Assalamualaikum. 

Anda biasa sarapan dengan oats? Selalunya orang melayu ni jarang bersarapan dengan oats tapi kalau dah lekat penyakit kolestrol tinggi mulalah belajar mengambil oats dalam hidangan harian, terutama sarapan pagi. Hee...hee...bunyinya seperti pengalaman diri saya sendiri je :). Sebenarnya oats amat baik untuk kesihatan jantung  dan pengawal kadar kolestrol dalam darah, tapi sesetengah orang amat payah untuk makan oats kerana rasanya yang agak berserat.

Selain dari di makan dengan mencampurkan susu dan buah-buahan terutamanya pisang dan  di buat biskut, oats juga boleh di pelbagaikan dalam hidangan dan saya ada mencuba membuat inti dadar dengan oats untuk di hidangkan sebagai sarapan pagi

Jom kita lihat resepinya :)

DADAR JAGUNG OATS 
Bahan Dadar:
150 gram tepung gandum 
3/4 sudu teh garam 
400 ml susu cair 
1 butir telur 
1 sudu teh serbuk koko 

Bahan:
75 gram oats segera 
350 ml susu cair 
60 gram gula pasir 
1/4 sudu teh garam 
30gm jagung cream - dalam tin
4 sudu makan serbuk koko

Cara membuat :

1. Dadar: Campurkan tepung gandum, garam, susu cair, dan telur. Ambil 1/4 dari adunan campurkan dengan . Kacau rata. Masukkan dalam plastik segitiga.

2. Picit adunan coklat ke atas kuali leper dan tuangkan adunan putih dan angkat selepas masak.



3. Inti : Masak oats, susu cair, serbuk koko, dan garam sampai pekat.Tambahkan jagung krim. Kacau rata.


4. Ambil satu keping dadar. letakkan inti. Lipat kanan dan kiri. Gulung.





Assalamualaikum & selamat pagi,

Pagi ini saya masak hidangan barat iaitu pai tuna untuk minggu cook along bersama teman-teman maya di group masakan CAT di FB. Jujurnya inilah buat pertama kali saya mencuba masak pai, dan risau juga jika kulitnya tidak menjadi. Berbagai versi resepi kulit pai saya lihat di buku masakan ataupun internet tetapi ternyata yang telah saya cuba buat ini, ranggup selepas di bakar dan senang untuk di bentuk. Yang lebih penting lagi adunan tersebut tidak perlu di masukkan ke dalam peti sejuk terlebih dahulu sebelum di bentuk ke dalam acuan pai. 

Baiklah jom kita lihat resepi pai tuna dan jika ada masa cubalah membuatnya, bahan-bahan nya juga tidak banyak dan mudah di dapati... :)

PAI TUNA

Sumber : Buku Hidangan berkeju (Noraini Zakaria)
BAHAN PASTRI
450gm tepung gandum
250gm mentega
1 biji telur gred B
2 sudu besar air
2 sudu besar gula
½ sudu teh garam halus

INTI TUNA
1 tin kepingan tuna – tuna flakes (di lecek)
100gm keju cheddar
1 biji cili benggala – di cincang 
1 biji bawang besar - di cincang 
5 biji cendawan butang – di hiris
100ml susu segar
1 biji telur gred B
1 sudu besar tepung jagung 
Garam dan serbuk lada sulah 


CARA MEMBUAT:
1. PASTRI : Satukan mentega, gula dan garam. Putar hingga kembang, masukkan telur dan air. Putar lagi hingga sebati. Akhir sekali masukkan tepung gandum. Putar kelajuan perlahan hingga menjadi doh.



2. Canai doh dan letakkan kedalam acuan pai dan bakar pada suhu 180’c selama 20 minit. Sebelum di bakar, cucukkan doh dengan garfu untuk mengelakkan dari menggelembung.


3. INTI : Ratakan ikan tuna pada kulit pastry.

4. Taburkan cili benggala, keju cheddar, cendawan butang dan bawang besar. Ketepikan. Satukan susu, tepung jagung, garam, lada sulah dan telur dalam sebuah bekas. Kacau rata dan tuangkan atas inti tadi. Bakar pai ini pada suhu 180’c selama 20 minit lagi hingga keperangan.







