Hidang dengan nasi panas.
Assalamualaikum,

Hari ni sibuk benar seharian di pejabat. Ikutkan hati malas nak masak untuk makan malam, tetapi jemu pula makan di luar. Bila tiba musim sibuk cuti sekolah begini, selalunya saya kesuntukan masa dan makan di luar jadi pilihan. Dah tak tau nak atur kedai makan yang mana, jadi saya ambil keputusan masak yang ringkas sahaja. Kebetulan ada bekalan ikan kembung yang masih segar, saya kukus dan gandingkan dengan air asam. Cuma menu ringkas orang kampung...dan jika di utara ni orang panggil ikan lengat air asam. Lengat tu maksudnya kukus.

Jom kita tengok, mungkin pembaca pernah makan.
IKAN LENGAT AIR ASAM 
5 ekor ikan kembung yang segar 
2 keping asam gelugur 
1 labu bawang besar - di cincang dadu
1 biji tomato - di cincang dadu
5 biji cili padi - di hiris
1/2 inci belacan - di bakar terlebih dahulu 
1/2 cawan air suam - di ramas dengan sedikit asam jawa
garam dan gula secukup rasa
limau nipis  
Cara menyediakannya:

1. Bersihkan ikan dan lumur dengan sedikit garam, masukkan juga asam gelugur. kukus dalam 5 minit. 
2. Sementara itu potong nipis cili padi dan campurkan dengan bawang besar dan tomato. Ramaskan belacan yang di bakar dengan air asam jawa, garam dan gula. Satukan semuanya dan perahkan sedikit limau nipis.
3. Setelah ikan masak, masukkan kedalam pinggan dan siramkan dengan air asam(kuah) tadi.

4. Sedap hidangkan dengan nasi panas.

Assalamualaikum,

Sepanjang cuti persekolahan ini saya manafaatkan sepenuhnya dengan anak-anak di rumah sebaik pulang dari kerja. Yang paling menyeronokkan adalah apabila berkongsi hobi memasak dengan anak gadis saya.

Puding karamel adalah antara pencuci mulut yang menjadi kegemarannya. Tak sah jika di bulan ramadhan berbuka puasa tanpa puding yang satu ini. Ada berbagai versi pula puding karamel ni, dan kali ini saya ajak anak gadis saya mencuba resepi hasil perkongsian dari teman FB yang tidak lokek berkongsi tips masakan dan resepi iaitu Lina Zubir. Terima kasih Lina, untuk resepi yang 'marvelous' ni. Izinkan saya berkongsi resepi di sini pula untuk rujukan di masa depan.

Resepi ini untuk satu adunan (Kalau nak tebal macam gambar kat atas tu, sila gandakan kepada dua adunan)

Sumber : Lina Zubir (Teman FB)
Bahan-bahan (untuk loyang 8")
5 sudu besar gula pasir 
(Sebatikan dengan 'hand whisk')
1 tin susu cair
4 sudu makan susu pekat
4 biji telur gred A
1 sudu teh tepung kastad
1 sudu teh esen vanilla
Cara membuatnya:

1. Hanguskan gula tadi di dalam loyang dengan api yang kecil hingga keperang-perangan, matikan api dan ketepikan seketika.
2. Tapis bahan yang di sebatikan dengan 'hand whisk' tadi kedalam loyang berisi gula hangus.
3. Bakar pada suhu 160'c menggunakan kaedah 'steam bath' selama 1 jam.
4. Sejukkan terlebih dahulu barulah di telangkupkan kedalam pinggan untuk di hidangkan.

# Untuk yang baru belajar, kaedah 'steam bath' adalah memasukkan loyang berisi adunan kedalam bekas berisi air dan di bakar di dalam oven mengikut suhu yang di kehendaki hingga masak.

Assalamualaikum,

Wah..wah...wahh...rasanya dah lama sangat blog ni terbiar semenjak cuti sekolah bermula. Selain dari sibuk menguruskan kemasukan tempahan dari agensi pelancongan yang masuk ke Langkawi, saya juga menyepi seketika kerana menghadiri kursus selama tiga hari di Alor Setar. Memang hasrat hati ingin sangat nak update apa yang patut tapi apakan daya line internet di hotel benar-benar tenat. Asyik 'loading' memanjang. 

Hari ini dah kembali ke rumah, bolehlah kongsikan resepi yang mudah-mudah. Masakan biasa yang budak-budak pun boleh buat, iaitu sup petola dengan fucuk. Jomlah kita lihat...bagi anak-anak gadis yang sedang bercuti sekolah sekarang ni, bolehlah cuba masak untuk keluarga sekali-sekala, mesti ibu lebih sayang :)
SUP PETOLA DENGAN SET FUCUK 
BAHAN-BAHAN
2 biji sayur petola - di buang kulit luar dan potong menyerong
3 ulas bawang merah - di hiris nipis 
2 ulas bawang putih - di hiris nipis
1 tangkai cili merah - Di hiris nipis
50gm udang (saya gunakan udang kecil) 
sebiji telur 
1 kiub ikan bilis 
sedikit lada sulah
Set Fucuk (Di bungkus bersama cendawan, kincam dan su'un) 
Garam secukup rasa
3 sudu besar minyak masak
Air secukupnya
Cara memasak:

1.  Tuang minyak kedalam periuk, tumis bawang putih dan bawang merah hingga wangi. Masukkan juga udang dan kacau sebentar.

2. Masukkan air kedalam periuk dan pecahkan telur. Biarkan telur masak sedikit, masukkan pula set fucuk dan cili merah, masak hingga lembut sedikit. Jangan terlebih kacau, nanti telur pecah.
3. Akhir sekali masukkan sayur petola, kiub ikan bilis, garam dan lada sulah. Renihkan hingga masak dan sedia untuk di hidangkan.