Assalamualaikum.

Bertemu lagi kita di pagi hari Sabtu. Semoga semuanya sihat dan bakal menempuh perjalanan hari dengan lancar dan ceria hari ini. Bagi saya, hari ini akan kembali masuk ke pejabat setelah seminggu bercuti dan bersama-sama keluarga di rumah. Pagi ini saya bangun awal dari kebiasaan kerana menyediakan sarapan pagi untuk anak-anak yang akan di tinggalkan iaitu nasi goreng sardin. Lauk utama nasi goreng ini adalah isi ikan sardin dalam tin dan sosej ayam. Manakala untuk melengkapkan hidangan, saya goreng sedikit keropok ikan kerana anak-anak amat sukakan sesuatu yang ranggup begitu untuk di padankan dengan nasi goreng.

Baiklah, saya sertakan resepi di sini untuk sesiapa yang ingin mencuba. Rasanya kebanyakan orang sudah tau resepinya kerana ianya sama juga seperti nasi goreng yang lain tapi saya berkongsi juga di sini untuk rujukan terutamanya anak saya dan adik-adik yang baru belajar memasak. :)

NASI GORENG SARDIN
Bahan-bahan
250gm nasi putih
2 ketul ikan sardin dalam tin
2 sudu ikan bilis goreng di tumbuk
3 biji cili padi - di hiris (boleh juga di gunakan 1 tangkai cili merah)
2 ulas bawang merah - di hiris
1 ulas bawang putih - di hiris
2 tangkai kacang panjang - di potong halus 
sedikit kobis bulat - di racik halus (pilihan - jika tak letak pun tak mengapa)
1 biji telur
2 batang sosej 
sos ikan secukupnya
garam secukup rasa


Cara membuat:

1. Tumis bawang putih, bawang merah dan cili padi di ikuti oleh sardin yang di lecek terlebih dahulu dan sosej. Kacau hingga garing.

2. Masukkan juga kacang panjang, kobis dan telur serta kacau hingga masak.



3. Kemudian masukkan nasi putih,ikan bilis dan sos ikan. Gaul hingga sebati dan goreng selama kira-kira lima minit, perasakan dengan garam dan sedia untuk di hidangkan.

Assalamualaikum,

Salam hari jumaat. Bagaimana cuaca di tempat anda hari ni? Di Langkawi sehari dua ini panas terik, angin bertiup kencang dan suhu mencapai hingga 33'C, tapi waktu malam menjelang pagi pula bertukar menjadi sejuk. Dalam cuaca begini, selalunya mudah terasa dahaga dan ingin minuman yang sejuk dan segar.

Pengambilan buah-buahan juga elok di amalkan untuk menghilangkan rasa dahaga dan menggantikan air yang keluar melalui peluh. Oleh kerana cuaca panas terik juga saya hanya mengizinkan anak-anak ke pantai pada waktu pagi atau selepas jam 5petang sahaja. Baiklah  sesuai dengan cuaca yang panas ini apa kata kita mencuba minuman punch apple sebagai penghilang dahaga... :)

PUNCH APPLE
1 biji epal hijau  - di buang kulit dan potong kiub
2 1/2 sudu makan susu pekat 
2 sudu makan susu cair 
1/2 tin air aiskrim soda
1 sudu makan gula
1 gelas air
sedikit pewarna hijau 
Beberapa ketulan ais

Cara membuat:

1. Kisar halus epal hijau bersama susu pekat , susu cair, pewarna hijau, air dan ketulan ais kiub.

2. Masukkan aiskrim soda bersama baki ais kiub tadi.

3. Kacau, hiaskan dengan beberapa ketul epal yang di potong kiub dan sedia untuk di hidangkan. 

Assalamualaikum,

Untuk makan petang hari ni saya telah menyediakan laksa thai, dan ianya berlainan dengan laksa utara kerana kuahnya menggunakan santan. Selalunya laksa Thai ini menggunakan laksa beras jenis kecil dan di Selatan Thailand mereka menggunakan jeruk kobis di dalam hidangan laksa ini, tapi saya gantikan dengan kobis bulat yang masih segar dan di hiris nipis serta ulam-ulaman lain termasuk nenas.

Resepi ini ambil dari koleksi resepi karangkraf dan menepati selera. Jom semak resepinya bagi yang ingin mencuba. Bagi teman yang berada di luar negara dan sukar mendapatkan bekalan laksa beras, boleh menggantikan nya dengan spagetti juga.

 LAKSA THAI
Bahan-bahan:
1 paket laksa (jenis halus) - di rebus dan sejatkan


Bahan-bahan Kuah:
800gm ikan kembung - rebus, buang tulang dan kisar
1 biji kelapa - di ambil santannya
3 keping asam gelugur
2 batang serai - di ketuk
5 helai daun limau purut
1 sudu makan sos kicap sotong
1 sudu teh serbuk lada putih
1 sudu makan serbuk ikan bilis
3 sudu makan air asam jawa 
garam dan gula secukup rasa.

Bahan-bahan kisar
10biji bawang merah
5 ulas bawang putih
20 tangkai cili kering 
50gm udang kering 
50gm lobak masin
1cm lengkuas
1cm kunyit hidup
1cm belacan
5 biji buah keras

Cara membuat:

1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan-bahan kisar hingga garing dan naik bau.

2. Masuk bahan-bahan kuah dan biarkan mendidih dengan api sederhana.

3. Setelah naik minyak, tutup api dan angkat.

4. Hidangkan bersama laksa dan ulam-ulaman seperti nanas, timun (di hiris nipis), kacang panjang, kobis bulat (di hiris nipis), bunga kantan (di hiris nipis), taugeh (di celur) dan limau kasturi. 

Sedia untuk di nikmati.


Assalamualaikum,

Selamat pagi dan terima kasih kerana sudi mengikuti blog saya tiap kali di update, walaupun resepi yang saya kongsikan selalunya ringkas dan mudah di sediakan. 

Pagi ini saya ingin berkongsi sandwich yang bagi saya sungguh menambat selera. Saya buat sandwich ini sempena minggu cook along bertemakan mayonaise dengan teman-teman maya dari group masakan (CAT) di facebook.  Seperti biasa, resepinya mudah untuk di sediakan dan tidak mengambil masa yang lama. dan yang penting sekali, rasanya sedap.

Jom kita lihat resepi sandwich udang mayonaise...

SANDWICH UDANG MAYONAISE 
Bahan-bahan
250gm udang – di kupas kulitnya 
150gm tepung jagung 
1 biji telur – di ambil putihnya sahaja
1 sudu teh serbuk pati ayam 
½ sudu teh serbuk  lada sulah 
Minyak untuk menggoreng.

SOS MAYONAISE
150gm mayonaise
5 sudu makan susu pekat manis 
2 sudu teh jus limau nipis/ limau kasturi

Beberapa biji roti burger, atau boleh juga di gunakan roti putih

Cara Membuat:

1. Cuci bersih udang, perapkan dengan lada sulah dan serbuk pati ayam selama 10 minit .

2. Celupkan udang kedalam putih telur, lalu golek kan kedalam tepung jagung satu persatu hingga udang habis.




3. Panaskan minyak, goreng udang hingga masak dan bewarna kuning kecoklatan, angkat dan ketepikan.

4. Campur mayonaise, susu pekat manis, jus limau nipis dan kacau rata. Masukkan juga udang tadi kedalam sos mayonaise.



5. Belah roti burger, sapukan mentega dan bakar sebentar di atas kuali leper. Masukkan udang bersalut sos mayonaise tadi ke dalam roti dan hidangkan. 



6. Dah siap...anda pasti jatuh cinta dengan rasanya pada gigitan pertama lagi, cubalah buat  ya ;)



 Assalamualaikum,

Selamat pagi dan selamat bercuti kepada yang sedang menghabiskan cuti tahunan bersama keluarga. Sejuk sungguh cuaca pagi ini di sini. Walaupun tidak hujan, tiupan angin yang kuat buatkan anak-anak yang masih bercuti sekolah kembali menarik selimut, setelah bangun solat subuh pagi tadi. Sarapan apa yang enak ya hari ni. Saya jadi teringat hidangan lama yang sering emak saya masak dulu iaitu lempeng kelapa atau di Kedah orang menyebutnya 'Pek Nga'. Bunyinya seperti bahasa Thai, kan? :) Tapi maksud sebenarnya tempek (letak) atas belanga (kuali). 

Kebetulan masih ada stok kelapa yang di berikan oleh kakak saya, jadi terhasil lah kuih yang mudah ini. Nasib baik di rumah saya ada mesin memarut kelapa, jadi memudahkan kerja sedikit. Jika ibu dulu, memarut kelapa menggunakan kukur kelapa, walaupun mengambil masa yang agak lama dia tetap melakukan dengan penuh kasih-sayang dan tak merungut. Mungkin itu yang menyebabkan lempeng yang di sediakannya lebih enak.

Sudi-sudikanlah lihat resepi lempeng kelapa yang saya gandingkan dengan sambal sotong kering...resepi orang kampung je :)

LEMPENG KELAPA
300gm tepung gandum
1 biji kelapa parut
1 sudu besar gula pasir
1 sudu teh mentega
1/2 sudu teh garam
200ml air - boleh di tambah jika adunan agak pekat


Cara membuatnya 

1. Masukkan semua bahan lempeng ke dalam pengisar kecuali mentega. Kisar hingga halus.


2. Panaskan kuali leper dan sapukan sedikit mentega. Tuang satu senduk kecil adunan tepung tadi dan biarkan masak. Lakukan hingga adunan habis.


Dah pun siap....mudahkan? Lempeng kelapa ni yang paling sedap kalau di hidangkan dengan kari ikan yang di panaskan hingga kuahnya agak pekat dan di gandingkan pula dengan kopi O panas. Fuh...memang terbaiklah.

RESEPI SAMBAL SOTONG KERING 
Bahan-bahan
50gm sotong kering (cumi-cumi) - di rebus hingga lembut dan sejatkan 

Bahan kisar
20biji cili kering 
5 ulas bawang merah 
1 ulas bawang putih 
1/2 inci belacan 

Air asam jawa, garam dan gula secukupnya


Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak, tumis bahan kisar hingga naik bau, masukkan air asam jawa dan kacau rata.

2. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Masukkan sotong kering yang telah di rebus tadi, kacau sebentar . Tambah sedikit air jika terlalu kering. Enak juga jika di masukkan sedikit kacang tanah goreng yang di kisar terlebih dahulu ke dalam sambal. 


  
Assalamualaikum,

Hidangan tengahari ni saya sekeluarga tidak makan nasi tetapi bihun sup kegemaran saya iaitu bihun sup thai atau di Langkawi ni orang menyebutnya bihun sup siam. Bihun sup siam ini ada sedikit perbezaan dengan bihun sup utara iaitu dari penyediaan kuah dan bahan-bahan hiasan yang di gunakan semasa menghidang.

Saya lebih suka memasak sendiri hidangan ini di rumah kerana selalunya yang di beli dari gerai-gerai menggunakan banyak serbuk perasa di dalam kuahnya dan sudah pasti ianya tidak baik untuk kesihatan. Oleh kerana kesuntukan masa di sebabkan ada dua temujanji hari ini iaitu bertemu dengan teman lama yang datang bercuti di Langkawi dan memenuhi ajakan seorang lagi teman yang mengadakan majlis harijadi anaknya sebentar lagi, saya hanya menyediakan bihun sup ini tanpa menyediakan sambalnya, dan saya gantikan dengan serbuk cili. Saya juga tidak memasukkan bebola ayam/ikan ke dalam kuahnya, tapi rasa sup ini tetap juga enak. Saya sertakan resepi di sini, untuk rujukan kepada sesiapa juga yang sudi mencuba. Ini adalah bihun sup siam versi saya dan di ubah suai mengikut selera  saya sekeluarga. Mungkin resepi asalnya lain dari ini.


BIHUN SUP SIAM 
Bahan-bahan
Seekor ayam - Saya gunakan bahagian dada 
Sebungkus bihun



BAHAN A
1 labu Bawang besar dicincang
5 ulas Bawang putih - Di tumbuk kasar
8 ulas Bawang merah di Mayang
1 Sudu teh Lada hitam - Di tumbuk kasar
1 inci Halia (di cincang)

1 liter air - Boleh di tambah mengikut kesesuaian
Rempah : 1 inci Kayu manis, 3 kuntum bunga lawang, 3 biji buah pelaga dan 5 kuntum bunga cengkih.

BAHAN B
2 Sudu besar sos ikan
1 sudu besar kicap cair
Daun Bawang dan daun sup
2 sudu besar jus limau nipis
1/2 Sudu teh minyak Bijan
Rempah sup bunjut - Jika suka (untuk membangkitkan lagi aroma sup)
Gula batu dan garam

BAHAN C
Limau nipis/ kasturi 
Serbuk cili
sedikit lobak masin - di cincang
kangkung air - Di celur
bawang putih yang di mayang dan di goreng
taugeh - di celur
 kacang tanah di goreng dan tumbuk kasar.

CARA MEMASAK: -

1. Panaskan minyak masak di dalam periuk besar. Tumis Bawang besar yang di cincang hingga keperangan dan berbau wangi, masukkan air dan semua bahan A iaitu halia, kulit kayu manis, bawang putih, lada hitam dan isi ayam kedalam periuk dan masak hingga mendidih.


2.  Kecilkan api dan renih kuah selama 20minit hingga isi ayam lembut dan masak.Jika suka, boleh juga di masukkan bebola daging. Masukkan juga sos ikan, daun bawang, daun sup, jus limau, minyak bijan, gula batu dan garam. (Semua bahan B)

3. Setelah kuah Sup masak, celur bihun dengan air mendidih dan sejat. Masukkan bihun kedalam mangkuk serta isi ayam yang di carik-carikkan dan bahan-bahan C. Sedia untuk di hidangkan.


Assalamualaikum :)

Selamat pagi...sarapan apa ya pagi ini. Dari semalam saya teringin benar nak menjamah kuah lodeh dan nasi impit. Tak semestinya menunggu pagi hari raya untuk sarapan seperti ini, lagi pula hari raya tu masih jauh dan bila dah teringin tu saya sediakan juga kuah lodeh pagi ini, manakala nasi impitnya sudah di rebus malam tadi.

Tak apakan...sesekali bersarapan masakan bersantan, dah hari-hari asyik mengadap menu sihat seperti oats yang cepat di sediakan, kerana mengejar masa untuk sampai awal ke tempat kerja, hari ni saya bercuti dapatlah menyediakan kuah lodeh dan nasi impit serta sedikit kuah kacang. 

Rasanya kebanyakkan orang tau memasak kuah lodeh. Tapi saya dulu kurang mahir kerana di  Kedah jarang-jarang kuah lodeh dan nasi impit di sediakan sebagai sarapan atau hidangan hari raya. Saya mula belajar masak ni pun dengan ibu mertua, iaitu orang negeri sembilan. Masakannya memang sedap, terutama sekali masak lemak cili api dan kuah lodeh.

Jomlah kita lihat resepi kuah lodeh saya ni. Lain orang mungkin lain resepinya :)


KUAH LODEH
Bahan-bahan
1 keping tempe - di potong kiub
2 keping tahu - di goreng dan di potong nipis
50gm kacang panjang - di patah-patahkan (dalam 1 inci panjang)
100gm kubis bulat - saya tak masukkan 
1 biji lobak merah - di potong seperi mancis (sedikit kasar)
10gm suhun
50gm sayur fucuk - di rendam terlebih dahulu untuk melembutkan nya
500gm santan
100gm udang segar
1 sudu teh serbuk kunyit
Garam dan gula secukup rasa

Bahan Kisar 
5 biji cili padi 
3 biji cili merah
50gm udang kering
5 biji bawang merah 
2 batang serai 


Cara membuatnya:-

1. Didihkan santan bersama bahan-bahan kisar dan serbuk kunyit di atas api sederhana.

2. Apabila mendidih, masukkan tempe, kacang panjang, lobak merah. Kacau dan biarkan seketika. Jika ingin memasukkan kubis bulat yang di hiris nipis dan cili merah yang di mayang juga boleh ketika ini.

3. Masukkan suhun, fucuk dan tahu goreng. Biarkan mendidih. Masukkan juga daun kunyit yang di carik kan sedikit untuk aroma yang lebih harum.

4. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Apabila kuah hampir pekat, tutup api dan sedia untuk di hidangkan.




Assalamualaikum,

Trend baking kek dalam balang atau jar ni sudah lama tapi baru kali ini saya berkesempatan mencubanya. Rupanya mudah sangat membuat kek ini dan sesuai pula di hidangkan pada majlis hari jadi anak-anak atau di buat hantaran untuk majlis pertunangan. Apalagi jika adunan kek tersebut di warnakan dengan warna pelangi...pasti lebih menarik.

Sebenarnya sebelum mula membuatnya saya terfikir takut-takut juga jika balang tersebut pecah atau retak di dalam oven tetapi setelah mengikut tips yang di berikan, iaitu dengan memasukkan 1/4 air kedalam loyang 4 persegi sebelum meletakkan balang-balang tersebut dan membakarnya di dalam oven, ternyata hasilnya amat baik sekali.

Jom lihat resepi yang mudah dan menarik ini, mungkin ada yang ingin mencuba :)


Bahan-bahan:
200 gram tepung gandum
1 sudu teh baking powder
125 ml susu cair/segar
175 gram mentega
4 butir telur 
225 gram gula pasir
1 sudu teh esen vanila
beberapa jenis pewarna makanan
Beberapa gelas kaca atau jar kaca


Cara Membuat:

1. Pukul telur, mentega dan gula pasir hingga mengembang. Masukkan tepung gandum, esen vanilla dan baking powder sedikit demi sedikit hingga habis.

2. Masukkan susu cair/segar hingga tercampur rata. Bagi adunan dalam 6 mangkuk yang berbeza, masing-masing di masukkan pewarna yang berlainan.

3. Masukkan adunan dalam balang atau gelas dan atur di dalam loyang persegi yang telah di masukkan air (1/4 air dari bahagian loyang).Ini untuk mengelakkan gelas pecah atau retak semasa proses pembakaran.

Alamak...comotnya.. :D ini belum di bersihkan lagi adunan yang melekat di balang semasa proses melapis adunan kek. ;)

4.  Bakar adunan dengan suhu 175 darjah celsius selama 30 - 35 minit. Apabila kek sudah masak dan di sejukkan, bolehlah di hias dengan buttercream.



Assalamualaikum,

Hari ni masak lauk yang ringkas saja untuk makan malam. Anak-anak semua sudah sepakat, lebih memilih roti canai sebagai menu makan malam ni sedangkan saya teringinkan sesuatu yang ringkas dan membuka selera untuk di gandingkan dengan nasi panas. Ada baiknya jika anak-anak tak terlibat dalam masakan lauk malam ni kerana selera mereka selalunya lebih cerewet :)

Sudah lama saya tak masak lauk ikan masin talang. Agak mudah untuk mendapatkan bekalan ikan masin di Langkawi ni tapi selalunya saya mendapatkan stok ikan masin sama ada ikan talang masin atau ikan gelama masin di Kuala Kedah kerana sudah biasa dengan pembekal di sana dan ikan nya juga lebih kualiti. Selalunya isi ikan yang di bekalkan lembut dan agak gebu serta rasa masinnya juga tidak terlalu menyengat. Ada dua jenis ikan kering yang di bekalkan iaitu jenis masin dan masam. 

Baiklah, masakan pembuka selera saya malam ini adalah sambal tumis ikan talang masin, dan resepi sambalnya saya ambil dari resepi sambal sotong chef hanieliza. Ternyata gandingan sambal tersebut dan ikan masin talang yang di goreng sangat enak dan membuka selera terutama bagi penggemar masakan ringkas seperti saya.

Jomlah lihat resepi mudah ini...

SAMBAL TUMIS IKAN TALANG MASIN
Bahan-bahan
500gm isi ikan talang masin
1 labu bawang besar di hiris
1/2 cawan jus asam jawa
3 sudu makan sos tomato
1 labu bawang besar di hiris kasar 
1 tangkai daun kari - (pilihan)
1 sudu teh gula
3 sudu minyak masak
garam secukup rasa (tidak perlu di masukkan jika ikan sudah masin)

Bahan Kisar 
20 tangkai cili kering 
8 ulas bawang merah 
2 ulas bawang putih

Cara membuatnya:-

1. Goreng ikan masin talang terlebih dahulu.


2. Panaskan minyak dan tumiskan bahan yang di kisar hingga garing dan pecah minyak.Masukkan jus asam jawa dan sos tomato.



3. Masukkan gula kemudian masak hingga pecah minyak dan pekat.

4. Masukkan ikan masin goreng, bawang besar dan daun kari kacau rata. Biarkan sebentar hingga bawang sedikit layu dan sambal menjadi kering sedikit. Rasa sambal tersebut, jika kurang masin, tambahkan sedikit garam. Tutup api dan hidangkan dengan nasi panas.



Assalamualaikum :)

Truffle adalah sejenis manisan yang bahan asasnya terdiri daripada coklat ganache dan ada kalanya di gantikan dengan krim, coklat cair, karamel, kacang, badam, buah beri, atau lain-lain aneka buah-buahan manis, nougat, fudge, cip coklat serta Marshmallow. Rasa truffle sangat enak lebih-lebih lagi jika di sejukkan di dalam peti sejuk sebelum di hidangkan.

Seperti biasa apabila bercuti , kesempatan masa yang ada di rumah saya habiskan dengan meneliti stok barangan dapur dan kebanyakannya menghampiri tamat tempoh. Inilah padahnya jika beria-ia shopping barangan dapur tapi jarang memasak. :D. Bukan apa, terkadang macam-macam idea nak masak itu dan ini  berlegar dalam fikiran ketika sedang shopping tapi sering pula tertangguh-tangguh kerana sibuk dengan tugas harian di pejabat, dan sampai rumah saja sudah malam dan keletihan. 

ketika mengemas stok barangan dapur itu, saya terjumpa buah-buahan kering yang masih kemas berbungkus di dalam kotak dan sudah hampir tarikh luputnya. Jadi datanglah idea untuk membuat truffle coklat dan buah-buahan kering. Truffle ini sangat mewah dan sedap rasanya..tak rugi jika cuba membuatnya...anak-anak pasti suka.



CHOCOLATE & MIX FRUITS TRUFFLE
250gm coklat masakan
60ml whipping cream
¼ cawan kacang tanah – di goreng & blender kasar
¾ buah-buahan kering  (yang  telah siap di cincang)
¾ cawan kelapa kering – untuk menyalut truffle.


Cara membuatnya:-

1. Cairkan coklat masakan yang di cincang terlebih dahulu dengan krim di atas api sederhana dan setelah cair, masukkan kacang tanah serta buah-buahan kering dan di kaup balik.



2. Sejukkan adunan ke dalam peti sejuk selama lebih kurang ½ jam.


3. Keluarkan adunan dan bentukkan seperti bebola. Golekkan bebola tersebut dengan kelapa kering dan masukkan kedalam cawan kertas mini.


4. Sejukkan sebentar kedalam peti sejuk sebelum di hidangkan.





Assalamualaikum,

Baru tiga hari tak update blog rasanya dah terlalu lama menyepi. Tiga hari ni memang terlalu sibuk, walaupun  sedang bercuti. Selain dari sibuk shopping dan membuat persiapan anak-anak yang akan kembali ke sekolah  awal Januari ini, Haikal..iaitu anak kedua juga tidak sihat dan terpaksa di rujuk semula ke doktor pakar telinga di Putra Medical Centre Alor Setar, kerana mengalami infeksi di telinganya selepas menjalani pembedahan sebelum ini, dan Alhamdulillah setelah di rawat dia sudah beransur sembuh. 

Dalam tempoh sibuk ni, rindu sangat nak ber blog dan berkongsi dengan teman-teman maya, resepi-resepi untuk di hidangkan kepada keluarga tercinta. Hari ini baru ada sedikit kesempatan dan sebenarnya donut muffin ini saya hasilkan  untuk sarapan pagi tadi dan rasanya, sangat sedap. Apalagi saya masukkan yogurt perasa strawberry dalam adunan nya dan bila di gigit terasa pula inti dari jem strawberry. Anak-anak amat menyukainya. Jom lah kita lihat resepinya dan jangan lupa mencuba, ya :)

DONUT MUFFIN INTI STRAWBERRY
Bahan-bahan
2/3 cawan gula kastor 
1 1/3 cawan tepung gandum 
1 sudu teh baking powder
100ml yogurt perisa strawberry (boleh juga gunakan yogurt perisa asli)
2 biji telur - gred A
1 sudu teh esen vanilla
2/3 cawan mentega - di cairkan
12 sudu teh jem strawberry
2/3 cawan gula ising untuk di taburkan ke atas donut


Cara membuatnya:

1. Panaskan ketuhar kepada 180'c dan griskan acuan muffin dengan sedikit mentega.

2. Di dalam sebuah mangkuk, satukan gula, tepung gandum dan baking powder dan gaul rata.

3. Di dalam mangkuk lain pula pukul telur bersama yogurt dan esen vanilla. Tuang adunan basah dan mentega cair ke dalam bahan kering dan kaup balik hingga sebati. Masukkan dua sudu besar adunan ke dalam setiap lubang acuan muffin.


4. Masukkan satu sudu teh jem strawberry ke atas adunan dan tutupkan dengan seluruh adunan tepung.


5. Letakkan muffin ke dalam ketuhar dan bakar selama 15 hingga 20 minit hingga bertukar warna perang keemasan atau masak.

6. Keluarkan dari oven dan biarkan sejuk selama 5minit sebelum di tabur dengan gula ising.



Assalamualaikum :)

Petang-petang begini selalunya sambil minum teh pasti ada kuih atau sekurang-kurangnya biskut sebagai pelengkap hidangan. Apalagi jika kuih itu di hasilkan sendiri dan di nikmati panas-panas bersama dengan keluarga, pasti bertambah enak dan ada kepuasan. Bila lihat di dalam peti sejuk, masih ada berbaki keju cheddar dan timbul lah idea untuk menghasilkan muffin. Tak jemu-jemu saya ni dengan muffin dan kek, kan? :D. Bagi saya muffin dan kek mudah di sediakan, boleh di simpan dan anak-anak saya menggemarinya.

Baiklah, kita terus saja melihat resepinya...

MUFIN KEJU CHEDDAR
Bahan-bahan
250gm tepung gandum di ayak dengan 13gm serbuk penaik
150gm minyak masak @ minyak jagung
150gm susu segar 
40gm keju cheddar di parut halus
30gm keju cheddar di parut kasar 
sedikit coklat chips & cherry
100gm gula perang 
1/2 sudu teh garam 
2 biji telur gred B


Cara membuatnya

1. Satukan minyak masak, susu , gula , garam dan telur. Pukul telur hingga gula larut, ketepikan.


2. Di dalam bekas lain, masukkan tepung gandum dan serbuk penaik. Masukkan keju cheddar. Gaul rata dan buat lubang di tengah tepung.

3. Tuangkan adunan cecair (no.1) ke dalam tepung. Gaul dengan senduk hingga tepung sebati. Biarkan adunan masih nampak berketul dan jangan terlebih gaul kerana akan menyebabkan mufin menjadi keras.

4. Sudukan adunan ke dalam cup cakes hingga 3/4 penuh. Taburkan keju cheddar, ceri dan coklat chips di atasnya.



5. Bakar selama 20-25minit pada suhu 180'c hingga masak.